
MAZDA CX-9 2021. PAKEJ IGNITE EDITION, CBU JEPUN, BERMULA RM320K
Bermaz Motor baru-baru melancarkan SUV premiumnya, Mazda CX-9 facelift ke pasaran tempatan. Versi tahun 2021 itu menerima penambahbaikan dari segi gayaan dan teknologi.
SUV dengan tiga baris tempat duduk itu kini hadir dengan pakej Ignite Edition yang membuatkannya lebih mewah dan elegan. Ignite Edition merangkumi gril hadapan rekaan baharu, rim aloi aluminium dan perumah cermin sisi berwarna hitam.
Ruang kabin pula menampilkan tempat duduk kulit berwarna merah burgundy, selain kemasan hitam pada papan pemuka, panel pintu dan bezel hendal. Tidak ketinggalan ialah sistem ketersambungan Apple CarPlay dan Andoid Auto tanpa wayar, paddle shifter dan pengecas tanpa wayar.

Aspek keselamatan CX-9 ditingkatkan lagi menerusi sistem i-Activsense yang terdiri daripada lampu utama LED adaptif, pemantauan titik buta dengan Rear Cross-Traffic Alert, Lane Departure Warning, Lane-Keep Assist, Driver Attention Alert, Smart City Brake Support, Smart Brake Support dan Mazda Radar Cruise Control.
Antara ciri standard yang lain termasuklah stereng dan tuil gear dibalut kulit, kawalan pendingin hawa tiga zon automatik. 10 larasan tempat duduk pemandu dengan ciri memori, lampu dalaman LED, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin.
Lampu utama LED hadir dengan diri pelarasan automatik. Lampu nyalaan siang (DRL) LED dan pengelap cermin automatik turut dipasang sebagai ciri standard.

CX-9 dikuasakan oleh enjin turbo Skyactiv-G 2.5 dan dipadankan dengan pacuan dua roda atau i-Activ AWD. Mampu menjana sehingga 228hp dan tork 420Nm, kuasa itu disalurkan ke roda menerusi kotak gear enam kelajuan automatik bersama sistem G-Vectoring Control Plus.
Didatangkan dalam bentuk CBU dari Jepun, pelanggan boleh memilih di antara warna merah, kelabu, putih mutiara, perak, biru dan hitam.
Jentera berkenaan ditawarkan pada harga bermula RM319,847 bagi varian 2WD dan RM336,215 (4WD) termasuk pengecualian cukai SST sehingga 31 Disember 2021.
Ia juga hadir bersama jaminan dan penyelanggaraan percuma melibatkan alat ganti, minyak pelincir serta kos buruh selama lima tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).
- BACA: MAZDA FAILKAN PATEN ENJIN BARU, TURBOCAJ DAN SUPERCAJ ELEKTRIK
- BACA: KASUT PEMANDU MAZDA X MIZUNO. REKA BENTUK KODO, RM1,500 SEPASANG
- BACA: APA KAITAN MAZDA RX-7 FD DENGAN JAGUAR E-TYPE
- BACA: MAZDA 6 BARU BAKAL MENCABAR KEDUDUKAN BMW
GALERI