Pandu Uji

MITSUBISHI TRITON ATHLETE – PEJUANG 4X4 TEGAR

Dalam dunia pikap yang semakin sesak, terdapat satu jenama yang masih teguh berdiri di atas warisannya sendiri iaitu Mitsibishi Triton. Triton adalah nama yang diambil dari dewa laut dalam mitologi Yunani. Ia bukan sekadar berbunyi ganas, tetapi juga jadi simbol kepada kuasa, ketahanan, dan lasak

Sejak 40 tahun lalu, tanda nama Triton telah menjadi antara produk tulen paling lama dalam barisan Mitsubishi. Dan kini, dengan wajah baru dan teknologi penuh semangat, Triton kembali dalam mode “Beast”.

Muka baru Triton memang serius, dengan konsep berkotak, tinggi, tegap seolah-olah SUV yang direka untuk file, Jurassic World yang boleh jalan di bandar dan redah hutan sama yakin. Mitsubishi melempar terus segala bentuk melengkung ala-ala “urban lifestyle” dan digantikan dengan pendekatan function over form.

Hasilnya adalah rekaan unik, mengekalkan bahasa badan Mitsubishi dan merupakan evolusi daripada Dynamic Shield yang dikenali dengan nama “Beast Mode”. Lampu depan projektor LED direka berpetak, DRL diangkat ke atas, dan jeriji depan menjadi besar tapi tidak meniru Ford Ranger ataupun Toyota Hilux.

Gril besar bukan sekadar gimik untuk ilusi garang, tapi ia direka untuk penyejukan lebih cekap, manakala lampu utama yang diletak tinggi pula tak mudah rosak bila main lumpur. Nak main off-road? Silakan. Nak bawa barang berat ke tapak pembinaan? Lagi lah sesuai.

Paling menarik, walaupun rupa Triton ini berani mati, tapi ia berjaya mencuri hari juri-juri antarabangsa sehingga Triton memenangi anugerah iF Design Award 2024. Triton 2025 berjaya menggabung elemen lasak dan moden dalam satu pakej.

Bukan semua pikap dipadankan dengan enjin yang berbaloi dengan rupa luar dia. Tapi Mitsubishi Triton ini lain macam. Enjin turbo 2.4 liter MIVEC bukan calang-calang dengan 3 versi kuasa yang berbeza samaada 150PS, 184PS, dan varian yang paling padu menghasilkan 204PS dengan 470Nm khas untuk varian Athlete

Berbeza dengan model sebelum ini, enjin terbaru dihasilkan dengan menggunakan blok aluminium bagi mengurangkan berat. Namun piston masih lagi dihasilkan dari teknologi keluli tuang (iron cast) bagi ketahanan suhu yang tinggi.

Masalah enjin lambat panas diselesaikan dengan sistem kawalan pam minyak pelincir yang beroperasi secara elektrik manakala suhu optima enjin dikekalkan dengan menggunakan sistem penyejukan 2 peringkat. Malah kepala silinder dan blok enjin boleh disejukkan secara berasingan

Rekaan kebuk pembakaran direka semula untuk pembakaran yang lebih cekap manakala asap akan dikitar semula melalui sistem EGR yang disejukkan untuk mengurangkan pencemaran dan penjimatan bahan api

Jurutera Mitsubishi juga memberi penekanan kepada aspek gegaran dimana rekaan piston berada secara offset dari titik tengah aci engkol bagi mengurangkan gegaran. Cagak enjin juga direka semula bagi mengurangkan lagi kesan gegaran pada dalaman kabin

Tapi yang paling syok adalah sistem turbo 2 peringkat bagi varian Athlete. Ia bukan turbo biasa, tapi turbo yang boleh menjana bosst yang cukup pada RPM rendah dan tinggi . Hasilnya adalah respons enjin laju dan penggunaan diesel yang cekap

Secara purata Mitsubishi Triton baru boleh memberikan bacaan purata 12km/L bagi perjalanan bandar dan juga lebuh raya. Namun rekod paling baik bagi penulis ialah sekitar 15.6km/liter dengan halaju purata 90km/jam

Mitsubishi turut menaiktaraf aspek cesi pada Triton dengan menggunakan cesi ladder frame serba baru. Cesi ini adalah 65mm lebih lebar yang dihasilkan daripada high tensile steel. Secara tidak langsung ketegaran cesi meningkat 60%. Ini bukan sekadar angka kerana apabila meredah jalan rosak atau membawa muatan berat, Triton tidak akan melengkung atau melantun tidak tentu hala.

Triton juga menawarkan jarak antara roda yang lebih panjang (baik untuk keselesaan belakang) dan mounting point kabin lebih baru untuk keselesaan. Ruang kargo belakang berupaya menerima beban sehingga 1000kg serta menunda beban sehingga 3500kg

Suspensi belakang masih mengekalkan suspensi dedaun dengan 3 kepingan besi, namun dibuat lebih panjang untuk keselesaan. Suspensi depan pula menggunakan double wishbone, dan jarak pergerakan penyerap hentak ditambah 20mm untuk lebih kestabilan.

Masuk ke dalam dalam anda akan perasan yang Triton tidak memberikan suasana trak pekerja biasa. Rekaan Triton yang menggunakan konsep Horizontal Axis iaitu semua butang dan tombol disusun dalam garisan lurus, menjadikan mata anda tidak serabut dan semua butang mudah capai.

Skrin bersaiz 7 inci ditawarkan dengan sambungan Android Auto & Apple CarPlay dengan wayar namun pengecasan tanpa wayar disediakan untuk mengecas telefon pintar anda. Bagi penumpang belakang terdapat satu poin USB C dan USB A untuk tujuan pengecasan telefon

Bagi ruang belakang, kelebihan 3130mm jarak antara roda menawarkan ruang kaki yang lebih baik berbanding dengan model sebelum ini. Malah ruang belakang juga ditawarkan dengan corong penyaman udara yang dipasang di bahagian atas

Namun ciri yang paling bijak yang ditawarkan oleh Mitsubishi adalah sistem pacuan semua roda yang dikenali sebagai Mitsubishi Super Select 4WD II. Apa yang membezakan sistem ini dengan sistem 4WD biasa ialah komponen transfer case dan center differential digabungkan dalam satu unit

Keadaan ini membenarkan Triton boleh jadi sebuah AWD yang dipandu di atas jalan raya biasa dan pada masa yang sama membenarkan Triton bertukar menjadi sebuah 4WD sebenar bagi meredah laluan offroad yang lebih ekstrim. Ada 7 mode pemanduan yang ditawarkan antaranya ialah:

  • 2H – pacuan 2 roda belakang untuk penjimatan bahan api dengan 2 mode samaada Normal/ECO
  • 4H – pacuan 4 roda, sesuai dipandu atas jalan raya licin seperti semasa hujan
  • 4HLc – pacuan 4 roda dengan transfer case gear tinggi dengan mode Gravel, Snow, Mud & Sand
  • 4LLc – pacuan 4 roda dengan transfer case gear rendah dengan mode tambahan Rock

7 off-road mode yang ditawarkan (Gravel, Mud, Sand, Rock) akan membenarkan sistem mengubah respon throttle, penukaran gear, dan cengkaman mengikut keadaan permukaan jalan. Ini bukan main hentam masuk 4WD semata-mata, ini adalah sistem 4WD dengan IQ tinggi.

Dalam aspek pecutan 0–100 km/h, Triton mengambil masa sekitar 11 saat. Walaupun Triton tidak pantas macam sports car dengan tork sekitar 470Nm, tapi angka ini sudah mencukupi untuk pikap. Halaju maksima pula dihadkan pada 185m/jam, dan penulis mengesahkan Triton masih lagi stabil pada halaju ini.

Ketika dipandu secara santai, RPM enjin berada di bawah 2000 pada halaju 110 km/h membuktikan transmisi 6 kelajuan automatik sudah cukup untuk kegunaan Triton. Tapi sayangnya ciri paddleshift sudah dikeluarkan

Bagi varian Athlete, Triton menerima stering elektrik yang memerlukan 1.7 pusingan maksima untuk ke kiri atau kanan. Ini membenarkan Triton membuat pusingan U dengan jejari pusingan sekitar 6.2 meter sahaja. Bagi varian lain, Triton menggunakan stering dengan bantuan kuasa hidraulik

Brake depan menggunakan khidmat cakera brek bersaiz 320mm manakala brek belakang menggnakan brek drum, bukan sebab untuk menjimatkan kos tapi brek drum lebih tahan sesuai apabila Triton mengangkat beban. Dalam prestasi brek, Triton mengambil jarak antara 43 meter untuk membrek dari halaju 100km/jam sehingga pada keadaan statik

Dalam DNA trak pikap Jepun, Triton boleh dikatakan menawarkan pemanduan yang sangat selesa. Ia masih selesa dipandu pada halaju tinggi, namun ia tetap menunjukkan ciri understeer jika anda terlalu rakus di selekoh. Paling penting ialah Triton tidak terasa melambung walaupun hanya ada satu pemandu sahaja di dalam kenderaan

Triton baru bukan saja gagah, tapi juga selamat dipadankan dengan sistem ADAS yang lengkap merangkumi:

  • Forward Collision Mitigation (FCM)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Blind Spot Warning + Lane Change Assist
  • Rear Cross Traffic Alert
  • 7 beg udara

Jadi tidak hairanlah Mitsubishi Triton berjaya meraih skor 5 bintang dari ASEAN NCAP, Australian ANCAP dan juga Latin NCAP

Dengan lebih 120,000 unit Triton sudah dijual sejak dulu sehingga hari ni membuktikan Mitsubishi Triton memang tahan lasak dan jenama yang dipercayai. Apatah lagi Triton dilindungi jaminan pengeluar selama 5 tahun

Malah rekaan terbaru juga berjaya memenangi Best Design Japan Car of The Year 2024, membuktikan Mitsubishi Triton kekal juara dalam segmen ini. Gabungan reka bentuk berani, cesi dan suspensi mantap, enjin dengan turbo dua peringkat, serta sistem 4WD paling canggih dalam kelasnya menjadikan Triton pilihan tepat samaada untuk kegunaan rekreasi atau meredah laluan lasak ke tempat kerja

Google ads
Back to top button