
TAHUKAH ANDA BAHAWA INI JUGA SEBENARNYA MERUPAKAN SEBUAH SUV SUBARU? INILAH DIA SUBARU TRIBECA
Kita mungkin beranggapan bahawa Subaru hanya mempunyai model Forester sebagai model SUV andalan mereka. Tapi sebenarnya khusus untuk pasaran Amerika Syarikat, Subaru juga mempunyai sebuah model SUV / Crossover. Inilah dia Subaru Tribeca yang dihasilkan sepenuhnya ketika Subaru masih lagi di bawah Fuji Heavy Industries (FHI) sebagai induk mereka.
Model Subaru Tribeca ini telah pun mula berada di pasaran bermula tahun 2005 dengan menjadikan pasaran Amerika Syarikat sebagai sasaran utama untuk menjual model SUV yang bersaiz sederhana ini. Dan nama Tribeca ini sendiri dipilih berdasarkan nama kejiranan yang terdapat di Kota New York sendiri.

Subaru Tribeca ini dipasangkan melalui kilang pemasangan oleh Subaru of Indiana Automotive yang terdapat di Lafayette dengan mempunyai konfigurasi lima atau pun tujuh tempat duduk.
Bahagian hadapan yang menampilkan rekaan gril triangular dengan logo Subaru di dalamnya mengambil tema yang digunakan pada model Subaru Impreza di kala itu dan juga persis model Subaru R1 / R2. Rekaan keseluruhan Subaru Tribeca yang berbentuk bulat ini sebenarnya tidak begitu digemari oleh peminat Subaru di kala itu.

Subaru Tribeca ini dikuasakan melalui enjin boxer EZ30 3.0 liter yang digandingkan dengan kotak gear auto lima kelajuan.
Satu perkara menarik, tentang model ini, diawalnya juga Saab dirancang untuk mengeluarkan model kembar Tribeca ini dengan menggunakan nama Saab 9-6X, tetapi rancangan sedemikian telah dihentikan dengan pengambilalihan Toyota ke atas kepentingan FHI yang dipegang oleh General Motors (syarikat induk Saab) yang dirancang untuk dibina melalui kilang pemasangan milik Subaru di Lafayette, Indiana.

Setelah menerima maklum balas yang kurang menyenangkan daripada orang ramai, Subaru Tribeca ini telah menerima versi facelift setelah dua tahun berada dalam pasaran. Antara perubahan ketara yang diberikan perhatian termasuklah rupa baharu pada bahagian hadapan dengan turut menampilkan rekaan lampu utama baharu. Turut diberikan penambahbaikan termasuklah bar penstabil dan kadar spring untuk pengendalian yang lebih baik.
Model ini tamat produksinya pada tahun 2014 setelah beberapa tahun mengalami penurunan jualan walau pun ketika versi facelift diperkenalkan ianya kembali menerima sambutan yang agak baik. Secara keseluruhan, Subaru America berjaya menjual sekitar 77,000 unit model Tribeca ini. Walau pun tiada pengganti generasi berikutnya, namun Subaru telah menggantikannya dengan sebuah model SUV khusus untuk pasaran Amerika yang lebih besar, Subaru Ascent.
BACA : SUBARU FORESTER SF5, KERETA KELUARGA YANG CUKUP SIFAT; BESAR, LAJU, 4WD, MURAH.
BACA : VRAVRA MARS1 – SUV TER-RUGGED INI BAKAL BERADA DI TOKYO AUTO SALON KUALA LUMPUR. ANDA DAH BERSEDIA?