
DITAMBAH BAIK, KEEWAY RKR250 LANCAR HUJUNG TAHUN INI – 31.5HP, RM13,888
Sekitar bulan Februari lalu, MForce Bike Holdings telah pun mengumumkan bahawa Keeway RKR250 akan diperkenalkan di Malaysia pada bulan April dengan harga jualan RM13,888.
Bagaimanapun, setakat Jun 2025, motosikal sportsbike 250cc itu masih tidak kelihatan.

Berdasarkan perkembangan terbaru, kami difahamkan bahawa penangguhan tersebut berlaku ekoran pihak MForce sedang melakukan penambahbaikan bagi model berkenaan.
Untuk itu, RKR250 dijadualkan akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan sekitar hujung tahun ini.

Atas kertas, RKR250 ini menawarkan 31.5hp pada 10,500rpm dan 22.5Nm pada 9,500rpm yang terhasil dari enjin dua silinder 249.3cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair. Sekadar perbandingan, Yamaha YZF-R25 menghasilkan 35hp pada 12,000rpm dan 22.6Nm pada 10,000rpm.
Kuasa disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan dengan bantuan klac slipper.

Casis pula merangkumi fork teleskopik jenis terbalik 40mm depan dan penyerap hentak tunggal dengan pelarasan pra-beban dibelakang. Brek pula terdiri dari kaliper radial tunggal 4-piston depan yang dipadankan bersama cakera 320mm dan kaliper brek 1-piston belakang dengan cakera brek 240mm.

Antara perincian lain ditawarkan:
- skrin TFT 5-inci
- USB Type-A dan Type-C
- lampu LED dengan DRL
- ABS
- TC (traction control)
- TPMS (tyre pressue monitoring system)
- lampu kecemasan (hazard light)
- tangki bahan api berkapasiti 12L

Menurut Keeway, RKR250 ini adalah seberat 160kg dengan ketinggian tempat duduk diletakkan pada 770mm lantas menjadikan motosikal ini sebagai tawaran ‘entry-level’ terbaik untuk pasaran tempatan.
GALERI: KEEWAY RKR250



















