
AUDI Q7 – SUV UNTUK ORANG DAH LAMA KAYA
Audi Q7 ni bukan SUV biasa. Ini bukan SUV yang anda beli disebabkan anda nak menunjukkan kekayaan liar biasa di parkir pusat beli belah sambil buka pintu gaya burung camar terangkat ke atas. Audi Q7 adalah SUV pertama dari Audi sejak dari tahun 2005 lagi
Audi Q7 adalah model pertama yang telah membuka jalan untuk keseluruhan barisan SUV Ingolstadt yang menghasilkan model SUV lain yang lebih kompak seperti Audi Q5, Q3, Q2, dan juga Q8
Audi Q7 baru saja memasuki generasi kedua yang dihasilkan bermula dari tahun 2015, dibina atas platform MLB Evo iaitu platform yang sama digunakan oleh keluarga Volkswagen seperti Bentley Bentayga, Lamborghini Urus, Porsche Cayenne, dan VW Touareg.

Kiranya kalau Audi Q7 ini satu keluarga, Audi Q7 adalah abang sulung yang bijak, bergaya, dan tak bising-bising macam adik tirnya iaitu Lamborghini Urus yang mahal tapi ruang kargo tak boleh isi barang IKEA.
Audi Q7 facelift memasuki pasaran Malaysia sekitar tahun 2020 sebagai CBU, iaitu model diimport penuh dari Jerman dengan harga sekitar RM600k. Tapi bagi versi tahun2025, Audi Q7 ini merupakan unit CKD (dipasang secara tempatan), denganharga jauh lebih masuk akal iaitu sekitar RM462k.
Murah ata mahal bergantung pada kedalaman poket anda. Tapi dengan harga yang diminta dan teknologi yang ditawarkan, ini adalah ibarat Audi sedang mengadakan jualan besar-besaran.
Selepas Wolfgang Egger berhijrah ke BYD, tugas rekaan luar Audi digalas oleh Marc Lichte yang merangkap sebagai pereka utama Audi. Kalau sebelum ini Audi Q7 nampak macam boss dalam suit korporat, versi baru Audi Q7 ini macam boss yang balik dari cuti ski di Switzerland tapi still pakai jam Patek Philippe.

Marc menghasilkan jeriji depan dengan rekaan Singleframe baharu dengan mengambil inspirasi daripada model SQ7 dan juga Q8. Audi Q7 juga datang dengan rekaan jeriji hexagonal mesh yang besar dan agresif. Lampu depan didatangkan dengan teknologi Matrix LED bagi lampu rendah dan Laser Light bagi lampu tinggi.
Manakala lampu belakang menerima teknologi OLED yang 4 jenis grafik animasi yang boleh dipilih mengikut seperti anda memilih wallpaper iPhone. Malah lampu LED DRL juga ditetapkan sendiri oleh anda mengikut gaya yang sesuai
Audi melalui pengawasan Marc mengubah bahasa rekaan dari “emotional & organic” ke arah “tech-driven & precision”. Permukaan Audi Q7 menjadi bersih, dengan garisan bahu yang tegap dan lurus, serta setiap inci panel badan nampak macam dicipta agar kelihatan premium

Audi Q7 turut menerima kemasan trim S Line menambah sedikit penggayaan luar dan dalam. Ciri pertama ialah rim 22 inci dua tona, kemasan plastic cladding dengan warna badan, rongga kemasukan udara di bampar lebih sporti, rear diffuser dan gril serba hitam berkilat.
Di bawah hud,Audi Q7 dibekalkan dengan enjin 3.0L V6 TFSI yang menjana 340 PS & 500 Nm. Pecutan 0–100 km/h dibuat dalam masa sekitar 5.6 saat, laju untuk sebuah SUV seberat2.2 tan. THalaju tertinggi dihadkan secara elektronik pada 250 km/j — macam orang Jerman kata, Autobahn-ready.
Sistem mild hybrid 48V yang menemani enjin V6 turut membantu mematikan enjin hingga 40 saat antara kelajuan 55–160 km/j. Jadi walaupun ada kuasa, Audi Q7 tidak minum petrol macam orang lepas puasa. Penggunaan bahan api purata 10.98 km/l iaitu angka yang munasabah untuk saiz dan juga prestasi.

Audi Q7 turut diberikan sistem Quattro AWD standard bagi menjinakkan kuasa enjin, dan digandingkan dengan kotak gear 8 kelajuan automatik yang dibekalkan oleh ZF. Gabungan semua teknologi ini menghasilkan pemanduan yang bukan sahaja mantap, tapi menawarkan rasa kereta mewah sebenar iaitu gandingan senyap, berkuasa, tapi sentiasa bersedia untuk dikejutkan.
Masuk sahaja ke dalam kabin kabin, terasa seperti Audi mengambil pejabat CEO dan dilipat masuk dalam SUV. Susun atur dashboard Q7 sangat kemas dan tersusun, tak serabut macam poket seluar lepas balik pasar malam.
Q7 menawarkan skrin Audi Virtual Cockpit 12.3 inci yang memaparkan peta terbina dalam dengan grafik piksel tinggi. Sistem infotainmen Multi Media Interface dengan saiz 10.1 inci juga boleh digunakan untuk navigasi & hiburan, makankala skrin 8.6 inci yang berada di bawah khas untuk kawalan suhu & penyaman udara.

Kalau anda seorang yang audiophile, sistem audio Bang & Olufsen 3D Sound dengan 19 speaker dan 730 watt boleh menghasilkan konsert mini dalam kereta. Sambungan Apple CarPlay atau Android Auto tturut ditawarkan secara tanpa wayar
Kemasan dalaman menggunakan kulit Valcona, dengan kemasan hitam berkilat piano black dan pencahayaan lampu pada waktu malam. Kabin Audi Q7 memberikan rasa eksklusif, moden, dan pada masa sama rekaannya adalah fokus pada pemandu.
Tempat duduk baris kedua menawarkan ruang yang selesa untuk 3 orang, dengan corong penghawa dari tiang B dan juga konsol tengah. Sebenarnya sistem penyaman udara Audi Q7 menawarkan 4 zon kawalan suhu yang berbeza. Untuk tujuan privasi, tirai cermin sisi belakang turut disediakan


Ruang bagasi menawarkan kapasiti sehingg 295 liter dengan 7 tempat duduk digunakan, menjadi 780 liter jika kusyen barisan ke 3 dilipat sepenuhnya. Jika kusyen barisan ke 2 dilipat, maka ruang kargo menjadi 1908 liter, muat untuk letak basikal, stroller, bag balik kampung dan bantal peluk isteri serentak.
Audi Q7 ni tak main-main dengan teknologi pemanduan dengan pelbagai penawaran teknologi terkini melalui platform MLB Evo. Sistem suspensi menggunakan beg udara (bukan coil spring) atau dalam bahasa lain air suspension yang membantu pelarasan ketinggian kenderaan
Dalam keadaan mode Comfort, ketinggian Audi Q7 dilarasakan khusus untuk Ride Comfort, direndahkan dalam mode Efficient, dan ditinggikan sehingga 245mm dalam mode Offroad.

Malah penyerap hentak juga adalah dari jenis adaptif dengan kekerasan penyerap hentak diubah berdasarkan mode pemanduan yang dipilih, cukup untuk meredah jalan estate Felda atau bersiar-siar di tepi pantai Desar
Sistem Drive Select pula membenarkan anda menukar karakter pemanduan dari pilihan Efficient, Comfort, Dynamic, Allroad, Offroad dan Individual. Jadi dari highway ke kampung ke bukit Fraser, semua boleh dilarasakan dengan mudah
Kelebihan platform MLB Evo yang lain ialah respon stering yang cukup padu, dengan bantuan kuasa elektrik namun cukup tepat. Roda stering Sedap digenggam dan senang diagak semasa mengambil selekoh. Teknologi stering roda belakang pula membantu operasi Q7

Jika dipandu dibawah halaju60 km/h, tayar belakang akan berputar melawan arah depan (mengurangkan jejari pusingan hampir 1m) manakala jika dipandu melebihi 60 km/h, roda belakang berputar mengikut arah roda depan untuk menstabilkan badan kenderaan pada halaju tinggi.
Audi juga memberi perhatian serius pada sistem brek, dengan cakera brek sebesar 375mm di roda depan dan 350mm di roda belajang. SUV seberat 2.2 tan ini boleh berhenti dalam keadaan statik dari halaju 100km/j dalam jarak 37 meter sahaja. Sistem brek regeneratif juga turut disediakan untuk pengecasan bateri 48V
Oh sebelum penulis terlupa, Audi Q7 menggunakan rekaan suspensi 5 Link di depan dan juga belakang. Lengan suspensi depan dipasang terus pada subframe cesi untuk tujuan kestabilan longitudinal dan juga lateral force. Bagi suspensi belakang, ia memberi fokus pada keselesaan

Apabila digandingkan dengan air suspension serta penyerap hentak adaptif, Audi Q7 boleh mengawal semua daya yang bertindak pada cesi. Ini bermakna olengan cesi, dive, dan pitch adalaha sangat terkawal. Senang cerita, rasa selesa seperti Limo tapi lincah macam kereta sport
Walaupun cesi MLB Evo ini sebenarnya cesi lama dan dibina ketika sistem ADAS masih lagi bertatih, Audi Q7 masih lagi menawarkan ciri Pre Sense, Side Assist dengan amaran keluar dan rear cross traffic alert, Lane Departure Warning, Adaptive Cruise Control, dan juga Park Assist
Namun berdasarkan pemerhatian penulis, Side Assist tidak menawarkan amaran visual yang cukup jelas melainkan pada skrin digital sahaja. Sekiranya anda menggunakan tetapan skrin yang lain, maka amaran tersebut tidak kelihatan pada skrin ataupun pada cermin sisi seperti kebanyakan kereta yang lain

Platform MLB Evo ni memang dari awal dibina untuk dinamik & ringan, bukan ADAS tahap roket Elon Musk. Jadi jangan harap ada pemanduan separa autonomi tahap Tesla. Ini kereta untuk mereka yang nak kawal, bukan kena kawal.
Tapi sekiranya anda mementingkan semua jenis amaran, brek automatik dan lane centering 24 jam, Audi Q7 ini mungkin bukan untuk anda. Tapi kalau anda tahu nilai kejuruteraan tulen dari Ingolstadt, maka Audi Q7 ini memang direka untuk jiwa kelajuan anda
Dalam dunia SUV yang makin penuh plastik dan sesentuh sampai cermin pintu pun kena swipe, Audi Q7 masih pegang kepada prinsip asal iaituprestasi, keselesaan, kejuruteraan dan rasa pemanduan tulen yang susah diajar.




