
MAZDA KUBURKAN MAZDASPEED. MAHU FOKUS MODEL MEWAH PULA
Mazda baru-baru ini mengumumkan bahawa divisyen yang fokus kepada kenderaan berprestasi, Mazdaspeed akan dikuburkan.
Selepas menghasilkan beberapa model ikonik seperti Mazdaspeed Miata, Mazdaspeed3 dan Mazdaspeed6, Mazda kini menyatakan mahu fokus untuk menghasilkan jentera lebih mewah.
Perkembangan terbaharu itu didedahkan oleh pegawai kanan Mazda dalam satu sesi soal jawab.
“Mazda kini fokus untuk menjadi pengeluar yang lebih matang dan mewah. Keutamaan kami sekarang adalah untuk membangunkan teknologi SKYACTIV generasi seterusnya.
“Sebagai sebahagian daripada evolusi ini, kami akan memperhalusi dan mengunakan enjin-enjin turbo ke atas lebih banyak model. Sekali gus dapat menawarkan pemanduan lebih berprestasi dan dinamik,” katanya.
Senang cakap, Mazda akan menghasilkan kereta-kereta dengan enjin turbo seperti Mazda3 Turbo yang mungkin menjadi penganti Mazdaspeed3 serta sedan-sedan mewah.
Sebelum ini, timbul laporan Mazda kini sedang sibuk membangunkan sedan premium dengan pacuan roda belakang dan enjin enam selinder sebaris. Betul atau tidak, kita tunggu sahaja.