Pandu Uji

PANDU UJI: MG S5 EV. MASUK DUSUN DURIAN BOLEH, LAYAN KARAK PUN BOLEH

Media test drive kali ini memang lain sikit. Bukan sekadar melibatkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, tapi siap ada slot makan durian segar di Bentong dan laluan light off-road sekali.

Paling best, semua itu kami laksanakan dengan model EV terbaharu daripada MG Malaysia, MG S5 EV Lux Long Range yang merupakan varian tertinggi dalam barisan SUV elektrik segmen C tersebut. 

Konvoi bermula dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan. Lebuh raya Karak pagi tu lengang, cuaca elok. Dekat Bentong, kami singgah di sebuah dusun durian. Untuk sampai ke dusun berkenaan, kami perlu mengharung laluan off-road naik turun bukit curam dan jalan yang semestinya tidak sempurna. Biarpun begitu, MG S5 EV mampu mengharungnya tanpa sebarang masalah atau drama. Relax dan cukup menyakinkan.  

Sambil menikmati pilihan durian Musang King, D24, Black Thorn serta buah-buahan lain seperti manggis dan rambutan, pihak penganjur turut membawa drone tajaan DJI Malaysia untuk kami cuba, sekali gus menawarkan satu pengalaman baru yang segar dan di luar kebiasaan.

Rekaan sporty, tidak keterlaluan

Dari segi rupa, MG S5 EV tidaklah terlalu agresif atau pelik macam sesetengah EV baharu yang cuba untuk menarik perhatian ramai. Garisan badannya clean, bentuknya memang generik SUV moden, tapi ada sedikit sentuhan sporty pada lampu depan LED nipis dan rekaan bampar. Cuma kalau bawa lalu depan orang yang tak kenal MG, mungkin disangka SUV petrol biasa.

Pilihan rim ada dua – 17 inci untuk varian asas dan 18 inci untuk Lux Long Range. Rim 18 inci tu memang nampak ngam dengan saiz badan SUV ni, tak terlalu besar sampai makan keselesaan, tapi cukup untuk bagi stance yang mantap.

Interior – Gabungan Minimalis dan Praktikal

Masuk ke dalam kabin, terus nampak skrin kluster instrumen digital bersaiz 10.25 inci yang jelas paparkan pelbagai info pemanduan penting. Di tengah-tengah papan permuka pula ada skrin sentuh 12.8 inci. Apa yang bagusnya, sistem infotainmen itu langsung tak complicated – menu ringkas, ikon besar dan fungsi pun tak berserabut. Nak sambung Apple CarPlay atau Android Auto? Senang, tak perlu bergaduh dengan sistem.

Butang kawalan fizikal untuk aircond dan audio masih dikekalkan – lega, sebab tak semua benda sesuai dikawal melalui skrin. Cuma corong udara dia agak pelik, rasa macam susah nak halakan angin sejuk tepat ke arah badan. Jadi, kebanyakan masa udara sejuk macam lebih menghala ke arah perut. Sabar je lah…

Konsol tengah nampak kemas dengan tombol gear jenis rotari. Tidak ketinggalan, ada dua cup holder, wireless charger 50W, brek tangan elektronik, perehat tangan dan ruang simpan barang yang besar. Tempat duduk dibalut kulit campur fabrik warna kelabu yang nampak elegan dan selesa untuk perjalanan jauh.

Ada juga sunroof dengan penutup fabrik. Cuma, bila cuaca terik, bahang panas memang terasa. Kalau beli, memang wajib pasang tinted yang betul-betul power untuk lawan haba.

Ruang tempat duduk belakang agak luas, tempat duduk tak terlalu tegak, dan walaupun lalu highway Karak yang berliku, body roll masih terkawal. Tahap NVH? Memuaskan untuk sebuah EV dalam segmen ini – bukanlah senyap macam kabin kereta mewah, tapi cukup untuk buat perjalanan terasa santai.

EV RWD dengan Karakter Sporty

MG S5 EV Lux Long Range dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang memacu roda belakang unik dalam segmennya. Dengan output sekitar 170 PS dan tork 250Nm, angka itu sudah cukup untuk memberikan pecutan lancar. Agihan berat 47:53 pula membuatkan jentera itu rasa seimbang macam sebuah kereta sports ringan.

Masa lalu selekoh dekat kawasan berbukit, SUV ni bagi rasa yakin. Steering tak terlalu ringan, masih ada feedback yang cukup. Suspensi pula ditala agar seimbang di antara aspek keselesaan dan kawalan, bukannya jenis keras sampai melantun atau lembik sampai mabuk apabila mengambil selekoh.

Balik KL – Bateri Tenang, Caj Pun Laju

Berbekalkan bateri berkapasiti 62kWh, MG S5 EV boleh menawarkan jarak sehingga 430km dengan sekali caj mengikut kitaran WLTP. Ketika bertolak dari Kuantan, bateri berada di tahap 96 peratus. Usaha menahan diri dengan memandu pada kelajuan purata bawah 120km/j jelas memberikan hasil apabila EV ini masih mempunyai tenaga yang cukup bila sampai di Bamboo Hills, KL.

Di sana, kami singgah untuk menggunakan pengecaj pantas DC yang dikendalikan oleh DC Handal. MG S5 EV menyokong pengecasan DC sehingga 150kW, jadi masa yang diambil hanya sekitar 20 minit untuk memastikan baterinya cukup untuk meneruskan perjalanan ke Shah Alam bagi menghadiri majlis pelancaran kereta baru sebelum EV ini dipulangkan semula ke Sungai Penchala. 

Bagi pengecasan AC di rumah pula, kadar maksimum 7kW memadai untuk caj semalaman.

Selepas dua hari memandu dari KL ke Kuantan, singgah dusun durian, lalu off-road ringan dan balik semula ke KL, jelas MG S5 EV Lux Long Range bukanlah sekadar EV bandar. Malah, ia terbukti boleh menjadi sebuah EV yang selesa untuk perjalanan jauh, seronok dipandu dan praktikal untuk kegunaan harian.

Reka bentuknya mungkin tak cukup ‘wow’ untuk membuatkan semua orang terus menoleh ke arahnya. Tetapi dalam dunia EV yang penuh rekaan pelik sekarang, kadang-kadang simple itu lebih mudah diterima. Kabinnya kemas, mudah dikendalikan dan dilengkapi teknologi yang cukup tanpa menyusahkan pengguna. 

Ditambah pula dengan pacuan RWD dan agihan berat yang hampir sempurna, MG S5 EV memang ada kelebihan tersendiri.

GALERI

Google ads
Back to top button