
MPV SEPARA ELEKTRIK – NISSAN SERENA C28. TAK PERLU CAJ BEB
Nissan Serena C28 ini boleh dianggap sebagai kesinambungan evolusi family mover atau van penumpang dari jenama Nissan yang bermula daripada era Vanette C20. Vanette dahulu memang nampak murah dan praktikal, tetapi realitinya kabinnya panas, bising, sistem pendingin hawa lemah, hanya menawarkan tempat duduk jenis bench yang asas.
Model Vanette juga pada asasnya ialah van kargo yang cuba dijadikan MPV, menyebabkan ia sukar berfungsi sebagai kenderaan 2-dalam-1 tanpa banyak kompromi dari segi keselesaan. Menyedari kelemahan Vanette, Nissan menghasilkan MPV dedikasi khas untuk keselesaan penumpang melalui model Serena
Selepas mengalami pembaharuan dan pembaikan yang berterusan, Nissan Serena berevolusi daripada sebuah MPV yang biasa-biasa menjadi sebuah MPV moden, selamat, berkuasa dan menjimatkan bahan api menerusi Serena generasi ke enam iaitu Serena C28 dengan trenkuasa e-Power.

Dari sudut rekaan hadapan, Nissan Serena C28 menampilkan identiti moden Nissan melalui penggunaan V-Motion grille yang kemas, digabungkan dengan air curtain untuk aliran aerodinamik lebih baik. Lampu utama menggunakan konfigurasi tiga projector yang memberikan pencahayaan sekata dan jelas.
Profil sisi pula mengekalkan bentuk MPV praktikal dengan ukuran panjang sekitar 4,765 mm, lebar 1,715 mm dan jarak roda sepanjang 2,870 mm, yang secara langsung menyumbang kepada ruang dalaman lebih luas.
Pintu gelangsar berkembar di kiri dan kanan memudahkan akses penumpang, manakala di bahagian belakang terdapat pintu kargo jenis dwi-bukaan bersama lampu belakang rekaan boomerang tapi sayangnya tiada ciri bantuan elektrik ditawarkan. Ruang kargo bermula sekitar 280 liter dan boleh diperluaskan sehingga 800 liter apabila tempat duduk dilipat.

Masuk ke ruang pemandu, talaan stereng yang tepat memberikan rasa kawalan yang seimbang terutama semasa di laluan lurus. Manakala kusyen tempat duduk membuatkan pemandu seolah-olah duduk di atas kereta, bukannya tenggelam di dalam kabin disebabkan garisan tingkap yang rendah.
Sistem brek terasa lancar dan progresif bagi mengurangkan ayunan cesi ketika membrek, turut menawarkan oleh fungsi e-Pedal yang memudahkan pemanduan dalam trafik.
Reka bentuk papan pemuka pula rendah, moden, ringkas dan elegan tanpa elemen berlebihan. Kawalan fizikal merangkumi butang penghawa dingin, butang pilihan gear, dan mod pemanduan walaupun susun atur tombol dan butang seperti gear knob, mod bantuan stereng dan trip meter kelihatan agak berterabur.


Butang butang di roda stering pula menempatkan kawalan sistem bantuan pemanduan seperti Adaptive Cruise Control dan Lane Assist di sebelah kanan, serta kawalan media dan paparan di sebelah kiri. Terdapat dua port USB dan satu pad pengecas tanpa wayar di bahagian depan
Di ruang tengah, Serena C28 menawarkan fleksibiliti melalui tempat duduk yang boleh digerakkan ke hadapan dan ke belakang di kedua-dua belah kiri dan kanan. Malah kedua dua kusyen juga boleh dirapatkan ke bahagian kiri dan kanan.
Tempat duduk ini juga boleh dibaringkan walaupun tahap kemewahannya sederhana. Kemudahan yang disediakan termasuk ventilasi udara di bahagian atas, port USB, meja lipat serta skrin hiburan yang boleh memainkan video. Namun begitu, ketiadaan ruang simpanan di pintu menjadikan penyimpanan barangan besar agak terhad.

Ruang penumpang belakang pula menggunakan konfigurasi tempat duduk lipat 50:50 dan dilengkapi dengan corong penyaman udara, 2 poin USB, pemegang botol air serta beberapa ruang simpanan tambahan.
Dengan tempat duduk belakang dalam posisi tegak, kapasiti kargo sekitar 280 liter, dan boleh ditingkatkan sehingga 800 liter apabila tempat duduk dilipat sepenuhnya, menjadikannya praktikal untuk kegunaan keluarga harian.
Dari segi rangkaian kuasa, Nissan Serena C28 e-POWER menggunakan enjin 1.4 liter HR14DDe yang berfungsi sepenuhnya sebagai generator. Putaran enjin tidak berkait secara langsung dengan tekanan pedal minyak kerana RPM ditentukan oleh ECU berdasarkan tahap bateri dan permintaan kuasa.

Dalam situasi beban ringan atau top-up bateri, enjin beroperasi sekitar 1,200 hingga 1,600 RPM. Untuk pemanduan bandar, RPM lazimnya berada antara 1,800 hingga 2,200, iaitu zon kecekapan terbaik enjin. Apabila bateri rendah dan pemandu memerlukan kuasa tambahan seperti mendaki bukit atau membawa muatan penuh, RPM akan meningkat ke sekitar 2,500 hingga 3,000, manakala RPM melebihi 3,500 jarang berlaku kerana sistem e-POWER direka untuk mengelakkan putaran tinggi.
Corak ini menjadikan bunyi enjin lebih konsisten dan tidak berubah-ubah seperti sistem CVT konvensional, dengan motor elektrik menguruskan sepenuhnya tork ke roda. Secara peribadi, penulis memang sukakan reaksi pantas motor elektrik yang menjana 163PS dan 315Nm tork ini.
Aspek keselamatan menjadi antara kelebihan utama Serena C28 apabila ia menerima penarafan lima bintang JNCAP. Ciri keselamatan yang ditawarkan termasuk Adaptive Cruise Control, Blind Spot Intervention, Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Prevention dan Lane Intervention, kamera 360 darjah, Auto High Beam serta enam beg udara, menjadikannya lengkap untuk kegunaan keluarga.

Secara keseluruhan, Nissan Serena C28 ialah MPV keluarga yang matang dari sudut kejuruteraan, hasil pengalaman panjang Nissan dalam membangunkan kenderaan pelbagai guna yang lebih selesa dan selamat.
Ia bukan model yang menekankan prestasi atau teknologi futuristik, sebaliknya memberi fokus kepada kelancaran pemanduan, kecekapan sistem e-POWER, tahap keselamatan tinggi dan ketenangan untuk penggunaan jangka panjang oleh keluarga.
Anda boleh pandu uji Nissan Serena C28 terbaru di lokasi terpilih pada hujung minggu ini


