
PERLUMBAAN SIDECAR MOTORCROSS – KENAPA NAK TEMPAH BAHAYA SEORANG DIRI, BAIK BERDUA
Percayalah tidak kira sama ada sesebuah kenderaan itu mempunyai enjin ataupun tidak mesti ada seseorang akan menggunakannya untuk berlumba. Tidak terhad kepada litar lumba ataupun jalan raya, trek berlumpur pun jadi. Pernah dengar atau tonton sidecar motorcross tak? Best oo tonton, lagi syok dari menonton perlumbaan tuk-tuk dan lagi gempak dari tengok BBNU suara sengau bertanding menyanyi sambil menari terkinja-kinja.

Perlumbaan ini dikenali dengan nama Sidecarcross dan perlumbaan ini memang cukup popular di Eropah tengah. Ia dipercayai mula diperkenalkan sekitar tahun 50 an dan menurut World Sidecarcross Championship, kebanyakan sidecar ini dihasilkan sendiri menggunakan motosikal dengan enjin selinder tunggal.
Menjelang tahun 60 an ia dinaik taraf kepada enjin dua-selinder dan dipadankan dengan kerangka yang dihasilkan khusus untuk perlumbaan. Perlumbaan ini semakin mendapat tempat menjelang tahun 70 an bila European Sidecar Championship ditubuhkan dan pada tahun 1980 kejohanan dunia pertama diadakan oleh FIM, badan yang sama mengawal selia perlumbaan MotoGP.
Kini kebanyakan sidecarcross bertaraf dunia menggunakan kerangka khas yang dihasilkan oleh pengeluar dari Belanda, WSP. Menariknya pelbagai jenis enjin digunakan daripada 1,000cc 4-lejang (1 atau 2 selinder) ataupun 750cc 2-lejang daripada pelbagai pengeluar. Ada yang menggunakan motosikal keluaran pengeluar terkenal seperti Husqvarna dan KTM dan ada juga yang menggunakan keluaran Jawa dan Zabel (kami pun jarang dengar jenama ni).
Lagi best sebab tiada had kuasa enjin untuk perlumbaan sidecarcross ni. Janji ada duit dan ada kemahuan, suka hati koranglah nak ubahsuai macam mana pun. Kalau MotoGP jangan haraplah nak buat macam ni.
Hasilnya ialah perlumbaan yang sama seperti perlumbaan sidecar biasa di mana seorang mengawal motosikal dan seorang lagi bertindak sebagai pengimbang yang akan mengawal kestabilan motosikal.
Kelajuan tinggi sepanjang perlumbaan membuatkan ianya kelihatan bahaya tapi kecederaan dan kematian jarang berlaku sepanjang perlumbaan sidecarcross ni. Mungkin kerana litarnya yang luas dan jumlah pelumba yang agak kecil mampu mengurangkan sentuhan antara jentera yang bertanding.
Tengok sahaja pautan video di bawah dan nikmatilah perlumbaan yang lain dari yang lain. Bayangkan motosikal pelik dengan aksi akrobatik dua penunggang yang terlompat-lompat dan bergayut dari kiri, kanan, depan dan belakang demi memburu kemenangan dalam arena yang berlumpur. Syok weh kalau ada kat sini.