Buletin

McLAREN 720S LE MANS RAI KEMENANGAN 1995, TERHAD DAN RIM TU LAWA!

Selain penglibatan di dalam perlumbaan Formula Satu, McLaren turut terkenal dengan model berprestasi dan ikonik F1 yang dikeluarkan dari tahun 1992 hingga 1998.

Hanya 106 buah McLaren F1 dikeluarkan dan terdiri daripada pelbagai varian seperti F1, F1 LM, F1 GT dan F1 GTR. Jumlah itu termasuk unit prototaip dan versi perlumbaan.

Satu sejarah menarik sepanjang penglibatan dalam perlumbaan apabila McLaren menjuarai Le Mans 24 Jam pada 18 Jun 1995.  

Menambah keterujaan apabila kejayaan itu dicapai pada penyertaan kali pertama bertanding.

Jentera yang digunakan semasa memenangi Le Mans 1995 ialah McLaren F1 GTR #59 yang dipandu JJ Lehto, Yannick Dalmas and Masanori Sekiya.

Tiga lagi McLaren F1 GTR menghabiskan perlumbaan di tempat kelima teratas dan kejuaraan tersebut memahat nama McLaren sebagai pemenang Le Mans, F1 dan Indianapolis 500.

25 tahun selepas kemenangan dan bagi meraikan kejayaan sulung tersebut, McLaren memperkenalkan 720S Le Mans dengan pengeluaran dihadkan sebanyak 50 unit sahaja.

Di antara keunikan edisi terhad 720s Le Mans ialah nombor VIN setiap kereta dimulakan angka 298 iaitu jumlah pusingan F1 GTR semasa memenangi perlumbaan enduran tersebut.

Setiap kereta juga akan membawa plat dengan logo McLaren 25 Anniversary Le Mans.

Berikut ialah ciri-ciri khas pada model 720s Le Mans:

Luaran

  • Pilihan dua skema warna McLaren Orange atau Sarthe Grey.
  • Warna Ueno Grey pada bahagian sisi bawah, bampar depan dan belakang.
  • Logo McLaren 25 anniversary Le Mans pada panel sisi bawah kereta
  • Liang udara bumbung warna hitam licau (gloss). 
  • Fender depan dengan liang karbon.
  • Roda lima rongga LM mirip F1 GTR #59 dengan perkataan Le Mans.
  • Angkup brek warna emas.
  • Komponen badan kereta warna hitam licau.

Dalaman

  • Pilihan dua tema Alcantara® hitam dengan kemasan McLaren Orange atau Dove Grey. 
  • Kerusi perlumbaan gentian karbon.
  • Perehat kepala kerusi dengan sulaman logo McLaren 25 anniversary Le Mans.
  • Tanda pada atas stereng mengikut warna kemasan dalaman.
  • Plat dengan logo McLaren 25 anniversary Le Mans.
  • Karpet lantai dengan logo McLaren 25 anniversary Le Mans.

McLaren turut memaklumkan liang pada bumbung mempunyai fungsi bagi mengalirkan udara untuk penyejukan tambahan rangkaian kuasa (powertrain) dan mendorong keluar haba terutama sekali semasa pemanduan di litar.

Liang pada fender pula mengurangkan angkatan lif aerodinamik (aerodynamic lift) yang dihasilkan oleh putaran roda depan dan turut mengurangkan berat kereta.

Menggerakkan 720S Le Mans ialah enjin M840T 4.0 liter V8 turbo berkembar dengan kuasa 720PS.

Enjin itu mampu memecut kereta dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 2.9 saat atau 0 hingga 200 km/j dalam 7.8 saat dengan kelajuan maksimum 341 km/j.

Struktur kereta ini diperbuat daripada gentian karbon (Monocage II) dan bersama sistem suspensi Proactive Chassis Control II memastikan 720S paling ringan di dalam kelasnya selain dinamika pemanduan tersendiri.

Sama seperti McLaren 720S lain, pemilik boleh menyesuai unit istimewa ini berdasarkan pakej MSO Defined dan MSO Bespoke seperti kemasan licau pada cermin sisi dan beberapa komponen lain.

Selain itu, pemilik juga boleh menambah palang titanium untuk tali keledar dan juga tali keledar enam sudut.

Kepada yang sudah jatuh cinta, McLaren 720S Le Mans sudah boleh ditempah pada harga permulaan £254,500 (RM1,341,182) dengan penghantaran pertama dijadual pada September 2020.

BACA: UJIAN McLAREN SPEEDTAIL XP2 CECAH 403KM/J!

BACA: McLAREN 620R – KERETA LUMBA SPESIFIKASI GT4 YANG HALAL DI JALAN RAYA

BACA: DAPAT McLAREN SENNA 001 TERUS BAWA MENGEMBARA 1400KM

Google ads
Back to top button