
TOYOTA COROLLA CROSS HYBRID – AKHIRNYA INSAF
Toyota Corolla Cross Hybrid bukanlah model serba baharu, tapi apa yang dilakukan Toyota untuk versi facelift ini cukup untuk dianggap sebagai “kenaikan pangkat” yang ketara. Corolla Cross Hybrid bukan sekadar facelift kosmetik, tapi turut membawakan pembaharuan teknikal dan teknologi yang menjadikan SUV segmen C ini lebih matang, moden dan praktikal.
Bahagian hadapan kini tampil lebih kemas dan moden atau bahasa mudahnya modern minimalist tapi mengekalkan nilai sofistikated. Gril baharu yang lebih anggun, dengan lampu utama LED dengan rekaan lebih tajam serta bampar depan yang sporti memberikan rupa paras yang lebih elegan. Malah lampu depan disolek dengan butiran LED yang nampak lebih tersusun dan pada masa sama, mahal.
Jika model sebelum ini dilabel sebagai “overstyled” atau terlalu dramatik, rekaan facelift ini lebih minimalis dan sophisticated dengan diselitkan sedikit aura daripada jenama Lexus, terutamanya pada wajah depan.

Corolla Cross Hybrid kini dilengkapi dengan sistem hibrid generasi keempat Toyota Hybrid System (THS). Sistem ini menggandingkan enjin 4 silinder 1800cc kitaran Atkinson (ZZR-FXE) yang menghasilkan 98 PS dan 142 Nm dan disokong oleh motor elektrik yang menyumbang 72 PS dan 163 Nm.
Apa yang menarik ialah, sistem ini tidak hanya bergantung pada enjin atau motor secara berasingan, tetapi menggunakan Power Split Device, iaitu gear planetari khas yang boleh menggabungkan kuasa enjin dan motor elektrik dalam satu modul.
Ini membolehkan sistem berfungsi dalam mod parallel hybrid (enjin dan motor bergerak bersama) atau series hybrid (motor sahaja memacu roda manakala enjin mengecas bateri) bergantung pada keperluan kuasa dan pemanduan. Hasilnya ialah pemanduan yang lancar, senyap, dan sangat jimat bahan api.

Masuk ke dalam, kita terus nampak peningkatan yang ketara adalah Electronic Parking Brake (EPB) dengan ciri Auto Hold bagi menggantikan brek parkir yang diaktifkan dengan menggunakan kaki pada model sebelum ini.
Toyota turut memberikan naik taraf pada skrin infotainmen kini bersaiz 10.1 inci (naik taraf dari 9 inci), manakala kluster meter digital sepenuhnya kini 12.3 inci dengan rekaan yang sama seperti digunakan dalam Toyota Vellfire atau Alphard generasi terbaru.
Ciri tambahan lain dikekalkan seperti pendingin hawa dua zon, pencahayaan biru ambien pada kemasan pintu serta sistem bunyi 6 pembesar suara memberikan pengalaman kabin yang lebih premium walaupun bukan dari jenama JBL

Material dalaman juga ditingkatkan dengan kemasan lembut (soft touch) bukan hanya pada papan pemuka dan konsol tengah, tetapi juga pada panel pintu belakang. Ruang simpanan di ruang kargo berkapasiti 440 liter, dan boleh dibesarkan sehingga 1,166 liter apabila kerusi belakang direbahkan. Menariknya, Toyota masih mengekalkan tayar simpanan bersaiz penuh, satu ciri yang makin jarang ditemui hari ini.
Corolla Cross Hybrid menawarkan empat mod pemanduan samaada Eco, Normal, Sport dan EV Mode dalam jarak terhad sekitar 2km hingga 4km sahaja disebabkan bateri 1.3kWh sahaja. Pecutan 0–100 km/j dicatatkan sekitar 10.7 saat dengan kelajuan maksimum 180 km/j. Namun, sistem THS ini lebih menekankan kecekapan daripada prestasi dan sangat ideal untuk pemanduan bandar.
Rekaan Power Split Device tidak membolehkan hubungan langsung antara enjin dan tayar dibuat pada kelajuan tinggi, jadi pemanduan lebuh raya yang laju mungkin kurang efisien berbanding pemanduan bandar atau kelajuan sederhana.

Namun, untuk pemandu biasa penggunaan bahan api yang mencatatkan 19–21 km/l (pemanduan lebuhraya dan bandar) dan lebih 30 km/l dalam trafik bandar adalah sangat mengagumkan.
Walaupun tiada paddle shifter seperti Toyota Zenix, sistem regenerative braking membantu memperlahankan kereta secara semula jadi ketika lepas pedal minyak. Sistem brek pula memerlukan sedikit tekanan tambahan jika anda memandu agresif, tetapi masih cukup baik dan boleh diharap.
Tambahan ciri seperti Autonomous Emergency Braking (AEB) dan Parking Support Brake meningkatkan lagi tahap keselamatan terutama ketika anda memarkir kenderaan di kawasan yang sempit.

Steering yang dibekalkan oleh Toyota pula merupakan satu elemen yang sukar untuk dilawan oleh mana-mana SUV dari China. Berbeza dengan SUV dari China yang terasa kaku dan menjadikan pemanduan seperti robot, stering daripada Toyota rasa seimbang dari segi selesa dan respon
Platform TNGA (Toyota New Global Architecture) memberikan kestabilan dan respons stereng yang lebih baik. Stereng terasa tepat dan ringan dan berat apabila laju makin bertambah, menjadikan pemanduan lebih yakin, terutama ketika melalui selekoh.
Suspensi pula, walaupun menggunakan rekaan torsion beam di belakang, masih menawarkan keseimbangan antara keselesaan dan kestabilan. Ia menyerap hentakan dengan baik tanpa terlalu membuai dan sesuai untuk pemanduan harian.

Toyota Safety Sense (TSS) diberikan secara standard. Antara ciri penting yang disertakan termasuk:
- Pre-Collision System (PCS)
- Lane Departure Alert (LDA)
- Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) – lebih halus dan kurang menyentap
- Lane Tracing Assist (LTA)
- Auto High Beam (AHB)
- Parking Support Brake
- Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
Gabungan semua sistem ini menjadikan Corolla Cross Hybrid antara model paling lengkap dalam aspek keselamatan dalam kelasnya.
Kelemahan Utama
Ruang kaki dan lutut untuk penumpang belakang masih menjadi kelemahan utama. Postur dan posisi duduk adalah selesa untuk 2 penumpang dewasa dan ruang kaki yang memuaskan. Tapi jika dibandingkan dengan Honda CR-V, anda akan rasa perbezaan yang besar

Apatah lagi anda bercadanga untuk memasang kerusi bayi atau kerusi keselamatan kanak-kanak. Penulis menyarankan anda untuk mencuba duduk sendiri jika anda memang perlukan kabin belakang yang luas untuk pemasang kerusi bayi yang besar gadabak.
Corolla Cross Hybrid facelift ini bukan direka untuk bersaing dengan SUV turbo atau EV berkuasa tinggi. Tapi ia adalah antara pilihan terbaik untuk mereka yang mahukan kenderaan harian yang selesa dan praktikal, kos penggunaan bahan api rendah, penyelenggaraan yang senang, stabil dan stering yang berkomunikasi dengan anda
Jika dibandingkan dengan kepantasan SUV turbo atau kecanggihan SUV elektrik, mungkin 18 tiang lampu jalan Toyota Corolla Cross ditinggalkan. Namun ia adalah SUV yang boleh diharap, selesa dan setia untuk berkhidmat dengan anda meskipun 10 tahun telah berlalu


