
GWM ORA 5 HEV DIBUKA UNTUK TEMPAHAN, HARGA RM 115K
GWM Malaysia secara rasmi membuka tempahan bagi GWM ORA 5 HEV serba baharu, menjelang pelancaran rasminya di pasaran Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada November 2026. Model SUV kompak hibrid ini sebelum ini telah diperkenalkan kepada rakyat Malaysia menerusi beberapa siri pratonton yang diadakan sejak awal tahun.
GWM ORA 5 HEV akan ditawarkan pada harga jualan sekitar RM115,000, sekali gus meletakkannya sebagai satu lagi pilihan dalam segmen SUV kompak hibrid di Malaysia. Tetapi harga jualan akhir hanya akan diumumkan ketika pelancaran rasmi nanti.
Menurut GWM, ORA 5 HEV dibangunkan untuk menawarkan gabungan reka bentuk tersendiri, prestasi, kecekapan bahan api serta jarak pemanduan yang jauh dalam sebuah SUV kompak. Model ini menggunakan teknologi hibrid pintar Hi2 GWM, yang menjadi antara tarikan utamanya.
Dari segi rangkaian kuasa, GWM ORA 5 HEV menggabungkan enjin turbo 1.5 liter dengan motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 223 PS, manakala tork maksimum pula mencecah 476 Nm. Sistem hibrid tersebut turut direka bagi memberikan tindak balas yang lancar dalam pelbagai keadaan pemanduan.
Dalam aspek kecekapan, GWM mendakwa ORA 5 HEV mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 4.4 liter bagi setiap 100 kilometer. Dengan kapasiti dan keupayaan sistem hibridnya, SUV ini turut menawarkan jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,100 km dalam keadaan optimum.
Angka jarak pemanduan tersebut memberikan kelebihan dari segi praktikaliti kerana pemilik boleh menggunakan kenderaan ini untuk perjalanan harian di bandar mahupun perjalanan jarak jauh dengan lebih sedikit hentian untuk mengisi bahan api. Pada masa sama, ORA 5 HEV tidak memerlukan pengecasan luaran seperti kenderaan plug-in hybrid atau EV sepenuhnya. BM – GWM
Menurut Pengarah Urusan Operasi Komersial GWM Malaysia, Stan Li Hao, ORA 5 HEV dibangunkan untuk mencabar jangkaan pengguna terhadap sebuah SUV kompak hibrid dengan menawarkan gabungan reka bentuk, prestasi dan kecekapan jarak pemanduan.
Beliau turut menjelaskan bahawa semakin ramai rakyat Malaysia mula mempertimbangkan kenderaan elektrik, namun keperluan setiap pengguna adalah berbeza. Justeru teknologi hibrid pintar Hi2 pada ORA 5 HEV dikatakan memberikan manfaat elektrifikasi sambil mengekalkan fleksibiliti untuk perjalanan jauh serta kemudahan mengisi bahan api seperti kenderaan konvensional.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, GWM mahu menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna Malaysia dalam peralihan ke arah Kenderaan Tenaga Baharu (NEV). Strategi tersebut merangkumi rangkaian model dengan sistem rangkaian kuasa hibrid, plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya.
GWM ORA 5 HEV kini boleh ditempah di semua pengedar sah GWM di seluruh negara. Pelanggan boleh mengunjungi bilik pameran GWM berhampiran untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membuat tempahan. Bagaimanapun, spesifikasi lengkap serta harga jualan akhir model ini masih belum didedahkan dan hanya akan diumumkan semasa pelancaran rasminya di Malaysia pada November 2026.


