
“LEBIHAN KAPASITI SERIUS!” – GEELY UMUM LANGKAH DRASTIK TANGANI KRISIS INDUSTRI
Pengerusi dan pengasas Geely, Li Shufu, memberi amaran bahawa industri automotif global kini berdepan masalah lebihan kapasiti yang ketara.
Dalam satu kenyataan semasa forum automotif di Chongqing, beliau menegaskan bahawa Geely tidak akan membina kilang baharu mahupun memperluas kapasiti pengeluaran sedia ada.
Geely Holding merupakan pemilik kepada beberapa jenama utama seperti Geely Auto, Zeekr dan Volvo.
Kenyataan Li hadir dalam konteks persaingan harga yang sengit dalam pasaran automotif China, yang turut menyaksikan syarikat-syarikat pengeluar kenderaan di negara itu semakin giat mencari peluang di pasaran antarabangsa.

Keadaan ini juga telah menarik perhatian pihak berkuasa China, yang menyeru agar perlumbaan harga dihentikan bagi mengelakkan kesan negatif terhadap industri secara keseluruhan.
Beberapa pengeluar utama dari China seperti BYD, Chery dan Great Wall Motor telahpun mengambil langkah membina kilang di luar negara bagi menampung lebihan pengeluaran.
Namun, Geely memilih pendekatan berbeza dengan merancang untuk memanfaatkan fasiliti pengeluaran milik Renault di Brazil.
Selain itu, Geely juga bakal mengambil pegangan minoriti dalam operasi Renault di negara Amerika Selatan itu, satu usaha yang diumumkan pada Februari lalu.
Bagaimanapun, menurut laporan Reuters pada April, kelulusan bagi kerjasama itu dikatakan telah tertangguh oleh pihak berkuasa China.
Geely dalam reaksinya menegaskan bahawa kerjasama mereka dengan Renault di Brazil tetap berjalan lancar dan berjaya setakat ini.