
MERCEDES-BENZ MALAYSIA DAN ASBENZ STERN RASMI AUTOHAUS BAHARU DI KUANTAN
Mercedes-Benz Malaysia bersama Asbenz Stern Sdn. Bhd. terus memperkukuh kehadiran jenama itu di Pantai Timur menerusi pembukaan Autohaus baharu di Kuantan, Pahang.
Kemudahan moden yang terletak di Indera Mahkota itu kini menjadi Autohaus Mercedes-Benz terbesar di Pantai Timur.
Pembukaan pusat baharu itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Mercedes-Benz untuk meningkatkan pengalaman pelanggan menerusi kemudahan lebih moden, digital dan mesra pengguna, selari dengan perubahan keperluan pemilik kenderaan premium masa kini.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia merangkap Ketua Wilayah Mercedes-Benz Cars Asia Tenggara, Martin Schulz berkata, pembukaan Autohaus tersebut mencerminkan komitmen bersama syarikat dan Asbenz Stern dalam menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih eksklusif di Pantai Timur.

Menurut beliau, sempena sambutan ulang tahun ke-140 Mercedes-Benz, syarikat bukan sahaja memberi tumpuan kepada inovasi automotif, malah mahu memastikan setiap pelanggan menikmati pengalaman yang lebih lancar dan diperibadikan di setiap titik perkhidmatan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Asbenz Stern Sdn. Bhd., Goh Chuan Kiong berkata, Kuantan sentiasa menjadi lokasi penting bagi syarikat itu dan pembukaan fasiliti baharu berkenaan menandakan langkah seterusnya dalam pengembangan operasi mereka di Pantai Timur.
Beliau berkata, pelaburan terhadap kemudahan yang dibina khas itu membolehkan syarikat menyediakan perkhidmatan lebih menyeluruh termasuk pembaikan badan dan cat kenderaan, sekali gus meningkatkan kecekapan servis kepada pelanggan.
Autohaus berkenaan dibangunkan berasaskan identiti runcit terkini Mercedes-Benz yang menampilkan konsep pengalaman pelanggan lebih intuitif dan digital.

Ia mempunyai ruang pameran dan kawasan pelanggan seluas 26,565 kaki persegi dalam keluasan binaan keseluruhan mencecah 65,340 kaki persegi.
Pelanggan turut boleh melihat sehingga enam model dipamerkan selain menikmati kemudahan seperti Star Lounge dan koleksi gaya hidup Mercedes-Benz yang diwujudkan bagi memberi suasana lebih selesa sepanjang kunjungan.
Buat pertama kali juga, Asbenz Stern menyediakan kemudahan badan dan cat bersepadu di Autohaus itu bagi mengukuhkan lagi operasi selepas jualan di Pantai Timur.
Fasiliti tersebut dilengkapi sehingga 16 ruang kerja servis lengkap yang dikendalikan juruteknik terlatih dan bertauliah Mercedes-Benz.

Seiring perkembangan mobiliti elektrik, pusat itu turut menyediakan kemudahan pengecas pantas DC sehingga 120kW yang mampu mengecas dua kenderaan serentak, khusus untuk model elektrik sepenuhnya dan hibrid plug-in Mercedes-Benz.
Setakat ini, Asbenz Stern telah melabur keseluruhan RM35 juta bagi rangkaian operasinya termasuk RM23 juta untuk pembangunan Autohaus Kuantan.
Dengan tiga Autohaus kini beroperasi di Kedah, Pahang dan Terengganu, syarikat itu optimis dapat terus menawarkan pengalaman premium kepada pelanggan Mercedes-Benz di Pantai Timur.








