
BYD ATTO 2, LOGIK & PRATIKAL. TIADA GIMIK MURAH
Kalau anda fikir BYD Atto 3 terasa macam abang sulung yang matang, BYD Atto 2 pula adalah adik bongsu yang baru masuk universiti yang lebih segar, penuh gaya, tapi ada sedikit perangai pelik yang buatkan kita tertanya-tanya. Adakah BYD sudah insaf dengan rekaan Atto 3 dan kembali ke pangkal jalan?
Adakah Atto 2 ini terlalu baik dan “skema” genius atau sekadar nak tunjuk ‘cool’?
BYD Atto 2 datang dengan bahasa rekaan Dragon Face generasi terkini BYD. Dengan kelebihan e-platform 3.0 yang baru, ia direka dengan “overhang” pendek sekaligus menawarkan ruang kabin yang luas, lampu depan tajam, dan garis badan yang kemas menjadikannya nampak sporty walaupun saiznya kompak.
Kalau BYD Atto 3 ada aura “cikgu gym”,BYD Atto 2 pula direka dengan halatuju yang lebih kepada anak muda baru beli dumbbell Shopee. Ia direka dengan konsep minimalis, tidak serabut dengan lengkung badan yang pelik, dan sesuai untuk golongan muda atau keluarga kecil yang nak gaya moden tapi tidak mahu kereta nampak macam Transformers separuh masak.

Rekaan belakangnya dihiasi tail light ‘infinity ring’ atau ‘fluid wave’ yang menyambung penuh antara lampu kiri dan kanan. Ruang kargo pula menawarkan sehingga 400 liter, sudah cukup untuk tiga beg balik kampung, dan apabila kusyen belakang dilipat, ruang tadi dibesarkan menjadi 1,340 liter
Cukup besar untuk untuk mengangkut balik semua barangan IKEA termasuk kerusi yang kau sumpah boleh pasang dalam 15 minit, tapi akhirnya makan tiga jam.
BYD Atto 2 menggunakan e-Platform 3.0 yang sama seperti BYD Atto 3, Dolphin, dan juga Seal. Suspensi depan menggunakan topang MacPherson manakala suspensi belakang dipasang dengan torsion beam yang lebih ringkas. Bunyinya seperti ‘downgrade’, tapi sebenarnya ini resipi biasa untuk sebuah SUV kompak.

Bateri Blade Battery LFP sebesar 51.2 kWh tersimpan di bahagian lantai, mencukupi untuk jarak pemanduan 450 km mengikut standard CLTC, atau lebih jujur 350 km berdasarkan protokol WLTP. Dalam dunia sebenar, anda akan dapat sekitar 300 km kalau dengan halaju normal seperti biasa tapi mencukupi untuk seminggu ulang-alik kerja.
Motor elektrik tunggal dipasang di roda depan menghasilkan sekitar 177 PS dan 290 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh capai sekitar 7.9 – 8 saat dengan halaju tertinggi dihadkan pada160 km/j. BYD Atto 2 bukanlah sekuat Tesla, tapi cukup untuk buat anda menang drag dengan Perodua Myvi di lampu isyarat (walaupun tak siapa pun tengah race dengan kau sebenarnya).
Dalam aspek pengecasan sistem DC fast charging membolehkan Atto 2 dicaj sehingga 82 kW, dengan pengecasan dari 30 ke 80% mengambil masa dalam 28 minit. Dengan sistem pengecasan AC pula, sistem 7 kW membenarkan anda melakukan “overnight” caj dan penuh pada pagi esok dengan mudah

BYD melakukan pembaharuan dengan ruang dalaman Atto 2 melalui konsep dalaman “flow and volume” yang menghasilkan rasa bebas dan minimalis, lebih kemas berbanding Atto 3 tapi tidak sampai setaraf dan premium seperti BYD Sealion.
Kusyen depan direka dengan sporti (one piece design dengan perehat kepala) siap dengan ciri penyejukan dan pelarasan kuasa elektrik. Terdapat 2 skrin digital yang disediakan iaitu satu skrin bersaiz 8.8 inci untuk pemandu dan satu skrin bersaiz 12.8 inci untuk infotainmen.
Butang kawalan penting kekal di bawah skrin walaupun anda sedang menggunakan Apple Car Play atau Android Auto, memudahkan anda melakukan pelarasan ketika memandu. Malah sistem operasi Apple CarPlay/Android Auto beroperasi dengan lancar lengkap dengan ciri tanpa wayar.
BYD juga menghasilkan ciri kawalan penyaman udara yang boleh dikawal dengan menggunakan tiga jari di skrin, macam main piano kecil. Turut disediakan butang “return” khas yang sangat berguna bila kita tersilap tekan menu dan akan berpatah balik ke paparan Android Auto.
Tapi BYD memilih untuk menggunakan rekaan gear yang dipasang di belakang stering untuk pasaran Malaysia, bukan di konsol tengah seperti yang ditawarkan di pasaran lain. Tapi malangnya, rekaan ini menjadikan tuil suis kanan “agak sempit” disebabkan bercampur suis signal dan pengelap cermin bercampur.

Bagi menyelesaikan isu ini, suis lampu diletakkan dalam skrin sebaris dengan semua suis penting. Anda perlu menekan suis pada menu skrin untuk menghidupkan lampu, seolah-olah lampu kereta ni lebih ‘optional’ dari radio.
Perehat tangan, kusyen, kemasan pintu dan steering semua dibalut kulit sintetik atau dipanggil sebagai vegan leather lembut. Ok untuk kelasnya. Cuma lampu kabin hanya menawarkan satu warna Cyan sahaja, macam parti bujang yang pasang satu mentol kuning. Sedikit bosan.
Bahagian belakang menawarkan ruang kepala dan ruang kaki yang luas. Jarak antara roda 2,620 mm cukup panjang untuk empat dewasa duduk selesa. Walaupun struktur lantai agak tinggi sedikit, tapi ia bukan masalah besar. Terdapat ruang poket pelbagai saiz di belakang pemandu dan penumpang, 2 port USB, dan perehat tangan.

Tapi anda harus faham bahawa BYD Atto 2 bukan SUV untuk dipandu oleh pemandu yang mementingkan pengendalian di laluan berselekoh. Tapi ia adalah SUV cemerlang untuk kegunaan harian. Dengan penggunaan tenaga sekitar5.7 km per 1kWh, pengecasan bateri penuh memberikan sekitar 300 km dunia sebenar.
Terdapat 4 mode pemanduan yang ditawarkan samaada Normal, Eco, Sport, dan juga Snow. Kalau hendak jimat, pakai Eco. Kalau anda hendak laju pakai Sport. Tapi paling penting anda boleh ubah tetapan brek regeneratif dan kekerasan stering mengikut keselesaan anda
Antara perkara yang boleh dipuji pada BYD Atto 2 ialah prestasti brek yang lancar dan meyakinkan. Sistem brek regeneratif boleh mengecas semula sehingga 50-60 kW. Tapi bila melalui permukaan jalan yang tidak rata brek regeneratif akan dibatalkan dan sistem ABS akan mengambil alih.

Terdapat 2 mode stering yang boleh dipilih samada Comfort atau Sport, tapi dua-dua agak kaku yang memberikan rasa seperti bermain “game racing” dengan alat kawalan lama. Walaupun menggunakan torsion beam, kawalan cesi BYD Atto2 adalah lebih baik dan kurang olengan cesi dari Atto 3.
Dengan jarak kelegaan permukaan jalan sekitar165 mm (lebih rendah), berat 1,570 kg (lebih ringan), dan menggunakan tayar 215/60 R17 (lebih tebal dan ringan) mungkin menyumbang pada faktor keselesaan ini. Untuk aspek NVH, BYD Atto 2 mencatatkan bacaan bunyi bising sekitar 56dB pada halaju 110km/jam
BYD melengkapkan Atto 2 dengan sistem ACC (adaptive cruise control), ICC (intelligent cruise control), amaran dan sistem brek kecemasan AEB, kamera 540 darjah, Traffic Sign Recognition, dan Traffic Jam Assist. Senang cerita, banyak teknologi yang biasanya kereta segmen lebih mahal baru dapat.

Cuma sayang, BYD Atto 2 tiada ciri blind spot monitor dan RCTA (rear cross traffic alert). Jadi bila keluar parkir secara mengundur, mungkin anda kena berdoa dengan lebih sedikit. Bagi ruang kabin, penulis mengkiritik ciri corong penyaman udaran yang hanya ada satu corong tengah sahaja.
Dengan harga sekitar RM 100,000 BYD Atto 2 merupakan calon EV yang agak mampu milik, dengan jaminan selama 6 tahun atau 150,000 km untuk kereta, dan 8 tahun atau 160,000 km untuk bateri. BYD Atto 2 bukanlah EV paling laju, paling mewah, atau paling canggih. Tapi dia adalah pakej lengkap untuk pengguna yang mahukan EV urban, praktikal, dan bergaya tanpa terlalu mahal.







