Motosikal

DUCATI MALAYSIA LANCAR SCRAMBLER NIGHTSHIFT. BATCH PERTAMA HABIS DIJUAL. BERMULA RM65,900

Ducati Malaysia baru-baru ini melancarkan model terbaharu Scrambler Nightshift ke pasaran tempatan yang mengukuhkan lagi inspirasi Scrambler ‘Land of Joy’.

Jentera berkenaan boleh anda miliki pada harga RM65,900 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). Ia dibina bagi memenuhi kehendak mereka yang mahukan sebuah motosikal cukup bergaya. 

Ducati Scrambler Nightshift tampil menyerlah dengan warna kelabu (Aviator Grey) yang menampakkan motosikal itu seperti memakai jaket kulit pada kerangka Trellis. Dipasang dengan pelana rata ala cafe racer setinggi 798mm yang selesa untuk penunggang dan pembonceng.  

Nilai estetiknya ditingkatkan dengan plat nombor pada bahagian sisi, lampu LED berbentuk bulat dan rim lidi bersaiz 17 inci yang dibalut oleh tayar Pirelli MT60. 

Ia dikuasakan oleh enjin dua injap L-twin bersesaran 803cc yang mampu menjana 73hp pada 8,250rpm dan tork 67Nm pada 5,750 rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. 

Memiliki berat basah sekitar 196kg, Ducati Scrambler Nightshift menggunakan khidmat sistem suspensi jenis terbalik Kayaba 41mm pada roda hadapan dan penyerap hentak tunggal Kayaba dengan tetapan pra-muatan di belakang. 

Tugas membrek pula diserahkan kepada sistem brek ABS Cornering dengan angkup empat omboh beserta rotor 330mm di hadapan dan angkup omboh tunggal bersama rotor 245mm di belakang.

Jentera itu turut dilengkapi paparan LCD, storan bawah tempat duduk dengan soket USB, bar hendal aluminium posisi rendah dan cermin sisi ala cafe racer.

Biarpun negara berdepan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, Ducati Malaysia dilihat terus komited untuk mempromosikan motosikalnya. 

“Tempahan motosikal kekal memberangsangkan. Buktinya kumpulan pertama Scrambler Nightshift sudahpun habis dijual. Dengan momentum ini, kami menjangkakan keputusan jualan Q3 dan Q4 yang lebih mantap. Kami juga sedang bersedia untuk melancarkan model baharu Multistrada V4 dan Monster,” kata Ketua Ducati Malaysia, Dennis Michael.

GALERI

Google ads
Back to top button