Pandu Uji

HONDA CIVIC e:HEV 2025 – NAIK TARAF PADU, HARGA KEKAL 167,000.

Honda kembali mengegarkan pasaran sedan dengan model Honda Civic versi facelift iaitu Honda Civic e:HEV 2025. Walaupun harganya masih kekal RM167,000 TETAPI senarai naik taraf yang ditawarkan melebihi harga yang ditawarkan sekarang.

Honda meletakkan satu penanda aras baru yang lebih tinggi pada pengeluar kereta lain, bagaiamana untuk menghasilkan sebuah sedan yang sporti, mesra alam dengan pemanduan bagaikan memandu jentera VTEC tradisional dengan “transmisi manual”

Honda Civic e:HEV 2025 kini tampil lebih garang dengan jeriji sarang lebah di bahagian bampar atas dan juga bawah. Bahagian “dahi” yang dulu menonjol seperti ikan flowerhorn kini tampil dengan rekaan lebih kemas, dan lampu kabus digantikan dengan perongga ambilan udara ala-ala Civic Type R yang lebih moden dan aerodinamik.

Lampu belakang diberikan kesan gelap (smoked) seperti daging disalai. Walaupun tiada perubahan bentuk yang ketara, warna yang lebih gelap menghasilkan jiwa yang berbeza, matang dan seolah-olah baru keluar dari kelab malam Tokyo

Rim baharu 18 inci 7 bilah menggantikan rim rekaan lama warna kelabu gelap menggantikan rim 5 bilah berkembar sebelum ni. Rekaan baru rim ini memberi ilusi lebih tegap dan elegan, sekaligus memberikan gandingan yang sesuai dengan karakter hybrid prestasi tinggi

Ruang kabin mengekalkan rekaan lama Civic, namun menggambarkan yang Honda cuba bersaing secara terus dengan Audi. Kusyen diberikan balutan seude dan kulit serta disulami dengan hiasan benang merah yang kelihatan seragam dengan calitan merah pada papan pemuka

Skrin digital untuk pemandu membuatkan anda terasa seperti mengemudi jentera F1, walaupun hakikatnya anda tersangkut di MRR2. Selain daripada keyfob, Honda menyediakan kad akses menjadikan proses membuka pintu seperti memasuki bilik hotel 5 bintang

Skrin sesentuh 9 inci lengkap dengan perisian Google ditawarkan untuk semua varian tapi hanya varian e:HEV sahaja yang menerima ciri sambungan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar. Arahan suara asas seperti sistem pandu arah boleh dibuat dengan suara

Sistem audio 8 pembesar pun boleh tahan kualitinya. Bunyi bass yang dihasilkan sudah cukup untuk buatkan trafik jam jadi sesi karaoke mini. Apatah lagi anda jarang sekali mendengar bunji nadi 2000cc 4 silinder i-VTEC

Walaupun enjin dengan operasi enjin Atkinson ini hanya menjana 143PS dan 184Nm tork sahaja, namun tugas utamanya ada untuk mengecas bateri sistem hibrid. Tugas menggerakkan kenderaan digalas oleh motor elektrik yang menghasilkan kuasa, cukup untuk dicemburui oleh nadi K20A

Motor elektrik ini menjana sekitar 184PS dan 315Nm seawal pedal minyak ditekan, dan memberikan kuasa segera. Sekiranya trenkuasa ini diperah, Active Sound Control akan menghasilkan bunyi deruman enjin lengkap dengan mimik apabila klac ditekan dan pedal minyak dilepaskan sekejap semasa gear manual bertukar

Ia menghasilkan rasa yang sangat puas apabila didengari oleh telinga dan merupakan ciri tipu sunat yang perlu ditiru oleh kebanyakan kereta elektrik lain. Honda memberikan data bacaan petrol sekitar 25km/liter sebagai bacaan rasmi.

Namun ujian dengan bacaan sebenar menunjukkan Civic e:HEV ini boleh mencapai sekitar 21.9km/liter dengan pemanduan sebenar atas jalan raya bersama-sama 4 penumpang, peralatan video dan juga beg pakaian

Biarpun tidak selaju Honda Civic Type-R namun Civic e:HEV masih menunjukkan pelbagai ciri yang cemerlang untuk dijadikan jentera seharian yang lincah. Pusingan stering hanya memerlukan 1.2 pusingan penuh ke kanan atau kiri, memberikan kawalan yang menggembirakan ketika beraksi di jalan selekoh

Ia diibaratkan memandu sebuah kereta kompak sport, apatah lagi posisi kedudukan pemandu direka dengan cukup ergonomik. Penulis sangat menghargai garisan sisi badan yang rendah,  tiang A yang tidak mengganggu penglihatan ke depan, hud depan kedudukan tayar yang direka supaya pemandu boleh mengagak kedudukan tayar di atas jalan raya serta kedudukan meter digital yang selari dengan mata

Semuanya direka dengan cukup baik membuatkan penulis terasa selesa dan meyakinkan, menjadikan penulis berani mencuba Civic e:HEV pada halaju yang tinggi. Sistem suspensi dan penyerap hentak terasa cukup selesa seadanya, dengan cesi tidak mengalami olengan cesi yang ketara di selekoh

Tayar Michelin Pilot Sport 4 bagaikan melekat dengan gam 3M di atas permukaan jalan. Halakan stering pada apeks selekoh, tekan pedal secara sekata dan tambah tekanan pada pedal minyak ketika keluar selekoh. Point, aim and shoot.

Secara ajaibnya, Honda Civic e:HEV menawarkan 2 mod pemanduan yang berbeza, dengan pada halaju perlahan ia beroperasi bagaikan sebuah kereta elektrik. Pada halaju tinggi, trenkuasa hibrid dan enjin akan bekerja serentak dengan bunyi enjin menghasilkan irama yang sedap pada gegendang telinga

Ciri keselamatan turut diperkemaskan oleh Honda dengan sistem Adaptive Cruise Control beroperasi dengan lebih lancar ketika menaiki dan menuruni jalan berbukit. Sistem Forward Collision Warning (FCW) boleh kesan pejalan kaki dan penunggang basikal dengan lebih tepat menjadikan pemanduan di bandar lebih selamat dan yakin

Dengan mengekalkan harga jualan yang sama iaitu pada RM167,000, Honda bukan saja berjaya mengekekalkan nilai tetapi memberikan naik taraf yang baik dari setiap sudut. Aspek luaran, dalaman, dan keselamatan menjadikan Honda Civic e:HEV ini sedan hibrid dengan nilai yang cukup baik

Harga yang ditawarkan oleh Honda merangkumi jaminan selama 5 tahun untk keseluruhan kenderaan  dan 8 tahun untuk komponen hibrid, ini memang satu pakej yang yang sukar untuk ditolak

Pada harga RM 167,000 anda akan mendapat sebuah kereta yang boleh dipandu bagaikan kereta elektrik, menjana deruman enjin VTEC pada halaju tinggi, menawarkan kualiti pemanduan premium bagaikan Accord dan penggunaan petrol setara dengan Honda EX5

Google ads
Back to top button