Pandu Uji

PANDU UJI: TANK 300 – BOLEH REDAH APA SAHAJA

Petang semalam, saya sempat menyertai satu sesi pandu uji yang dianjurkan oleh pihak GWM Malaysia. Dikenali sebagai GWM Tank 300 Off-Road Weekend, acara tersebut berlansung di tapak ujian Sepang Bay 13 yang terletak tidak jauh dari Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Pandu uji tersebut sekali lagi bertujuan membuktikan keupayaan SUV itu untuk mengharung laluan of-road yang mencabar dalam dunia sebenar.

Untuk makluman, ini merupakan sesi pandu uji ketiga Tank 300 selepas di M4TREC Semenyih pada Julai 2024 dan laluan ekstrem di kawasan pergunungan Changbai, wilayah Jilin China pada Januari lalu. 

Sesi ujian GWM Tank 300 Off-Road Weekend dimulakan dengan saya perlu memandu jentera berkenaan di laluan Rally Trail.

Walaupun namanya rali, tetapi saya hanya dibenarkan memandu pada kelajuan bawah 25km/j sahaja. Ini kerana laluan sempit tersebut sudah bertukar menjadi licin berikutan hujan lebat yang turun sejak awal pagi. 

Harus tahu bahawa unit yang saya pandu itu tidak menggunakan tayar khas untuk masuk off-road. Biarpun begitu, berbekalkan tayar sedia ada dan mode pemanduan Snow, laluan licin tersebut dapat diharung dengan yakin dan selamat.

Sepanjang pemanduan ini, selain hantaran kuasa yang linear saya dapati stereng Tank 300 cukup ringan, membuatkan SUV berkotak berkenaan cukup senang untuk dikendalikan. 

Selepas memandu dalam masa kurang 10 minit, saya diminta pula untuk meneruskan sesi ujian seterusnya. Course kedua itu memerlukan saya memandu Tank 300 di atas jalan berlumpur tebal dengan membelok ke kiri dan kanan dalam ruang yang agak sempit. 

Di sana, pemandu akan dapat merasai perbezaan apabila memandu dengan mode Snow diaktifkan atau sekadar menggunakan mode Normal. Percaya atau tidak, kedua-dua mode berkenaan memberikan pengalaman yang cukup berbeza. 

Masuk sahaja mode Snow, pemandu akan merasakan agihan kuasa ke roda akan menjadi lebih ‘sekata’ dan urusan untuk menempuh laluan licin itu menjadi lebih mudah. Sebaliknya, apabila mode kembali ditukar kepada Normal, saya dapat rasakan bahawa pemandu perlu menekan pendikit minyak lebih sedikit untuk memberi cengkaman pada tayar, manakala agihan kuasa juga rasa kurang lancar. 

Secara peribadi, saya lebih sukakan ujian ketiga. Ini kerana dalam tempoh dan jarak yang singkat, setiap pemandu boleh menguji sendiri beberapa mode pemanduan berbeza yang ada pada Tank 300. 

Terlebih dahulu, pemandu perlu memilih pacuan 4L. Untuk halangan pertama, mode pemanduan Rocky digunakan bagi melalui jalan yang dibina daripada bongkah-bongkah batu besar. Slow dan steady, mode tersebut membuatkan tugasan itu nampak begitu mudah. 

Kemudian, mode ditukar pula kepada Mud/Sandy. Kali ini, saya perlu memandu dengan sebelah kiri mendaki bukit. Sejujurnya, Side Slope ialah ujian yang paling mendebarkan kerana terasa badan lebih dekat dengan permukaan tanah. Mujurlah jaraknya tidaklah jauh. 

Habis Side Slop, pemandu perlu mendaki dan menuruni bukit yang agak tinggi. Ujian itu bukan sekadar menguji departure dan approach angle Tank 300, malah menunjukkan dengan menukar ke mode Mountain, jentera tersebut boleh mendaki cerun tinggi dengan begitu mudah. 

Sebaik sahaja sampai di atas, saya diminta untuk mengaktifkan ciri ciri Hill Descent Assist untuk turun dari bukit dengan selamat. Ciri tersebut tidak memerlukan anda menekan brek atau minyak ketika menuruni laluan yang curam.

Sebaik tiba di bawah, satu lagi ujian menanti. Tank 300 perlu meredah laluan ‘Elephant Steps” yang terdiri daripada lubang besar di kiri dan kanan jalan sehingga membuatkan masanya tayar tergantung. Pada waktu inilah cengkaman pada setiap tayar diperlukan. 

Jangan bimbang kerana dengan menukar ke mode Crawl Control, SUV berkenaan dapat keluar dari laluan sukar itu tanpa sebarang masalah.

Mode sama turut digunakan ketika masuk ke dalam kolam air yang kedalamannya hampir melepasi paras tayar. Seperti dijangka, Tank 300 mampu melepasi ujian itu dengan mudah tanpa perlu saya menekan minyak pun untuk keluar dari kolam tersebut. 

Sesi pandu uji diakhiri dengan pemanduan di Adventure Trail. Sebenarnya, ia tidak jauh beza dengan ujian pertama cuma laluan tersebut lebih mudah dan Tank 300 boleh dipandu dengan sedikit laju. 

Sejujurnya, selepas memandu tidak sampai setengah hari, saya kagum dengan keupayaan yang mampu ditawarkan oleh Tank 300. Nampaknya, saya tidak bersendirian kerana sejak dilancarkan sehingga kini, lebih 300 unit telah diserahkan kepada pelanggan. 

Sebagai recap, Tank 300 dikuasakan oleh enjin petrol turbo 4-silinder 2.0L yang menjana sekitar 220PS dan 380Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda menerusi kotak gear 8-kelajuan automatik.

SUV yang dibina di atas kerangka ladder frame itu hadir dengan  9 mode pemanduan, merangkumi pilihan mod ‘Standard’ (2H), ‘Standard’ (4H), Mod Salji (4H), Mod 4L (Normal, Lumpur/Pasir, Lubang, Gunung, Batu) dan Mod Pakar (Expert).

Jika berminat, Tank 300 boleh dimiliki pada harga bermula RM250,000 seunit dengan empat pilihan warna menarik iaitu oren, kelabu, hitam dan putih. 

GALERI

Google ads
Back to top button