
DENZA D9 – TAMPARAN ELEKTRIK UNTUK ALPHARD & VELLFIRE?
Dalam dunia MPV mewah, jenama seperti Toyota Alphard dan Vellfire ibarat raja takhta. Tetapi itu sebelum munculnya Denza D9 iaitu sebuah MPV elektrik penuh, dengan spesifikasi mengancam dan reka bentuk elegan.
Namun yang menjadi mimpi ngeri ialah, harganya bermula sekitar RM260,000 sahaja. Bunyinya macam gurauan, tapi realitinya inilah tamparan paling padu dari China buat dominasi MPV mewah buatan Jepun.
MPV biasanya sinonim dengan bentuk berkotak atau secara tepatnya rekaan 2 kotak yang mementingkan praktikaliti tapi secara jujurnya sangat membosankan. Menyedari hakikat tersebut Denza D9 mengubah permainan rekabentuk dengan rekaan jeriji depan ‘electric elegance’.

Rekaan ini mengetengahkan kemasan kilaun krom bagaikan dipotong dengan laser secara tepat yang menghasilkan garisan tajam dan mewujudkan imej ‘digital waterfall grille’ yang mengalir umpama air terjun bagaikan Rolls-Royce versi EV.
Rekaan lampu hadapan bukan calang-calang dengan namanya sendiri kedengaran bongkak iaitu Starlight Wing. Rekaannya terinspirasi dari sayap maharaja Dinasti China, yang membawa sentuhan digital futuristik ke atas jalan raya. Lupakan rupa ‘samurai mask’ Vellfire kerana ini adalah senibina Emperor China
Dengan panjang 5,250mm dan jarak roda 3,110mm, Denza D9 sebenarnya lebih besar dari king MPV Alphard atau Vellfire. Bahagian sisi tampil eksklusif dengan kemasan krom penuh dan roda berprofil besar dan tayar profail tebal untuk keselesaan.

Sistem pengecasan ditawarkan dalam 2kaedah konvensional samaada menggunakan 11kW AC (mengambil masa sehingga 10 jam untuk penuh), atau DC Fast Charger dengan kuasa sehingga 166kW bagi membolehkan bateri dicaj daripada 30% ke 80% dalam masa 30 minit sahaja.
Kalau anda nak cepat maka caj saja dalam masa sepuluh minit dan Denza D9 boleh dipandu sejauh 150km dengan mudah.
Bahagian belakang tidak menggunakan rekaan lampu belakang “light bar” yang nipus dan tipikal. Sebaliknya, Denza hadir dengan rekaan ‘Stargate Light Strip’, satu lagi sentuhan eksklusif bagi MPV mewah ini. Ruang kargo pula menawarkan ruang antara 410 liter apabila semua tempat duduk digunan




Atau ruangan ini boleh dibesarkan sehingga 2,310 liter jika kusyen belakang dilipat. Ruang ini juga menyediakan cangkuk untuk pemilik menggantung beg dan juga ruang di bawah lantai bagi menyimpan kabel pengecasan menjadikan Denza D9 ini sangat praktikal untuk keluarga besar.
Masuk sahaja ke dalam kabin, anda akan merasa suasana seperti menaik jet peribadi. Denza menamakan konsep ini sebagai ‘Smart Luxury Lounge’, dan pada hemat kami ia adalah tepat sekali. Tiada rekaan pelik yang biasa dijumpai pada EV murahan, sebaliknya papan pemuka direka dengan kemas sekali.
Skrin digital bersaiz 12.3” ditempatkan di belakang stering bertindak memberi segala maklumat kenderaan manakala skrin bersaiz 15.6” digunakan sebagai skrin multimedia dan paparan utama. Paling menarik ialah bagaimana Denza menyusun tombol gear, tombol signal dan juga suiz pengelap cermin depan secara konvensional dan logik



Tiada isu “screen hunting” disini semata-mata untuk anda melaraskan corong penyaman udara ataupun melakukan tetapan mudah seperti jenama kereta elektrik yang lain. Rekaan yang dipamerkan oleh Denza ini ibarat teknologi telefon Apple yang menghasilkan kedai fizikal dengan bantuan Bentley
Ia bukan sekadar gimik pemasaran yang dibuat-buat oleh Denza dengan pemilihan bahan dan tekstur yang mewah dan tepat. Kemasan kulit Nappa digunakan pada kusyen, diserikan dengan panel kayu pada papan pemuka, serta tombol fizikal untuk fungsi penting dikekalkan pada ruang pemandu dan penumpang depan
Bagi penumpang di barisan tempat duduk kedua, kusyen mewah dengan konsep Executive Zero Gravity Seat ditawarkan lengkap dengan ciri ottoman (perehat kaki), ciri urutan, pengudaraan kusyen, dulang yang boleh dilipat, lampu kabin di bahagian atas direka seperti anda berada dalam pesawat, dan paling menarik ialah tawaran peti sejuk mini.




Peti sejuk ini boleh disejukkan sehingga mencapai -10 darjah Celcius ataupun anda boleh mengubahnya menjadi pemanas dengan suhu mencapai 50 darjah Celcius
Barisan kedua tempat duduk bagaikan anda menaiki penerbangan kelas perniagaan, manakala barisan ketiga lebih kepada ekonomi premium yang lengkap dengan perehat tangan, poin USB-C untuk mengecaj telefon dan tempat untuk meletak minuman. Tapi ruang tempat duduk barisan ketiga dikorbankan sedikit untuk menawarkan ruang yang lebih besar di tempat duduk barisan kedua.
Bagi Denza D9 varian Advanced FWD, ia hanya menggunakan satu motor elektrik yang menjana sekitar 313 PS dan 360 Nm, dan semua kuasa dihantar ke roda depan. Pecutan yang dihasilkan tidak ‘menyentap kepala’ macam EV lain
Sebaliknya pecutan Denza D9 lebih tenang, lancar dan steady, seakan enjin petrol besar berkuasa tinggi tapi ditala khas untuk keselesaan. Purata penggunaan kuasa sekitar 21 kWh/100km dan memberi jarak lebih kurang 490km untuk bateri 103.6 kWh.



Abaikan sahaja anggaran liar daripada NEDC sehingga 600km, ini adalah anggaran dalam ujian makmal.
Denza D9 mengaplikasikan gabungan sistem brek konvensional dan brek regeneratif dalam operasi. Bagi sistem brek biasa, ia datang dengan cakera brek sebesar 350mm. Walaupun berat Denza D9 mencapai 2.8 tan, namun kuasa brek yang dihasilkan cukup meyakinkan.
Satu lagi perkara positif ialah Denza D9 menggunakan rekaan steering yang lebih tebal dan sedap digengggam menjadikan pemanduan lebih meyakinkan. Namun anda harus ingat kerana ini adalah MPV yang berat dan tinggi, faktor understeer akan berlaku jika dipandu terlampau agresif.
Suspensi menggunakan topang McPherson manakala suspensi belakang menggunakan susun atur rekaan multi-link. Bagi sistem penyerap hentakan, Denz memilih untuk menggunakan penyerap hentak semi pasif dengan teknologi Frequency Selective Damping.

Ini bermakna penyerap hentak akan berubah kelakuannya mengikut keadaan permukaan jalan, dengan mengubah corak pembukaan injap hidraulik. Namun spektrum operasinya adalah terhad, apatah lagi tiada suspensi udara atau sistem penyerap hentak adaptif, jadi ada penumpang akan dapat rasakan ayunan cesi dari depan ke belakang dan juga dari kiri ke kanan apabila melalui jalan tidak rata
Pujian juga harus diberikan pada aspek keselamatan Denza D9. Struktur utama MPV ini dihasilkan daripada penggunaan keluli berkekuatan tinggi dan menggabungkan kepingan logam yang dicampur boron dengan kaedah hot-stamping bagi menghasilkan cesi yang sangat kukuh
Malah Denza D9 juga turut memberi tumpuan pada bateri yang dilindungi kaedah sandwich aluminium housing yang kuat. Pendawaian sistem bateri ini akan memutuskan bekalan elektrik voltan tinggi dengan serta merta secara automatik sekiranya Denza D9 mengalami kemalangan.

Aspek keselamatan ini turut dipakejkan dengan sistem ADAS penuh merangkumi sistem pemanduan adapatif, brek kecemasan automatik termasuk di bahagian depan dan belakang, rear collision warning, lande departure warning, lane keep assist dan auto high beam assist hasil penggunaan 5 radar, 8 sensor ultrasonic, 4 kamera dan satu kemara untuk AEB.
Turut menemani sistem keselamatan ialah sistem keselamatan pasif yang ditawarkan termasuklah 8 beg udara serta 4 cagak ISOFIX bagi pemasangan kerusi bayi menjadikan Denza D9 ini pakej yang lengkap untuk sebuah keluarga moden
Dengan harga bermula sekitar RM260,000 bagi varian terendah Denza D9 menawarkan satu MPV bernilai tinggi dengan harga yang dibayar. Ia menwarkan ruang, rekaan dan kemasan yang mewah setara ata mungkin lebih daripada Alphard atau Vellfire yang dibalut dengan teknologi tinggi.

Kalau anda sedang mencari MPV elektrik sebenar, selesa seperti duduk di lobi hotel, dan tak kisah logo jenama China Denza D9 ini adalah pilihan paling berbaloi. Tetapi kalau anda seorang yang suka memandu dengan agresif, benci elemen pitch & roll sewaktu memandu, dan pentingkan ‘refinement’ ultra-premium ala-ala Mercedes S-Class mungkin Denza D9 belum cukup ‘Eropah’.
Cuma satu soalan bro… kenapa beli satu Vellfire, sedangkan kau boleh dapat dua Denza D9?



