Pandu Uji

LEAPMOTOR C10 – RUPA MACAN, TALAAN MASERATI. HARGA MYVI?

Siapa sangka, model nombor 4 paling laris di China untuk 2025 (sehingga suku ke 2 20205) bukanlah datang dari jenama BYD atau Tesla. Tapi dari satu jenama yang baru sahaja mencuba untuk menembusi pasaran global iaitu Leapmotor.

Jenama ni kini berada di tempat ke 7 dari segi keseluruhan jualan di pasaran China, dan salah satu model utamanya iaitu Leapmotor C10, kini mula menapak di pasaran Malaysia. Selepas memandu uji sendiri, satu benda yang kami sedar bhawa ini bukan EV biasa dari China.

Ini SUV elektrik saiz besar yang bakal membuatkan anda terasa pelik kenapa Tesla Model Y boleh mahal sangat.

Bagi rekaan depan Leapmotor C10, anda boleh bayangkan yang Tesla Model Y berkahwin dengan Porsche Macan dan anak mereka ialah model C10. Untuk rekaan sisi garisan badan adalah minima dan juga bersih. Walaupun nampak moden, rekaan sisi Leapmotor tidak terlalu keterlaluan sangat seperti rekaan fiksyen sains

Sekali imbas, mata anda boleh mengesan rekaan minimalis Scandinavian yang digabungkan secara agresif dengan rekaan Eropah yang premium. Secara keseluruhan rekaan ini nampak seimbang dari segi tinggi, panjang dan juga lebar

Kedudukan tayar ditolak jauh ke depan dan juga belakang, memberikan jarak antara roda yang luar biasa mencapai 2,825mm menjadikan Leapmotor C10 ini berada dalam segmen D. Overhang depan dan belakang yang pendek juga memudahkan C10 menyelit masuk ke ruang parkir dengan senang

Rekaan belakang juga meniru rekaan depan dan sisi, nampak minimal tapi diberikan sentuhan moden pada penggunaan lampu bar LED, logo Leapmotor yang timbul serta rekaan belakang yang kelihatan seperti Porsche Macan daripada jauh. Rekaan ini nampak kemas dan tidak menyebabkan OCD pada pandangan mata anda

Leapmotor C10 dibina atas platform Leap 3.0 dengan dengan sistem elektrik 400V, manakala sistem bateri menggunakan teknologi Cell-to-Chassis. Ini membolehkan bateri menjadi sebahagian daripada struktur, bukan sekadar ditanam dalam lantai sekaligus meningkatkan ketegaran cesi dan menawarkan keselamatan lebih tinggi.

Hanya satu spesifikasi bateri sahaja yang ditawarkan iaitu bateri LFP sebesar 69.9kWh dengan penawaran jarak pemanduan mencapai 424km berdasarkan format WLTP. Bagi kemaskini tahun 2025, sistem pengecasan arus ulang alik dinaikkan kepada 11kW untuk pengecasan 30% ke 80% dalam masa 4 jam.

Bagi pengecasan pantas, On Board Charger dinaikkan kepada 84kW bagi membolehkan pengecasan 30-80% dalam masa 30 minit. Walaupun bukanlah paling pantas, namun ia sudah realistik bagi kegunaan harian pengguna bandar dan juga sub bandar

Menjengah masuk ke dalam kabin, anda akan dihidangkan dengan rekaan kabin yang bersih & minimalis. Ia adalah rekaan tipikal EV dari China dengan dua butang fizikal sahaja yang ditawarkan pada roda stering. Mujurlah ada butang suis kawalan untuk kusyen berkuasa dan juga larasan stereng manual. Masih ada sentuhan mesra manusia.

Papan pemuka dikuasai oleh skrin sebesar 14.6 inci yang dipacu oleh cip berkuasa tinggi Qualcomm Snapdragon 8155. Skrin ini bertindak mengawal semua parameter pada Leapmotor C10, termasuk kekuatan brek regeneratif dan juga mod pemanduan

Namun sayangnya skrin ini tidak menyediakan sambungan peranti Apple Car Play & Android Auto untuk sambungan telefon yang lebih mudah dan pantas. Mungkin jurutera Leapmotor sukakan cabaran dalam hidup.

Rekaan belakang SUV ini sangat mesra keluarga dengan rekaan lantai yang rata, ruang bahu yang besar, corong penyaman udara, bumbung kaca panaroma serta sudut menyandar yang selesa. Ruang kargo adalah sekitar 435 liter, namun boleh dibesarkan menjadi 1430 liter apabila kusyen belakang dilipat

Sayangnya tiada ruang kargo di bahagian depan disediakan, melainkan kabel pengecaj boleh disimpan dalam ruang khas di bahagian lantai ruang kargo belakang

Hanya satu motor sahaja ditawarkan, dengan motor elektrik satu motor elektrik dipasang pada roda belakang dengan tawaran kuasa 218PS dan juga 320Nm tork. Namun dari segi pecutan, Leapmotor C10 bukanlah paling berkuasa dengan 0-100km/jam mengambil masa 7.8 saat.

Angka yang bagi penulis “OK” bagi sebuah SUV D segmen dengan berat mencecah 2000kg. Namun dari aspek kecekapan, C10 menggunakan penggunaan tenaga sekitar 5.88km bagi setiap 1kWh, atau secara pengiraan kalkulator adalah sekitar 411km bagi satu pengecasan penuh

Namun paling menarik ialah sistem suspensi C10 ini ditala oleh pasukan dari Stellantis di Itali, atau secara tepatnya semua model eksport akan ditala di litar Balocco milik Maserati sendiri. Sistem topang McPherson di roda depan dan MultiLink di roda belakang menerima sehingga 200 talaan oleh pasukan Maserati

Hasilnya sepanjang ujian, penulis mendapati sistem suspensi Leapmotor beraksi dengan lebih baik berbanding dengan pesaing dari China. Pemerhatian penulis mendapati talaan ini dibuat agak mengimbangi antara keselesaan (ride comfort) dan pengendalian (handling).

Leapmotor C10 juga menunjukkan kestabilan yang baik di selekoh pada halaju sederhana, tidak mengalami olengan cesi yang menyebabkan penulis hilang keyakinan. Pada masa sama juga, permukaan jalan yang tidak rata berjaya diserap dengan baik, melainkan anda akan terasa sedikit melambung pada halaju rendah.

Brek regeneratif C10 juga terasa selesa dan canggih, dengan talaan dibuat oleh pasukan Maserati yang menawarkan kekuatan brek secara berperingkat berdasarkan halaju kenderaan, tekanan pada pedal brek dan juga kecerunan jalan.

Tapi yang paling penting, brek regeneratif Leapmotor C10 terasa natural dan bukannya terasa seperti dibrek oleh robot. Sekiranya berlaku kecemasan, jarak berhenti dari 100–0 km/j dibuat dalam jarak 38.4 meter sahaja. Pendek kata, apa yang dibuat oleh Stellantis pada C10 berjaya memberikan rasa pemanduan “Conti” pada Leapmotor C10

Namun jujurnya, tak semua aspek berjaya seperti aspek stering yang terasa ringan dan tidak banyak rasa komunikasi dengan pemandu. Rasanya C10 ini ditala khusus untuk pengguna bandaraya dan keselesaan yang baik berbanding menjadikan SUV ini sebagai jentera meratah selekoh seperti Audi

Satu lagi aspek yang boleh dipuji ialah sistem ADAS yang ditawarkan oleh Leapmotor C10 yang dirasakan lebih matang berbanding dengan jenama China yang lain yang suka marah-marah apabila mengesan mata kita teralih dari jalan dengan menggunakan sensor retina.

Sebagai contoh sistem DAA hanya akan memberikan amaran lengkap dengan pemasaan apabila perasan kita tidak fokus pada jalan raya. Sistem pelayaran pemanduan adaptif juga terasa lancar manakala sistem brek kecemasan boleh mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal

Leapmotor C10 bukanlah SUV elektrik untuk pemandu yang hendak menjiwai “kelajuan”. Ini bukanlah jentera BMW M atau Mercedes-AMG. Leapmotor C10 juga bukan Tesla yang penuh gimik. Ini adalah SUV elektrik yang direka untuk menjadi rasional, praktikal dan bagus untuk dipandu setiap hari

Tapi apabila anda mengenangkan ia adalah jenama China yang mula bertatih di peringkat global, dengan talaan Maserati, laku di China ia mampu membuat anda terkesima. Leapmotor C10 tidak main-main dan model ini mungkin menjadi satu permulaan dimana kita tidak pandang rendah kemampuan orang Asia

Apatah lagi ia adalah SUV elektrik segmen D pada harga RM 125,000 sahaja. Tak masuk akal kan

Google ads
Back to top button