" "
Artikel Pilihan

FAKTA PENJAGAAN MERCEDES BENZ C200 W205. CEK POKET SEBELUM BELI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita ingin membincangkan tentang fakta dan kos penjagaan sebuah jentera yang sangat banyak berada di atas jalan raya kita iaitu Mercedes Benz C200 W205.

Jentera ini dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun 2014 melalui pengedar sah. Tudak cukup dengan itu, pengedar “Recon” juga membawa masuk jentera ini pada tahun selepasnya. Tidak disangka, jentera ini mendapat sambutan hebat oleh rakyat Malaysia tidak kira varian Avantgarde mahupun AMG Line. Memang banyak.

Bagi model “Recon”, kebiasaannya pengedar membawa masuk dari 2 negara utama iaitu Jepun dan United Kingdom. Spesifikasi bagi setiap jentera juga berlainan antara satu sama lain. Apa yang sama adalah enjin dan sistem transmisi.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin 4 Silinder Sebaris berkod M274 yang mempunyai sesaran sebesar 1,991cc(2.0L). Enjin ini mempunyai pendesak turbo dan berupaya menghamburkan kuasa sebanyak 181hp pada 5,500rpm dan daya kilas sekuat 300Nm pada 1,200-4,000rpm.

Kuasa yang dihamburkan ini kemudiannya dihantar ke kotak gear 7G-Tronic berkod 722.9. Kotak gear ini secara asasnya mampu menampung daya kilas sehingga 400Nm tanpa sebarang masalah.

Perkara yang sering bermain di fikiran bakal pemilik jentera ini adalah kos penjagaannya sama ada tinggi atau tidak. Bukan apa, kita sering dimomokkan bahawa jentera “Continental” lebih-lebih lagi dari Jerman memakan kos yang tinggi untuk diselenggara. Tinggi atau tidak, mari kita sama-sama selusuri.

🛠 𝐄𝐍𝐆𝐈𝐍𝐄 𝐎𝐈𝐋 𝐒𝐄𝐑𝐕𝐈𝐂𝐄

Enjin M274 Turbo ini menggunakan 7 Liter minyak enjin bagi setiap kali rutin servis dilakukan. Kelikatan minyak enjin yang disarankan adalah MB229.5 bersamaan 5W-40 Fully Synthetic.

Unit “Oil Filter” hendaklah ditukar sekali bersama “O-Ring” bagi setiap kali rutin servis.

Kos bagi penukaran minyak enjin serta “Oil Filter” ini adalah berada dalam lingkungan RM550-RM700 bergantung kepada jenama minyak enjin yang digunakan.

🛠 𝐓𝐑𝐀𝐍𝐒𝐌𝐈𝐒𝐒𝐈𝐎𝐍 𝐒𝐄𝐑𝐕𝐈𝐂𝐄

Jentera ini menggunakan sistem transmisi 7G-Tronic berkod 722.9. Bagi setiap kali rutin servis, komponen yang perlu ditukar adalah seperti berikut :-

  • ATF MB236.15
  • Transmission Filter
  • Transmission Pan Gasket

Rutin servis bagi kotak gear ini disarankan dibuat setiap 40,000km bagi menjamin kelancaran operasi kotak gear.

Kos bagi rutin servis ini adalah dalam lingkungan RM800-Rm1,200. Bergantung kepada jenama komponen dan juga tempat.

Sekarang kita pergi pula ke bahagian “Wear & Tear Parts”.

🔧 𝐁𝐑𝐀𝐊𝐄 𝐏𝐀𝐃𝐒

Jentera ini dilengkapi dengan angkup brek 4 piston pada brek hadapan. Ada juga yang menerima angkup brek 2 piston sahaja. Oleh itu terdapat variasi berlainan bagi unit pad brek yang digunakan.

Brek belakang pula menggunakan angkup brek 1 piston dan terdapat motor elektronik bagi tujuan “Handbrake”.

Komponen ini sangat penting bagi membolehkan jentera diberhentikan dengan jayanya. Ingat Tuan-Tuan, jentera yang baik bukan sahaja mempunyai kuasa yang kuat, namun turut mempunyai kecekapan brek yang baik.

Sekiranya sudah hais atau nipis, kos untuk menukarnya adalah dalam lingkungan RM550-RM900 bagi hadapan dan RM400-RM700 bagi belakang. Harga bergantung kepada jenama.

🔧 𝐁𝐑𝐀𝐊𝐄 𝐑𝐎𝐓𝐎𝐑𝐒

Komponen ini boleh diperiksa secara visual untuk mengesahkan sama ada keadaannya masih baik atau tidak. Sekiranya masih tebal tetapi tidak rata, masih ada ruang untuk proses “Skim”. Oleh itu kosnya murah sahaja.

Akan tetapi, sekiranya sudah nipis, disarankan untuk menukarnya dengan unit yang baru secepat mungkin.

Kosnya adalah dalam lingkungan RM1,400-RM2,500 bagi bahagian hadapan dan RM750-RM1,200 bagi bahagian belakang.

🔧 𝐀𝐈𝐑 𝐅𝐈𝐋𝐓𝐄𝐑

“Air Filter” tugasnya adalah untuk menapis udara dari luar sebelum masuk ke dalam enjin. Sampai masa, ia akan kotor dan perlu ditukar. Komponen ini kebiasaannya akan diperiksa oleh pihak bengkel sama ada masih boleh dibersihkan atau dinasihatkan tukar.

Sekiranya perlu ditukar, ia akan menelan kos lebih kurang RM190-RM300.

🔧 𝐂𝐀𝐁𝐈𝐍 𝐅𝐈𝐋𝐓𝐄𝐑

“Cabin Filter” atau “Aircond Filter” berfungsi untuk menapis udara luar yang masuk ke dalam kabin kenderaan. Sekiranya komponen ini sudah kotor, akan terdapat bau-bauan yang tidak menyenangkan masuk ke dalam kabin kenderaan anda.

“Cabin Filter” jentera ini dioerbuat daripada material “Activated Carbon” dimana ia sangat berkesan untuk menyerap partikel-partikel halus serta bau.

Disebabkan penggunaan material yang baik, harganya tidak berapa murah iaitu dalam lingkungan RM350-RM400.

🔧 𝐀𝐈𝐑𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐅𝐋𝐔𝐒𝐇𝐈𝐍𝐆

Sistem Penghawa Dingin kenderaan terdiri daripada beberapa komponen dan sistem ini berfungsi secara “Close Loop”.

Di dalam sistem ini, terdapat dua entiti utama iaitu minyak “Compressor” dan juga gas R134a. Proses “Aircond Flushing” adalah bertujuan untuk membersihkan sistem dari kotoran serta keladak yang boleh merosakkan komponen-komponen utama sistem penghawa dingin kenderaan.

Rutin ini disarankan dibuat setiap 40,000km bagi menjamin kelancaran operasi sistem penghawaa dingin jentera anda. Bukan apa, bayangkan bawa Mercedes Benz tapi “Aircond” rosak atau tak sejuk. Malu.

Kos bagi proses ini adalah dalam lingkungan RM150-RM250 san hanya mengambil masa kurang dari sejam sekiranya tiada apa-apa masalah.

🔧 𝐒𝐏𝐀𝐑𝐊 𝐏𝐋𝐔𝐆

Enjin M274 yang berada pada jentera ini merupakan enjin 4 Silinder sebaris. Oleh itu, hanya 4 unit “Spark Plug” diperlukan.

Kebiasaannya pihak bengkel akan memeriksa keadaan “Spark Plug” ketika rutin servis. Lebih-lebih lagi apabila nilai perbatuan sudah tinggi.

Sekiranya perlu ditukar, kosnya adalah dalam kingkungan RM500-RM600.

🔧 𝐈𝐆𝐍𝐈𝐓𝐈𝐎𝐍 𝐂𝐎𝐈𝐋

Antara simptom “Ignition Coil” sudah rosak adalah enjin akan tempang kerana salah satu silinder tidak berfungsi disebabkan tiada pembakaran berlaku.

Komponen ini jarang rosak. Cuma sekiranya rosak, ia perlu ditukar serta merta dan memakan kos sekitar RM450.

🔧 𝐀𝐁𝐒𝐎𝐑𝐁𝐄𝐑

Penyerap hentak merupakan komponen penting dalam sistem gantungan. Kegagalan komponen ini berfungsi dengan baik akan menyebabkan jentera tidak stabil ketika dipandu tidak kira di jalan lurus mahupun selekoh.

Ada yang lebih teruk komponen ini akan mengeluarkan bunyi yang tidak menyenangkan ketika melalui jalan tidak rata dan juga bonggol.

Proses menukar komponen ini juga tidak senang dan akan memakan masa. Oleh itu, kosnya sedikit tinggi.

Sekiranya perlu ditukar, ia akan memakan kos sekitar RM1,500 sebatang. Ini sekiranya jentera anda menggunakan sistem gantungan jenis “Coil Spring”.

Ada jentera W205 C200 yang menggunakan sistem gantungan jenis “Airmatic”. Ini lagi mahal. Sekiranya bocor dan perlu ditukar, ia akan memakan kos sekitar RM3,000 sebatang. Kalau bocor 4 unit ? Kalikan dengan 4.

Inilah harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan pengendalian yang mantap pada masa yang sama tidak mengenepikan keselesaan.

🔧 𝐀𝐈𝐑𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐂𝐎𝐌𝐏𝐑𝐄𝐒𝐒𝐎𝐑

Kalau boleh inilah komponen yang minta dijauhkan untuk rosak. Bukan apa, kalau komponen ni rosak, panas semuanya. Hati pun panas.

Kos untuk menukarnya pun tidaklah murah Tuan-Tuan. Anggaran dalam lingkungan RM3,000-RM4,000.

Untuk mencegah komponen ini dari rosak, sentiasalah jaga rutin “Flushing Aircond” anda.

🔧 𝐃𝐑𝐈𝐕𝐄 𝐁𝐄𝐋𝐓

Komponen ini berfungsi untuk memacu “Alternator” dan “Aircond Compressor”. Sekiranya sudah terdapat rekahan kecil pada “Belt”, sebaiknya ditukar dengan segera.

Kosnya tidaklah mahal, sekitar RM130-RM200 sahaja.

🔧 𝐅𝐋𝐄𝐗𝐈𝐁𝐋𝐄 𝐃𝐈𝐒𝐂

Komponen ini juga dikenali sebagai “Giubo”. Komponen ini merupakan getah yang terletak diantara “Propeller Shaft” dengan kotak gear dan gandar belakang. Oleh itu, ada dua unit bagi setiap jentera.

Sekiranya sudah retak atau pecah, kos untuk menukarnya dalam lingkungan RM400-RM600.

🔧 𝐑𝐎𝐀𝐃𝐓𝐀𝐗

Jentera ini merupakan jentera kategori sedan dan mempunyai sesaran enjin sebesar 1,991cc. Oleh yang demikian, bagi pemilikan persendirian, cukai jalan yang dikenakan adalah sebanyak RM375.50 setahun.

Bagi pemilikan syarikat, cukai jalan yang dikenakan adalah sebanyak RM751.00 setahun iaitu sekali ganda dari pemilikan persendirian.

Dengan adanya nilai ini, mungkin dapat membantu anda untuk membuat pilihan sama ada mahu menggunakan nama persendirian atau syarikat.

Jadi Tuan-Tuan, inilah dia serba sedikit info yang dapat kami kongsikan kepada anda berkenaan Fakta Penjagaan Mercedes Benz C200 W205. Harap dengan info ini dapat membantu anda di kemudian hari.

Dari segi harga, mungkin kedengarannya murah bagi sesetengah pihak. Mungkin kedengaran mahal bagi sesetengah pihak. Namun harga yang ditulis diatas adalah harga purata dimana kami mengambil kira faktor kawasan, jenama dan pembekal.

Google ads
Back to top button