Buletin

MERCEDES-BENZ E 300 AMG LINE COUPE 2021. PAKEJ DRIVING ASSISTANCE, 258HP, BERMULA RM495K

Mercedes-Benz Malaysia baru-baru ini memperkenalkan model E-Class Coupe 2021 bagi melengkapkan portfolio modelnya di pasaran tempatan. Ia didatangkan dalam satu varian sahaja iaitu E 300 AMG Line Coupe.

Coupe berkenaan dikuasakan oleh enjin empat silinder bersesaran 2.0 liter yang mampu menjana 258hp dan tork 370Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear DYNAMIC SELECT 9G-TRONIC 9-kelajuan. Gabungan itu membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 6.4 saat. 

Gayaan jentera itu diserlahkan dengan bodykit AMG-Line yang terdiri daripada spoiler depan belakang, gril diamond dan rim aloi ringan lima jejari AMG bersaiz 19 inci. Lampu utama terdiri daripada sepasang Multibeam LED yang menawarkan pencahayaan lebih terang pada waktu malam. 

Ciri Adaptive Highbeam Assist Plus yang ada padanya berfungsi mengawal lampu LED dengan menukar di antara lampu rendah, tinggi dan separa secara automatik. 

Bahagian belakang pula menerima rekaan sepasang lampu yang menjadikannya kelihatan lebih maskular. Manakala sistem suspensi AGILITY CONTROL menjanjikan pengendalian yang selesa dan stabil. 

Pelanggan ditawarkan dengan pilihan warna seperti putih, hitam, merah, kelabu, perak, biru dan hijau. Terdapat juga warna merah metalik dan warna putih berlian dengan kos tambahan. 

Menjengah ke ruang kabin, pemandu dihidangkan dengan dua unit skrin bersaiz 12.3 inci yang dikuasakan oleh sistem MBUX generasi terkini. Kemewahan bahagian dalaman itu ditingkatkan lagi dengan kemasan kayu pada papan pemuka,  konsol tengah dan panel pintu. 

Tona hitam pada keseluruhan ruang berkenaan dikontraskan dengan kemasan perak pada corong pendingin hawa, bahagian bawah sterengm butang kawalan dan sebagainya.  

Dari segi keselamatan, E 300 AMG Line Coupe dilengkapi pakej Driving Assistance yang terdiri daripada Active Distance Assist DISTRONIC, Active Steering Assist, Active Brake Assist, Evasive Steering Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Blind Spot Assist dan PRE-SAFE Plus.

Berminat? E 300 AMG Line Coupe ditawarkan pada harga RM495,071 seunit. Menerusi Pelan Pembiayaan Step Up Agility daripada Mercedes-Benz Financial, anda boleh memiliki jentera ini dengan bayaran RM4,288 sebulan.  

GALERI

Google ads
Back to top button