Buletin

PADA TAHUN 2000 MITSUBISHI LANCER EVO DILANCAR SECARA RASMI DI UK

11 Julai 2000 merupakan tarikh istimewa buat peminat Mitsubishi Lancer Evolution di United Kingdom apabila dilancarkan secara rasmi di sana. Unit pertama yang didaftarkan ialah Mitsubishi Lancer Evo VI Tommi Makinen Special Edition.

Model ikonik itu dijual melalui Ralliart dan kumpulan pertama Mitsubishi Lancer Evolution VI disediakan khas untuk pasaran UK dengan ekstra perlindungan karat, panel bacaan MPH (bsj), tambahan ciri keselamatan dan beberapa lagi perbezaan seperti lampu kabus bersepadu dan manual pemilik versi UK.

Dijual dari harga £32,995 untuk Tommi Makinen Special Edition atau bersamaan £49,000 (RM263,852) pada hari ini, kesemua 250 unit habis terjual dalam tempoh beberapa minggu.

Pelanggan di UK tidak ditawarkan dengan lima generasi Mitsubishi Lancer Evolution melalui pengedar rasmi disebabkan model itu tidak melalui pelarasan (homologated) untuk jualan pasaran Eropah.

Bagaimanapun, pada tahun 1998 undang-undang di UK mengalami perubahan yang membolehkan kumpulan kecil kenderaan diimport secara rasmi melalui peraturan baharu Single Vehicle Approval (SVA).

Pada masa yang sama iaitu lewat 90-an, pasaran kereta berprestasi semakin hangat untuk model hatchback dan sedan terutama sekali yang mempunyai kaitan dengan dunia permotoran.

Peminat rali di UK mendapatkan model berprestasi Mitsubishi dari Jepun melalui pengimport bebas dan dengan SVA yang baru berkuat kuasa, Mitsubishi Motors di UK mahukan peminat EVO agar dapat membeli secara rasmi dan lengkap dengan sokongan pengeluar.

Berikut ialah fakta mengenai Mitsubishi Lancer Evolution dan penawarannya di UK:

  • Mempunyai sepuluh generasi.
  • Empat daripadanya berbeza platform.
  • Sembilan generasi menggunakan enjin legenda 4G63T empat silinder dengan pengecas turbo.
  • Ada pelbagai versi kuasa di UK dari 260hp hingga 400hp.
  • Model berprestasi tinggi ditala sendiri oleh Mitsubishi Motor di UK melalui Ralliart dan mempunyai versi istimewa yang dikenali sebagai FQ ketika generasi Evo 8 dilancarkan pada 2003.
  • Setiap versi EVO mempunyai sistem pacuan semua roda yang diinspirasi daripada rali.
  • Mempunyai beberapa teknologi seperti Active Yaw Control (AYC) pada pembeza (differential) belakang, pembeza gelincir terhad (LSD) pada kedua-dua bahagian depan dan belakang dan Pembeza Tengah Aktif (ACD).
  • S-AWC diperkenal pada Evo VII bersama ACD dan ditambah baik pada Evo X melalui penambahan kawalan cengkaman dan penstabilan serta pengenalan transmisi enam kelajuan klac berkembar.
  • Disebabkan penerimaan yang positif, setiap generasi selepas Evo VI diimport ke UK.
  • Lancer Evolution X FQ-440 MR dikeluarkan pada 2015 sebanyak 40 unit dan terjual dalam tempoh beberapa jam sahaja.
  • Ditawarkan pada harga £50,000, ia merupakan Lancer Evo paling mahal dan berkuasa yang dijual secara rasmi di UK dan tanda selamat tinggal yang indah buat satu daripada model ikonik dunia.

Fakta ringkas mengenai Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition (TME):

  • Boleh dikatakan sebagai model terhangat dalam barisan Lancer Evo.
  • Diperkenal bagi meraikan kejuaraan keempat Tommi Makkinen dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC).
  • TME mewakili edisi terbaik Evolution IV dan merupakan Evo terakhir yang dibangunkan bahagian permotoran Mitsubishi berdasarkan pengaruh kereta rali WRC.
  • Mitsubishi Motors di UK masih menyimpan satu daripada TME.
  • Bonet asal yang mempunyai autograf Tommi Makkinen ditanggalkan dan disimpan sebagai warisan.

Secara keseluruhannya, sebanyak 5,728 unit rasmi Mitsubishi Lancer Evolution dijual di UK dari tahun 2000 hingga 2015.

Walaupun tanpa model pengganti, teknologi dan semangat Lancer Evo masih kekal di dalam DNA model-model baharu dan akan datang Mitsubishi Motors.

Google ads
Back to top button