
HONDA HR-V FACELIFT – MACAM SAMA TAPI BANYAK BERUBAH
Ramai orang kata Honda HR-V facelift ini nampak macam tidak berubah langsung. Dari jauh memang nampak bentuknya masih sama, rekaan masih lagi mengekalkan identiti Honda, dan keseluruhan karakter kereta tidak berubah.
Tetapi kalau anda lihat dengan lebih teliti, sebenarnya Honda melakukan beberapa penambahbaikan yang halus, yang menaikkan rasa premium HR-V berbanding menukar seluruh identiti. Mungkin banyak perubahan kalau anda minta isteri anda melihat model facelift ini, sebab orang perempuan suka meneliti kisah silam suami
Bahagian luar adalah antara kawasan yang menerima sentuhan baru. Jeriji depan kini direka semula dengan bentuk potongan krom yang lebih moden, bumper depan diberi bentuk yang lebih kemas, dan lampu belakang LED turut diberkan sentuhan baru untuk memberi rupa yang lebih matang. Namun rekaan lampu belakang ini hanya khas untuk model RS sahaja


Rim 2 tona bersaiz 18 inci sekarang menjadi rim standard bagi semua varian, dan corak rim baru menampakkan HR-V lebih tegap dan premium tanpa perlu buat perubahan drastik. Ia bukan perubahan besar, tetapi cukup untuk buat model facelift ini terasa lebih bergaya.
Masuk ke dalam kabin pula, perubahan terasa lebih ketara dengan unit skrin multimedia kini jenis floating bersaiz 8 inci, lebih nipis, sekali gus menjadikan bahagian tengah dashboard lebih moden dan bersih. Skrin lama dulu kelihatan sepeti skrin biasa dan besar gedabak.
Sistem skrin ini menyokongan aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, ditemani port USB-C dan konsol tengah yang direka semula supaya lebih praktikal. Untuk varian RS e:HEV, Honda turut menambah pengecas telefon tanpa wayar, sesuatu yang kecil tetapi sangat memudahkan penggunaan harian, terutama bagi pemandu yang sering bergantung pada telefon.


Bahagian keselamatan juga diperkemas dengan cara yang sangat bermakna. Honda Sensing kini menjadi standard untuk semua varian, tanpa mengira harga. Ini memberikan kelebihan yang besar kerana setiap pembeli HR-V, termasuk yang memilih varian paling asas, tetap mendapat ciri seperti AEB, adaptive cruise control, lane keeping assist dan banyak lagi. Hanya ciri Lane Watch sahaja yang dikhaskan untuk varian RS dan V
Namun perubahan yang paling ketara sebenarnya muncul semasa memandu, terutamanya pada HR-V e:HEV RS. Kalau dibandingkan di atas kertas memang ada model-model dari China yang menampilkan senarai spesifikasi lebih panjang.
Tetapi apabila HR-V ini dipandu di atas jalan, barulah perbezaannya jelas terasa. Sistem e:HEV memberikan penyampaian kuasa yang sangat lancar, seperti memandu enjin NA 2.0 yang sangat halus, kuasa yang linear, mudah dikawal dan tidak pernah terasa agresif tanpa sebab.

Dengan bantuan motor elektrik, respon tork dari motor 253Nm pula pantas setiap kali pedal minyak diteka, HR-V terus bergerak tanpa sebarang isu seperti turbo lag dan drama drama, menjadikan pemanduan bandar dan lebuh raya sangat bertenaga
Kualiti NVH juga berada pada tahap yang memuaskan. Bunyi enjin halus yang ditebat dengan baik, bunyi angin terkawal terutama dengan penggunaan tayar Continental, dan keseluruhan kabin terasa tenang walaupun pada kelajuan sederhana dengan kadar kebisingan sekitar 57dB.
Ini menjadikan HR-V antara SUV paling tenang dan damai dalam segmennya. Respon stering pula mempunyai rasa yang paling natural, tidak terlalu berat dan tidak pula terasa palsu seperti dibuat-buat seperti kebanyakan pesaing. Ia memberi keyakinan dan kawalan lebih ketika memandu, sama ada di jalan bandar atau lebuh raya.

Ergonomik adalah kelebihan Honda yang memang tidak pernah mengecewakan. Dari saat anda mula melabuhkan badan, rekaan kontur kusyen seperto terasa berada pada tempat yang betul dengan posisi pemanduan mudah dicari, butang-butang senang dicapai, dan sokongan tempat duduk cukup baik untuk perjalanan jauh.
Talaan cesi HR-V juga terserlah, dengan kawalan cesi yang stabil dan pengendalian yang meyakinkan, menjadikan HR-V sebuah SUV yang terasa seimbang antara keselesaan dan kawalan. Di atas jalan raya, pengendalian HR-V adalah jauh lebih baik dari pesaingnya yang laun
Kesimpulannya, HR-V facelift bukan model yang datang dengan perubahan dramatik. Ia tidak mengubah DNA asal HR-V, tetapi setiap penambahbaikan yang dibuat sebenarnya menaikkan taraf penggunaan harian untuk pemandu.

Dengan harga RM 143,900, HR-V RS e:HEV terasa jauh lebih selesa, lebih moden, lebih senyap, lebih senang dipandu, dan lebih selamat. Atas kertas mungkin tidak “wow” berbanding pesaing yang penuh fungsi, tetapi atas jalan HR-V RS e:HEV masih memberi pengalaman pemanduan yang paling natural, paling santai dan paling yakin dalam kelasnya.



