Buletin

MERCEDES BENZ GLA 200 2024 DILANCARKAN – JANA 163HP, HARGA BERMULA RM258K

Mercedes-Benz Malaysia baru-baru ini telah melancarkan Mercedes Benz GLA 200 2024 untuk pasaran Malaysia.

Dari luaran, ia tampil dengan bampar depan dengan apron trim perak, terdapat perubahan pada jeriji radiator hadapan baharu sementara belakang pula dilengkapi bampar belakang dengan komponen diffuser.

Ia diserlahkan lagi melalui rim 18-inci, unit lampu LED High Performance, lampu belakang LED, lampu kabus serta fungsi Adaptive Highbeam.

Untuk rekod, model ini juga ditawarkan dalam warna baharu iaitu Spectral Blue Metallic.

Menjengah ke dalam kabin, ia menerima roda stereng dengan rekaan baharu selain, disertakan bersama skrin berkembar 10.25-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay/Android Auto, sistem pencahayaan ambien 64 warna, serta dikemaskan lagi melalui balutan kulit ARTICO untuk tempat duduk.

Perincian lain termasuklah terdapat lima slot pengecasan USB-C dan slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar.

Beralih kepada kuasa, ia dikuasakan oleh nadi empat silinder sebaris 1.3 liter turbo, menghasilkan 163hp dan 250Nm tork.

Nadi berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik 7G-DCT dan mempunyai daya pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.9 saat, manakala had kelajuan maksimum pula dihadkan pada 210 km/j.

Menerusi pilihan DYNAMIC SELECT, GLA 200 menawarkan pilihan mod pemanduan Eco, Sport dan Comfort.

Bagi ciri keselamatan, ia dilengkapi seperti berikut:

  • Sistem bantuan titik buta
  • Bantuan amaran keluar
  • Bantuan brek aktif
  • Parking Package
  • Kamera undur
  • Mirror Package

Untuk harga, Mercedes-Benz GLA 200 2024 ini boleh dimiliki pada harga bermula dari RM258,888.

GALERI:

Google ads
Back to top button