Pandu Uji

MITSUBISHI TRITON 2024 – LAGI POWER

Sejarah Mitsubishi Triton bermula dengan pengenalan model ini pada tahun 1978 menerusi generasi pertama, dan pada hari ini model generasi ke 6 sudah pun boleh ditempah dan dibeli di pasaran Malaysia. Tapi tahukah satu ketika dahulu model ini dikenali dengan nama Mitsubishi Storm?

Berbeza dengan generasi ke 5, model tahun 2023 ini sebenarnya lebih panjang, lebar dan datang dengan jarak antara roda yang lebih panjang berbanding dengan model lama. Dengan panjang 5360mm, lebar 1930mm serta jarak antara roda 3130mm, model generasi ke 6 adalah model yang paling besar dalam sejarah Triton

Rekaan luar untuk Triton generasi ke 6 ini dihasilkan daripada beberapa model konsep seperti Beast Mode Design Concept dan XRT Concept. Bagi rekaan depan, Triton 2023 menggunakan evolusi rekaan Dynamic Shield yang lebih “lembut” berbanding dengan model sebelumnya

Jika anda kurang berkenan dengan rekaan ini tak menjadi masalah kerana rekaan Mitsubishi Triton 2023 ini memenangi hati juri IF Design Award 2024.

Rekaan baru ini nampak ke arah rekaan trak pikap yang yang gagah dari semua sudut pandangan, namun mengekalkan beberapa ciri moden yang ada sebelum ini. Antaranya termasuklah penggunaan lampu LED DRL yang membentuk kening, lampu LED depan dan juga lampu LED belakang

Namun Triton 2023 masih mengekalkan imej sporti yang ada seperti penambahan penutup plastik di bahagian sisi, rim aloi serta roof liner di bahagian atas dengan kemasan hitam berkilat

Selain dari rekaan luar, Mitsubishi Triron 2023 juga menggunakan platform ladder frame baru sepenuhnya, dengan pertambahan bending rigidity sebanyak 60% dan juga torsional rigidity meningkat sebanyak 40%.

Malah sesetengah bahagian dihasilkan daripada keluli dengan kekuatan mencapai sehingga 1180MPa. Penggunaan platform serba baru yang lebih kukuh membolehkan Mitsubishi Triton memperolehi skor 5 bintang ASEAN NCAP dan keselesaan yang lebih baik

Malah penggunaan platform baru ini membenarkan jurutera merendahkan ruang kargo blakang sebanyak 45mm menjadi 820mm dari permukaan jalan, memudahkan pengguna memuatkan barangan di ruang kargo

Bagi pasaran Malaysia, Mitsubishi ditawarkan dengan enjin turbodiesel serba baru yang lebih bersih, menjimatkan bahan api serta cekap tenaga. Bagi varian Athlete yang dipandu uji oleh kami, enjin 4N16 turbo berkembar ini menjana 201 kuasa kuda dan 470Nm tork

Bagi varian lain, enjin ini menjana sehingga 179 kuasa kuda dan 430Nm tork. Enjin 4N16 ini lengkap dengan teknologi terbaru seperti EGR sejukan cecair untuk mengurangkan pelepasan gas berbahaya dan menjimatkan bahan api, binaan blok dan kepala silinder daripada aluminium serta dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan automatik “shift by wire”.

Bagi rekaan dalaman, Mitsubishi mengetengahkan konsep rekaan Horizontal Axis dengan semua butang butang fizikal disusun secara teratur. Anda boleh mencapai dan mengaktifkan semua ciri yang ditawarkan tanpa perlu mencari di skrin multimedia yang lengkap dengan ciri Apple Car Play dan Android Auto

Komponen yang selalu dipegang dan disentuh oleh pengguna seperti roda stering, pemegang pintu dan “hand grip” dihasilkan dengan menggunakan konsep Mitsubishi Touch. Ia amat selesa untuk digenggam namun pada masa sama terasa sangat kukuh.

Malah kemasan pintu juga dibalut dengan kemasan kulit lembut untuk memberikan imej mewah dan selesa pada Triton 2023

Ujian pemanduan bersama Mitsubishi Triton melibatkan laluan perjalanan daripada Bangsar menuju ke Janda Baik bagi menguji Triton di laluan jalan lasak sebelum menuju ke Kuantan. Berikut ialah pemerhatian penulis terhadap kualiti pemanduan Mitsubishi Triton 2023:

1. Rasa pemanduan ketika melalui jalan bandar adalah seperti sebuah trak pikap, dengan enjin baru 4N16 menjana kuasa yang sunggh memuaskan hampir sepanjang masa. Varian Athlete merupakan varian yang paling berkuasa menawarkan kualiti pecutan yang bagus semasa melalui kesesakan jalan raya dan juga lebuh raya

2. Operasi gear 6 kelajuan “shift by wire” juga adalah lancar dan tiada masalah gear hunting. Berbeza dengan model lama, model baru tidak ditawarkan dengan ciri paddleshifter. Namun pada kebanyakan masa penulis tidak menggunakan ciri shiftronic untuk menukar gear melainkan ketika menuruni bukit berselekoh.

3. Bagi sebuah pikap, rasa dan kawalan brek adalah memuaskan. Namun ia masih ditawarkan dengan ciri brek tangan dan juga roda belakang menggunakan brek dram. Jadi tiada ciri AutoHold ditawarkan.

4. Kusyen dihasilkan dengan menggabungkan fabrik dan juga kulit. Penggunaan fabrik memberikan titik sentuhan yang lebih selesa untuk perjalanan yang jauh. Malah postur kedudukan pemandu dengan interaksi stering, pedal dan juga gear adalah sangat selesa

5. Pada halaju 110km/jam, penulis merekodkan bunyi bising pada kadar 58dB sahaja. Angka tersebut adalah angka yang bagus bagi sebuah trak pikap ladder frame, dengan enjin diesel dan juga tayar All Terrain berbunga kasar. Hanya roda stering menghasilkan getaran halus yang dirasai oleh penulis ketika memandu di lebuh raya

6. Bagi penumpang belakang, penulis merasakan ia lebih senyap berbanding di kedudukan kusyen depan walaupun ketika dipandu laju melebihi 110km/jam. Ciri corong penyaman udara di atas kepala, perehat tangan dan 2 poin USB untuk penumpang belakang turut disediakan

7. Pengalaman pemanduan melalui jalan tidak berturap termasuk melalui anak sungai membuktikan Mitsubishi Triton sangat mudah untuk dikendalikan, walaupun dipandu oleh pemandu amatur seperti penulis.

Terdapat beberapa mode yang disediakan seperti 2H Normal, 2H Eco, 4H Gravel, 4H Snow, 4H Lock Differential Mud/Sand, dan juga 4L Lock Differential Rock yang membolehkan Triton melalui semua cabaran offroad dengan mudah

8. Jarak kelegaan antara cesi dan permukaan jalan juga dinaikkan kepada 222mm bagi memudahkan Triton melalui halangan offroad. Walaupun menggunakan spring dedaun untuk roda belakang, jarak pergerakan (wheel articulation) telah dipertingkatkan.

Bagi model terbaru, Mitsubishi Triton dipasang dengan sistem brek kecemasan automatik AEB, Amaran Lintasan Lorong, Adaptive Cruise Control, Blind Spot Warning With Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert dan juga Auto High Beam

Bagi model terbaru, Mitsubishi Triton turut ditawarkan dalam varian Single Cab untuk mengangkut barangan, varian GL manual serta GL Automatik bagi tujuan kerja berat di tapak pembinaan dan juga melalui offroad.

Bagi pemilik yang mahukan sebuah trak pikap untuk memenuhi gaya hidup aktif di hujung minggu, varian yang terbaik ialah varian Premium dan juga Athlete yang dijual pada harga RM 165,980 iaitu meletakkan Triton bersaing secara terus dengan Toyota Hilux 2.8 Rogue, Nissan Navara dan juga Ford Ranger

Google ads
Back to top button