
TOYOTA GR YARIS 8AT – KERETA SPORT DERHAKA?
Kereta sport bukan direka untuk praktikaliti, ia direka hanya untuk satu perkara dan menawarkan satu spektrum pada pemandu. Keseronokan pemanduan yang maksima. Kereta sport tidak semestinya laju, tapi ia tetap menawarkan kegembiraan mutlak
Keseronokan memandu kereta sport ini ibarat candu dalam kehidupan, yang membuatkan ramai lelaki membeli kereta sport bagi mencari kebebasan diri. Untuk nilai kebebasan ini, harga yang perlu dibayar ialah kereta sport perlu datang dengan gear manual
Pemandu perlu merasai kemerdekaan jiwa menukar gear manual dan menekan klac serta rentapan kasar kereta sport sebaik sahaja pedal klac dilepaskan dan pedal minyak ditekan rakus. Ia merembeskan adrenalin yang tidak dapat diganti dengan pecutan kereta elektrik

Gear automatik atau gear Direct Shift Gearbox yang ditawarkan oleh Volkswagen sebagai pilihan gearbox tunggal bagi Golf-R sebenarnya mungkin menawarkan kecekapan penukaran gear lebih laju daripada pelumba biasa dan sebenarnya menawarkan kecekapan bahan api serta pelepasan asap yang lebih baik daripada gear manual
Namun semasa memandu uji Golf-R, penulis mendapati penukaran gear dibuat terlalu “kosong” dan terasa terlalu robotik. Mungkin terlalu sempurna sehingga gear DSG ini menjadikan anda pemandu “profesional” dengan tidak sengaja.
Sehingga pada satu tahap penulis, penulis merasa adalah satu dosa kerana Golf-R tidak ditawarkan dengan pilihan gear manual 6 kelajuan. Jadi apabila Toyota mula membangunkan gear automatik 8 kelajuan sebenarnya kami tidak ambil kisah sangat

Mungkin ia sekadar percubaan Toyota untuk menarik lebih banyak Gen Z kembali meminati kereta dengan pilihan gear automatik. Pasaran gear manual dengan spektrum kecil generasi millenial mungkin semakin mengecil, jadi untuk mengekalkan produk GR pilihan gear automatik adalah lebih strategik
Namun Toyota bukanlah seperti kebanyakan syarikat automotif yang lain, dengan mengambil jalan mudah dengan membeli mana-mana produk gear automatik yang dipamerkan dalam buku katalog produk dari Aisin atau dari ZF Friedrichshafen AG
Dengan berpegang pada prinsip “hitozukuri” dan dalam budaya kerja Toyota ia bermaksud Toyota kena belajar dan bangunkan sendiri kotak gear ini. Melalui entiti Gazoo Racing, Toyota mula membangunkan transmisi 8 kelajuan Gazoo Racing Direct Automatic Transmission berdasarkan ujian dan maklumbalas daripada pengalaman Toyota Gazoo Racing World Rally Team

Pengalaman yang dikutip melalui aktiviti perlumbaan sebenar bukannya di dalam makmal Toyota. Malah transmisi ini juga diuji dalam perlumbaan Japan Super Taikyu. Pendek kata transmisi 8 kelajuan automatik ini diuji di litar dan laluan perlumbaan sebenar
Malah ia turut menerima input bagaimana transmisi ini patut bekerja sewakt acara gymkhana dan berlumba di atas track dengan keupayaan buatan (AI) untuk belajar corak penukaran gear dan pemanduan anda sewaktu memandu
Semua input yang diterima oleh versi prototaip adalah disuap sendiri oleh pemandu rali, pemandu profesional, pemandu amatur bagi memperhalusi lagi ketahanan kotak gear dan corak penukaran gear. Proses pembangunan kotak gear melibatkan proses ujian, mengenalpasti masalah, menjahanamkan unit prototaip dan akhir sekali pembaikan dari segi pengaturcaraan dan juga komponen

Kita boleh ibaratkan jurutera Toyota menemubual pelumba professional dan meminta kepakaran mereka diterjemahkan dalam kod pengaturcaraan transmission control unit kotak gearbox. Bagaimana kotak gear patut bertindak sewaktu berlumba, begitulah aksi yang akan dicurahkan pada anda sewaktu melenjan GR Yaris ketika memandu laju
Transmisi ini akan menerima input daripada sensor seperti throttle position, brake sensor, steering angle, yaw rate, speed sensor, wheel speed, drive mode, paddle shifter, g sensor, dan juga suhu transmission fluid bagi menentukan corak penukaran gear, menjangkakan gear yang sesuai dan juga cara torque converter bekerja
Natijahnya, Gazoo Racing Direct Automatic Transmission 8 kelajuan ini boleh:
1. meneka dengan tepat gear ratio yang sesuai dengan pemanduan
2. Tahan panas dengan binaan komponen khusus untuk beroperasi pada suhu tinggi, dan pada masa yang sama lengkap dengan sistem penyejukan khas untuk transmisi

3. 8 ratio yang direka khusus dan disusun rapat supaya pemandu boleh memksimakan operasi enjin dalam “power band”
4. Mode manual paddleshift lengkap dengan Sequential Shift Logic yang meniru penukaran gear seperti gear perlumbaan sequential
Jika anda pernah memandu gear manual 6 kelajuan secara agresif, anda akan tahu kesukaran untuk anda meneka gear dengan tepat setiap kali anda berjumpa selekoh. Atau selekoh menuruni bukit diikuti dengan selekoh mendaki seperti Jalan Grik -Jeli. Boleh jem kepala apabila anda memandu dengan agresif
kalau tersilap gear, anda mungkin menyebabkan “money shift” masuk gear rendah, enjin over revving dan game over. Masuk gear terlalu tinggi dan anda kehilangan pecutan dan kuasa. Dengan Gazoo Racing Direct Automatic Transmission, anda hanya perlu fokus pada proses brek, masuk selekoh dengan betul dan pecut

Point & shoot. Point & shoot. Repeat.
Dari segi pecutan GR Yaris AT ni 0-100 km/j dalam 5.2 saat (lebih laju dari varian manual 6 kelajuan yang ambil masa 5.5s) dan halaju tertinggi kekal 230 km/j (walaupun sebenarnya lebih laju). Jika anda membuka speed cut, mungkin GR Yaris ini boleh mencapai kelajuan 260–270 km/j.
Kelebihan laih varian automatik ialah ia datang dengan ciri launch control dan torque converter, jadi pecutan dia memang padu. Berbeza dengan kereta sport lain yang dibungkus kemas dengan bahan kedap bunyi, GR Yaris terasa sangat “raw” dengan bahan kedap bunyi minima
Anda boleh mendengar bunyi gear whine, turbo spool, waste gate dan juga pergerakan mekanikal daripada sistem pacuan semua roda GR-Four menjadikan GR Yaris seakan-akan hidup dan tidak kaku seperti kereta sport yang lain. Ia menjadikan anda dapat bekomunikasi 2 hala dengan cesi GR Yaris

Apatah lagi respon enjin kini menjadi semakin liar dan ringan dengan hamburan kuasa 300PS dan 400Nm tork. Berbeza dengan model lama, pertambahan kuasa ini diberikan sekali dengan beberapa komponen tambahan yang tiada pada model sebelum ini.
Sebagai contoh, varian terbaru menerima ciri Cold Air Intake Duct yang bertindak menyedut udara sejuk dari luar enjin bay, menjadikan suhu udara semakin rendah (antara 5-10 darjah Celcius lebih rendah), mengurangkan risiko knocking, dan mengekalkan boost turbo pada tahap maksimum untuk menjana 300PS
Penggunaan bahan api bergantung terus dengan cara anda memandu, jika anda terus tekan dan bergembira dengan bunyi enjin, ekzos dan kestabilan GR Yaris pada halaju tinggi, penggunaan bahan api akan menjadi sekitar 9.5km/liter

Namun jika anda memandu dengan berhemah mengikut halaju kebangsaan, ia akan menjadi sekitar 12km/liter, satu angka yang logik bagi enjin berkuasa tinggi. Sebaiknya penggunaan petrol RON97 digalakkan dalam pemanduan agresif, bagi mengelakkan masalah knocking
Bagi sistem brek, GR Yaris masih mengekalkan brek spesifikasi yang lama. Keluar sahaja dari arking dalam keadaan suhu sejuk operasi brek akan menghasilkan bunyi brek klasik (squeal). Ia merupakan fenomena biasa bagi sistem brek yang menggunakan semi metallic performance compound. Malah operasi brek pada halaju rendah rasa kurang menggigit
Namun apabila mencapai suhu optimum pada halaju tinggi, brek menjadi amat sensitif dengan input pemandu. Tiada isu brake fade atau cesi GR Yaris dive ke kiri atau kanan semasa brek agresif. Ia melekit, menggigit dan modulasi brek adalah sangat konsisten
Point, shoot & brake. Ulang balik proses ini dan ia menyebabkan anda menjadi ketagih.

Untuk respon stering, penulis mendapati stering ini menunjukkan sedikit karekter “Off-center” iaitu fenomena ruang kosong sebelum tayar betul-betul ikut arahan. Tapi sifat ini sebenarnya adalah talaan khas GR EPS supaya GR Yaris lebih mudah dikawal di permukaan longgar (offroad) atau menyertai perlumbaan rali. Dalam bahasa lain, ia bukan stereng malas, ia stereng bijak.
Walaupun dipakejkan sebagai jentera prestasi tinggi, namun ia tidak menghalang GR Yaris daripada dipasang dengan ACC yang cekap, AEB yang bertindak pantas (2 kali menyelamatkan penulis) , Lane Departure Warning, Lane Tracing Assist, Road Sign Recognition, dan lampu tinggi automatik. Semua ini dibalut dengan waranti 5 tahun, pada harga sekitar RM325k sahaja menjadikan GR Yaris sangat praktikal.
Tapi GR Yaris bukanlah sempurna dan anda kena terima hakikat bahawa terdapat beberapa pembaharuan yang boleh dibuat bagi menjadikan jentera ini lebih meriangkan. Pertama kusyen pemandu depan tidak menawarkan tuil atau butang untuk melipat kusyen dan menggerakkannya ke depan. Aksi ini perlu dilakukan dengan 2 tuil yang berbeza, satu untuk lipat, satu untuk tolak ke depan

Kedua, walaupun perumah skrin multimedia kelihatan besar, tapi saiz skrin adalah sekitar 8 inci sahaja. Adalah lebih baik besarkan sikit saiz skrin supaya membantu anda melihat selekoh di depan dan menggarkan kelajuan yang tepat. Orang yang beli GR Yaris bukannya muda dan mata pun dah rabun.
GR Yaris 2025 AT bukan sekadar bagi pilihan untuk peminat yang tidak mahir melakukan heel & toe dengan gear manual. Ia sebenarnya versi yang lebih konsisten dan mesra pengguna, tapi masih menyimpan karakter rally monster. Ia macam kucing liar yang sudah jinak sikit tapi bila kau usik ekornya, dia kembali mencakar.


