Pandu Uji

MAZDA CX80 PHEV – ADA DNA MIATA

Mazda hari ini hidup dalam dua dunia yang berbeza tapi wujud dalam masa yang. Di satu sisi, mereka ada Miata datang dengan DNA sebenar Mazda. Ia adalah kereta sport ringan dan fun to drive, tapi bukannya “cash cow” kepada Mazda

Yang bawa duit? Memang SUV. Dan Mazda memang menjual semua jenis SUV dalam pelbagai saiz seperti CX-3, CX-5, CX-8, CX-9, CX-30, CX-50, CX-60, CX-70, CX-80, sampai CX-90. Kenapa banyak? Sebab kehendak pasaran adalah tidak sama seperti batasan saiz dan jalan untuk Jepun adalah kecil, Eropah suka kereta mewah tapi jalan di sana sempit, manakala untuk Amerika mereka perlukan SUV besar, kuat, dan enjin berkuasa.

Mazda CX-80 dibangunkan dengan tema “Graceful Toughness” iaitu kombinasi ketegasan SUV dengan gaya elegan. Walaupun asasnya masih berpegang pada falsafah Kodo Design, Mazda tidak terikut-ikut trend SUV lain yang banyak menggunakan garisan tajam. Sebaliknya, permukaan body CX-80 kekal bersih dengan garisan lembut yang mengalir.

Dari segi saiz, CX-80 direka dengan panjang 4,995 mm, lebar 1,890 mm dan jarak antara roda 3,120 mm menjadikan profil luarannya lebih slim, elegan, dan berkadar cantik.

Bahagian belakang memang ada sentuhan premium dengan lampu LED rear lebar dan panjang. Kalau sekali imbas, vibe ini macam BMW, tapi direka dengan lebih slim dan lebih moden. Hasilnya, kereta ni nampak lebih lebar daripada ukuran sebenar.

Kalau Mazda sebelum ini direka dengan lampu tajam ala-ala predator, CX-80 tampil berbeza dengan lampu depan bulat klasik seakan mengimbas kembali kepada ikon lama seperti Miata NA atau RX-7 FD. Ditambah pula jeriji besar yang lebih menonjol, lampu LED berbentuk L, dan hud depan panjang, menjadikan wajah CX-80 nampak premium.

Lagi satu yang menarik, Mazda membuang ekzos yang terdedah, jadi belakang nampak lebih kemas. Bahagian depan juga menampilkan ciri active shutter grille untuk membantu aerodinamik, teknologi yang biasa kita nampak pada SUV EV premium Eropah.

Dari sisi, CX-80 kekal dengan DNA Kodo Design kemas dan ringkas, tapi pandai bermain dengan bayang cahaya. Pilihan warna Artisan Red memang premium kerana dalam keadaan gelap nampak elegan, tapi apabila terkena cahaya matahari ia akan memberi pantulan merah yang dalam.

Mazda CX-80 dibina atas asas baharu yang dipanggil SkyActiv Multi-Solution Scalable Architecture. Secara mudah, ini adalah platform RWD dengan pilihan AWD. Perbezaan besar daripada platform Mazda generasi lama ialah platform lama dibangunkan dengan ciri front-wheel drive (FF) dengan pilihan AWD.

Dengan enjin duduk menegak dan gearbox juga longitudinal, CX-80 terasa seperti SUV premium Eropah, dan bukannya tipikal SUV Jepun. Memang ada kompromi dimana enjin, gearbox dan motor PHEV menggunakan banyak ruang kabin, menyebabkan konsol depan menjadi kecil.

Manakala ruang konsol belakang lebih luas dan praktikal disebabkan tiada isu transmisi. Mazda cuba mengejar nisbah berat 50:50 untuk keseimbangan handling. Realitinya, CX-80 cuma mendapat 53:47, tapi itu masih jauh lebih baik daripada kebanyakan SUV Jepun lain dalam kelas yang sama.

Suspensi? Ini yang buat ramai terkejut dengan tetapan double wishbone di depan dan multi-link di belakang. Ia adalah DNA yang kita selalu dengar pada kereta sports macam Miata, tapi kali ini dalam sebuah SUV 7-tempat duduk seberat 2.3 tan.

Ada juga susunan unik yang jarang kita nampak dimana steering rack diletakkan di depan enjin, dengan gap hampir 1 kaki antara radiator dan blok enjin. Kedudukan pelik ni membolehkan Mazda masukkan bateri 12V, susun atur yang lebih kemas dan bagi ruang untuk sistem PHEV.

Enjin & Trenkuasa

Untuk pasaran Malaysia, Mazda CX-80 datang dengan satu pilihan enjin tunggal 2.5L e-Skyactiv G PHEV. Di sini, Mazda gunakan kombinasi enjin petrol 4 silinder dengan motor elektrik.

Enjin petrol eSkyActiv menghasilkan 191 PS dan 261Nm tork manakala motor elektrik yang ditanam dalam kotak gear menjana 172 PS dan 270Nm tork. Gabungan kuasa enjin menghasilkan sekitar 382 PS dan 500Nm tork.

Kuasa yang dihasilkan sudah cukup untuk menggerakkan SUV 6 tempat duduk ini dengan yakin, dan bila digabung dengan tork elektrik yang segera, pecutannya terasa cukup responsif, tidak seperti SUV besar lain yang kadang-kadang semput apabila enjin tidak bersedia

Bekalan kuasa elektrik datang daripada bateri 17.8 kWh, yang menyediakan jarak pemanduan EV sehingga 65 km (NEDC). Cukup untuk kegunaan harian seperti berulang-alik ke tempat kerja atau menghantar anak sekolah tanpa bakar setitik pun petrol.

Proses pengecasan pula mudah, dengan menggunkan 7.2 kW on-board charger, pengecasan penuh mengambil masa lebih kurang 2 jam sahaja kalau menggunakan wallbox kat rumah.

Satu lagi perkara unik ialah gearbox 8AT tanpa torque converter. Tempat torque converter tu digantikan dengan motor elektrik, konsep yang serupa dengan Toyota Hybrid generasi ke-5, tapi dengan rekaan Mazda tersendiri. Hasilnya, pertukaran gear rasa lebih natural dan direct, bukan macam CVT yang selalu dikritik.

Interior & Kemasan Dalaman

Mazda jelas tak mahu CX-80 dilabel sebagai “copycat BMW.” Sebaliknya, mereka buat identiti sendiri dengan konsep yang tenang, natural, dan penuh seni pertukangan Jepun. Mazda mengetengahkan konsep Ma dan juga Kaicho dimana konsep ini dizahirkan sebagai:

  • Ma – ruang kosong yang tenang, macam falsafah zen.
  • Kaicho – gabungan tekstur & material berbeza dalam satu harmoni.

Hasilnya, cabin CX-80 terasa tenang dan selesa seperti rumah Jepun tradisional. papan pemuka juga menerima seni tradisional halus Jepun seperti jahitan Musubu pada dashboard, kayu maple berukir, dan pencahayaan kabin yang lembut.

Mazda juga berani melawan arus trend Eropah. Tiada krom berkilat, tiada piano black yang cepat comot. Sebaliknya, mereka gunakan warna beige lembut dan fabrik baldu, menghasilkan suasan yang classy . Malah, stereng 2 tona juga mirip Bentley, membuktikan Mazda serius dengan kualiti kabin.

Selain itu CX80 turut menerima ciri paddle shifter untuk anda mengawal 8 gear, Head Up Display untuk membantu meter digital 12.3 inci, pengecas tanpa wayar, sambungan Apple Car Play tanpa wayar untuk skrin 12.3 inci dan kamera 540 darjah yang terang

Bagi memberikan ciri premium, penumpang barisan kedua (baca bos) boleh mengawal penyaman udara sendiri, kusyen bantuan kuasa elektrik dan kipas pengudaraan, ruang konsol yang besar bersama laci dan juga pencahayaan lembut pada bahagian pintu

Ruang barisan ketiga boleh diakses dengan mudah dengan menggunakan mekanisme satu tuil, tapi jika anda gemuk maka agak susah juga sebenarnya. Walaupun ruang kepala kelihatan besar, tapi kedudukan kusyen rendah menjadikan ruang barisan ketiga sebenarnya lebih sesuai untuk kanak kanak.

Walaubagaimanapun ia masih memberikan ciri USB C, tempat meletak minuman dan corong penyaman udara. Jika semua tempat duduk digunakan, CX80 masih menawarkan ruang kargo sebesar 258 liter, lebih besar daripada CX8

Ruang kargo boleh dibesarkan menjadi 566 liter apabila kusyen barisan ketiga dilipat, dan digandakan menjadi 1971 liter sebaik sahaja kusyen barisan kedua direbahkan. Hanya soket 12V dan penyangkut utiliti sahaja yang disediakan di ruang kargo.

Pengalaman Pemanduan

Salah satu kelebihan CX-80 ialah posisi kusyen yang rendah untuk sebuah SUV besar. Dari kerusi pemandu, anda boleh nampak dengan jelas bonet yang panjang, menawarkan rasa pemanduan seperti kereta sport Mazda walaupun ini SUV 7-tempat duduk.

Walaupun datang dengan berat mencecah 2.3 tan, CX80 masih menawarkan pecutan 0-100km/jam dalam masa 7.2 saat sahaja manakala halaju tertinggi pula dihadkan kepada 195km/jam. Bateri pula memberikan jarak pemanduan sebenar sekitar 45km -55km sahaja untuk satu pengecasan penuh.

Penggunaan bahan api juga boleh dikatakan sangat bagus dimana penulis berjaya mendapatkan purata sekitar 15.7km per liter petrol pada halaju melebihi 110km/jam. Sekiranya penulis kekal memandu berhemah, mungkin CX80 boleh mencatatkan bacaan sekitar 18-19km per liter

Angka di atas sebenarnya dicatatkan dengan keadaan bateri sistem PHEV yang penuh. Jika bateri telah menjadi kosong, maka penggunaan petrol akan berkurang secara purata kepada 11.5km/liter

CX-80 juga lengkap dengan beberapa mod pemanduan seperti Normal, EV, Sport, dan AWD. Dalam mod AWD, sistem boleh mengunci agihan kuasa kepada 50:50, traction control jadi lebih longgar bagi sedikit kebebasan bila off-road, ditambah dan Hill Descent Control diaktifkan secara automatik untuk laluan curam.

Menariknya, bila bateri habis pun, CX-80 masih bergerak sebagai parallel hybrid ringan (mild hybrid style), jadi tak rasa macam kereta mati kuasa. Motor elektrik tetap membantu semasa pecutan dan mengkalkan kuasa elektrik untuk penyaman udara ketika enjin dimatikan

Dari segi keselamatan dinamik, ujian brek menunjukkan CX80 boleh membrek dari 100–0 km/j dalam masa 3.07 saat dengan jarak henti 40.67 meter sahaja, angka yang sangat baik untuk SUV besar seberat ini.

Stereng pula ada lebih ke arah lembut dan selesa, bukan terlalu berat, tapi cukup untuk memberikan keyakinan ketika mengambil selekoh. Disebabkan agih berat CX80 yang bagus, casis terasa seperti air sungai yang mengalir di selekoh. Tidak kalut macam SUV panjang lain.

Untuk suspensi, talaannya lebih ke arah lembut dan keselesaan. Di atas highway cesi berupaya menyerap segala kecacatan permukaan dengan baik. Malah kadar kebisingan pun adalah setara dengan jenama premium daripada jenama Eropah

Tapi macam biasa, tiada kereta yang sempurna. CX-80 pun ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki:

1. Transmisi ada perangai sendiri – transisi antara engine & motor elektrik kadang kala menghasilkan sentapal, macam ada perebutan “siapa nak ambil alih kuasa”. Tak terlalu mengganggu, tapi kalau dibandingkan dengan sistem hibrid Toyota/Lexus yang memang lancar, terasa CX-80 masih ada ruang untuk diperhalusi.

Ride comfort di belakang – bila duduk di kusyen barisan ketiga ,memang terasa berayun. Puncanya mungkin kombinasi rim 20 inci, absorber lembut, berat tambahan sistem PHEV, dan suspension travel panjang. Kalau Mazda nak selesaikan isu ini maka jawapannya ialah suspensi aktif seperti yang digunakan Volvo XC90. Cuma isu ni datang dengan harga yang lebih tinggi.

Mazda CX-80 datang dengan pakej keselamatan penuh i-ActivSense. Antara ciri-ciri yang ditawarkan termasuklah:

  • Adaptive Matrix LED headlamp – lampu pintar yang boleh suluh jauh tanpa silaukan orang lain.
  • Rear Cross Traffic Alert dengan brek automatik (RCTA w/ brake) – bukan setakat bunyi amaran, tapi siap auto brake kalau ada kereta melintas di belakang.
  • 540° kamera – pandangan sekeliling dan bawah lantai, menyenangkan urusan parkir

Mazda CX-80 ni bukan sekadar CX-8 versi besar. Ia ibarat pentunjuk ke halatuju Mazda pada masa depan dengan rekaan Kodo, tapi menawarkan ciri premium Jepun. Platform RWD dan AWD menawarkan rasa pemanduan yang lebih baik daripada SUV Jepun biasa.

Manakala sistem PHEV menggabungkan kombinasi kuasa besar tapi pada masa yang sama kekal mesra alam. Tambahan pula, Mazda memberikan servis percuma selama 5 tahun, jadi pemilik boleh memandu dengan lebih tenang.

Kalau CX-8 sebelum ni rasa macam alternatif kepada SUV Jepun mainstream, CX-80 dah melangkah jauh dengan memasuki gelanggang premium Eropah. Bezanya, CX80 membawa jiwa Mazda dan ketahanan nilai kejuruteraan Jepun.

Google ads
Back to top button