Buletin

MITSUBISHI RALLIART CEMERLANG DI ASIA CROSS COUNTRY RALLY (AXCR) 2022

Pasukan Mitsubishi Ralliart, dengan sokongan teknikal daripada Mitsubishi Motors baru-baru ini menyertai acara Asia Cross Country Rally (AXCR) 2022 yang berlangsung dari 21 hingga 26 November di Thailand dan Kemboja.

Dengan jarak keseluruhan 1,524 kilometer, termasuk 637km peringkat khas bermasa (SS), pemandu Chayapon Yotha (Thailand) berjaya menduduki tempat pertama dalam masa 8 jam, 22 minit dan 42 saat. Manakala pemandu Rifat Sungkar dari Indonesia menduduki tempat kelima, dengan catatan masa 17 minit dan 14 saat di belakang pendahulu.

Selepas tiga tahun tidak dilangsungkan, peringkat khas Leg 1 hingga Leg 3 AXCR dimulakan pada 22 hingga 24 November di Buriram. Leg 4 pula diadakan pada 25 November yang menyaksikan rali merentasi sempadan ke Kemboja selepas menamatkan peringkat khas di sekitar Buriram.

Leg 5 berakhir pada 26 November di tempat tarikan pelancong iaitu berhampiran Angkor Wat.

Separuh pertama AXR 2022 di Thailand diadakan di atas jalan yang kasar serta kering tidak berturap. Sementara separuh kedua lebih mencabar di jalan berlumpur akibat hujan lebat, laluan lebih sukar berbanding lima peringkat sebelum ini.

Chayapon Yotha yang memandu jentera #105 Triton, menduduki tempat kelima dalam SS1 pada hari pertama sebelum mencatat masa terpantas pada SS2. Pada SS3, Chayapon Yotha mempamerkan prestasi mengagumkan untuk menamatkan SS3 di tempat ketujuh.

Di SS4 serta SS5, Chayapon Yotha berada di posisi keenam dan kelima sebelum berjaya menempatkan diri di posisi kelima untuk SS6 untuk mengekalkan posisi pendahulu secara keseluruhan.

Rifat Sungkar yang memandu kereta #118 menamatkan SS1 di tempat keenam sebelum mengalami tayar pancit serta kerosakan pada casis di SS2, dan terpaksa berpuas hati berada di kedudukan kelapan.

Walau bagaimanapun, kecekapan pasukan teknikal Mitsubishi Motor membolehkan Rifat Sungkar meneruskan perlumbaan di SS3 hingga SS6. Pelumba dari Indonesia itu melengkapkan rali berada di tempat kelima secara keseluruhan, membuktikan keupayaan Triton.

Seorang lagi pelumba, Sakchai Hantrakul terpaksa menarik diri setelah disahkan positif Covid-19 selepas SS1.

Google ads
Back to top button