Buletin

MITSUBISHI XPANDER, PENCABAR TERBARU SEGMEN B. MACAM CUN JE

Memandangkan Mitsubishi Xpander dan mungkin juga kembarnya iaitu Nissan Grand Livina akan dilancarkan tidak lama lagi, di sini kami paparkan maklumat ringkas berkenaan MPV ini. mana tau anda berminat untuk menaiktaraf kenderaan anda dari kereta kompak ke MPV kompak ini dalam masa terdekat.

1. Mitsubishi Xpander dikelaskan sebagai MPV kompak segmen B dengan kapasiti 7 penumpang. Berbeza dengan Rush/Aruz, ia dibina atas kerangka cesi monocoque seperti Honda BRV. Jadi perangai pemanduannya sama seperti memandu kereta, cuma dengan posisi pemanduan yang lebih tinggi.

2. Rekaan Mitsubishi Xpander menggunakan falsafah Dynamic Shield dengan lampu utama dipasang dibahagian bampar manakala lampu LED DRL diposisikan di bahagian atas. Dimensinya ialah 4475mm panjang, 1750mm lebar, 1700mm tinggi dan jarak antara roda 2775mm. Semua angka ini lebih besar dari pesaingnya.

3. Mitsubishi Xpander dikuasakan dengan enjin 1500cc MIVEC DOHC 16V yang menghasilkan 103 kuasa kuda dan 141Nm tork. Enjin ini dipadankan dengan transmisi 4 kelajuan automatik. Bagi pasaran Filipina, Xpander mencatatkan penggunaan petrol purata 17.4km per liter, agak bagus dengan berat Mitsubishi Xpander sekitar 1269kg

4. Brek depan Mitsubishi Xpander menggunakan brek cakera dan brek dram bagi tayar belakang. Suspensi depan menggunakan topang McPherson dan Torsion beam bagi bahagian belakang. Semua kuasa enjin akan disalurkan pada tayar depan.

5. Antara ciri keselamatan Mitsubishi Xpander ialah 2 beg udara penumpang depan, brek ABS, cesi yang diperkukuhkan, sistem kawalan kestabilan Active Stability Control, Hill Start Assist dan Emergency Stop Signal. Pada tahun 2018, Asean NCAP memberi penarafan 4 bintang kepada Xpander

6. Tiada data yang diberikan berkenaan ruang kargo Mitsubishi Xpander, tapi apabila semua kerusi digunakan ia mampu memuatkan 4 balang air di ruang kargo. Apabila kerusi barisan ketiga dilipat kedepan, ia memiliki ruang yang rata mampu memberikan 781 liter ruang kargo, ciri perehat tangan pada barisan kedua, 19 ruang simpanan barang yang dipasang di tempat strategik serta blower penyaman udara pada barisan kedua

Jika kerusi barisan kedua dan ketiga dilipat, Xpander menawarkan ruang sebesar 1630 liter

7. Sama seperti BRV, Mitsubishi Xpander dipadankan dengan tayar bersaiz 205/55 R16. Namun ia menawarkan ketinggian 205mm dari permukaan jalan dengan kereta, sudah cukup untuk anda menempuh banjir kilat di kawasan bandar ataupun melalui permukaan jalan yang mencabar

8. Bagi memberikan dinamik pemanduan sporti, jurutera telah membina Xpander dengan beberapa ciri menarik seperti struktur torsion beam yang diperkukuhkan, bar penstabil terbina dalam bagi gandar depan dan kerangka belakang yang diperkemaskan dengan bahan perekat.

9. Sistem stering Mitsubishi Xpander pula boleh dilaraskan ketinggian, diubah secara teleskopik dan bagi varian premium ia dipadankan dengan butang audio, auto cruise dan juga butang bagi menjawab telefon ketika memandu

10. Dalam segmen SUV/crossover/MPV segmen B, Honda BRV dan Toyota Rush berharga lebih kurang sama iaitu sekitar RM 97,000. Untuk bersaing dari segi harga, harga Mitsubishi Xpander mestilah diposisikan dalam julat yang sama. Dalam segmen ini, Perodua Aruz 1.5X masih lagi model termurah dengan harga RM 68,526.00

Google ads
Back to top button