
LAPORAN HARGA KERETA NAIK TIDAK TEPAT, KAEDAH PENILAIAN MASIH DITELITI – MOF
Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) menegaskan bahawa laporan mengenai kenaikan harga kenderaan secara mendadak bermula 2026 susulan penguatkuasaan penuh Peraturan Cukai Eksais Baharu sebagai tidak tepat dan masih dalam penelitian kerajaan.
MOF dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) serta pemain industri automotif akan mengkaji kaedah penilaian kenderaan lebih adil, seragam dan neutral.
Katanya, ini bagi memastikan pelaksanaan cukai eksais tidak membebankan rakyat serta mengekalkan daya saing industri.
“MOF belum membuat sebarang keputusan muktamad. Bersama Miti dan pihak industri automotif, kami sedang meneliti kaedah penilaian kenderaan bagi memastikan pengenaan cukai dilaksanakan secara adil, seragam, neutral dan konsisten,” kata MOF.
Isu ini mendapat perhatian ramai apabila terdapat laporan menyebut kemungkinan peningkatan harga kenderaan yang boleh memberi kesan langsung kepada pasaran automotif tempatan, termasuk jualan kenderaan baharu dan industri berkaitan.
Selain itu, kebimbangan mengenai kenaikan harga kereta yang dijangka berlaku pada 2026 tercetus berikutan semakan cukai eksais bagi nilai pasaran terbuka (OMV) terhadap kereta pemasangan tempatan (CKD) di mana Perkara 402 (Gazet Kastam PU A 402) akan mula dilaksanakan pada Januari 2026.
Menurut laporan itu, kenaikan harga ini dijangka membabitkan peningkatan harga antara 10 hingga 30 peratus yang pastinya memberi kesan besar kepada pengguna dan industri automotif di Malaysia. – Harian Metro