Pandu Uji

PANDU UJI: SUZUKI FRONX. RASA MACAM DRIVE SWIFT SPORT?

Setelah bertahun-tahun hanya bertahan dengan dua model iaitu Swift Sport dan Jimny, akhirnya Naza Eastern tampil menawarkan produk baharu Suzuki ke pasaran tempatan.

Kewujudan Fronx sebenarnya mula disedari apabila SUV kompak itu membuat penampilan pada acara Gaikindo Indonesia International Autoshow 2025 tiga bulan lalu. 

Macam biasa, apabila ada model baharu dilancarkan di pasaran lain, maka timbullah suara ang meminta supaya Naza Eastern menawarkan Fronx di negara ini. Tidak mengambil masa yang terlalu lama, Fronx rasmi dilancarkan pada November lalu.

Berbeza di Indonesia yang hadir dengan tiga varian iaitu GL, GX dan SGX bersama pilihan transmisi manual serta automatik, pengguna di Malaysia hanya menerima varian tertinggi Fronx yang dikuasakan oleh enjin serta sistem mild/smart hybrid. 

Sebenarnya, Fronx pertama kali diperkenalkan di peringkat global sebagai model crossover berteras platform Suzuki Baleno. Dibangunkan di India dan kemudiannya diperluaskan ke pasaran ASEAN, Fronx dilancarkan sebagai SUV kompak urban yang menyasarkan golongan muda dan keluarga kecil.

Penerimaan positif di Indonesia menjadi indikator penting bahawa Fronx bukan sekadar eksperimen, tetapi model yang mempunyai permintaan sebenar.

Pengalaman pasaran tersebut juga memberi gambaran awal tentang kebolehpercayaan jangka panjang dan kesesuaian Fronx untuk iklim serta keadaan jalan di rantau ASEAN termasuk Malaysia.

Rekaan Luaran: SUV Kompak Dengan Sentuhan Coupe

Secara visual, Suzuki Fronx jelas direka untuk menarik perhatian. Ia membawa bahasa rekaan SUV moden dengan garis badan kemas dan perkadaran yang seimbang. Bahagian hadapan didominasi oleh gril besar dengan kemasan piano black, dipadankan dengan lampu utama LED serta DRL nipis di bahagian atas, memberikan wajah yang agresif dan futuristik. 

Profil sisi pula menampilkan siluet seperti coupe SUV, dengan bumbung sedikit menurun ke belakang. Rekaan itu digabungkan dengan arca roda hitam dan rel bumbung untuk menyerlahkan elemen lasak.

Rim aloi bersaiz 16 inci melengkapkan lagi imej sporty Fronx Hybrid. Di belakang, bar lampu LED melintang dengan rekaan moden memberi sentuhan premium. Secara keseluruhan, Fronx berjaya menampilkan rupa yang lebih mahal daripada apa yang dijangkakan.

SUV yang dibawa masuk secara CBU dari Indonesia itu direka dengan fokus kepada kegunaan harian di bandar. Dimensi kompak dan radius pusingan yang kecil  menjadikannya mudah dikendalikan di laluan sempit dan parkir bertingkat, namun masih cukup luas untuk kegunaan keluarga kecil.

Jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi berbanding hatchback biasa pula memberikan keyakinan tambahan ketika melalui jalan rosak, bonggol tinggi atau banjir kilat, satu kelebihan penting untuk kondisi jalan di Malaysia.

Ruang Kabin

Masuk ke ruang kabin, kita dapat lihat bahawa Suzuki kini kian berani untuk menggunakan pelbagai jenis material dan warna. Tengok sahaja pada papan pemuka, konsol tengah dan panel pintu. Ada kemasan soft touch, plastik keras dengan warna hitam, kelabu dan coklat lagi, memang nampak lebih mewah berbanding Jimny atau Swift Sport. 

Pemandu dialu-alukan dengan stereng yang sama seperti Swift Sport, lengkap dengan butang kawalan sistem audio di sebelah kiri dan butang untuk sistem keselamatan di sebelah kanan. Walaupun nampak klasik, saya suka kepada head-up display (HUD) yang akan naik sebaik sahaja enjin dihidupkan. 

Anda boleh melaras ketinggian paparan maklumat menerusi butang yang ada di bahagian bawah pendingin hawa sebelah kanan.

Kalau tak suka HUD ini pun tidak mengapa kerana anda boleh menyahaktifkannya dengan hanya menekan butang HUD di tempat yang sama. Berbeza dengan pesaing dalam kelas yang sama, Fronx hadir dengan dua meter analog dan satu skrin kecil multi-info display (MID) di tengah-tengahnya. 

Beralih ke papan pemuka, ia dihuni oleh skrin sentuh bersaiz 9″ yang lengkap dengan ciri kamera 360 darjah, selain ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar. Nak sambungkan pun mudah sahaja, cuma saya harapkan resolusi yang lebih baik untuk skrin ini.  

Tempat duduk yang dibalut dengan gabungan kulit dan fabrik dua tona itu cukup lembut dan selesa. Ia memberi sokongan yang baik pada bahagian peha dan belakang. Jadi, kalau duduk dalam tempoh yang lama pun tiada masalah. 

Ruang but belakang seluas 308 liter itu cukup untuk kegunaan harian seperti barangan runcit, stroller kecil atau beg perjalanan hujung minggu, manakala tempat duduk belakang boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40 untuk ruang tambahan. 

Prestasi dan Mild Hybrid

Fronx Hybrid dikuasakan oleh oleh enjin 1.5 NA K15C Dualjet yang menawarkan kuasa 103PS dan tork 136.8Nm. Dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan automatik, enjin tersebut direka untuk untuk menawarkan kuasa responsif menerusi nisbah tekanan yang telah ditambah baik serta penggunaan dua unit injektor pada setiap silinder.

Bagi memberikan penjimatan terbaik, enjin tersebut digabungkan dengan sistem smart hybrid (mild-hybrid) yang terdiri daripada komponen Integrated Starter Generator (ISG) berkapasiti 12V dan bateri Lithium-Ion berkuasa 10A.

ISG itu sebenarnya tidak jauh beza seperti sistem yang ada pada MPV Nissan Serena S-Hybrid. Secara asasnya, ISG berfungsi memberi tambahan kuasa ketika hendak menggerakkan kenderaan dan memecut. Jadi, beban itu tidaklah diserahkan sepenuhnya kepada enjin, tetapi turut dibantu oleh motor elektrik.    

Berbekalkan saiz badan yang kecil dan ringan, rangkaian kuasa itu sememangnya mampu menawarkan penggunaan bahapi yang cukup menjimatkan.

Selepas memandu selama empat hari melibatkan perjalanan di bandar dan lebuh raya, saya dapat mencatat penggunaan minyak sekitar 19km bagi setiap liter petrol. Jadi dengan satu tangki penuh, senang-senang sahaja boleh dapat hampir 700km.   

Bukan sekadar jimat, Fronx Hybrid juga menawarkan kualiti pemanduan yang mengujakan. Harus ingat bahawa ini ialah pengeluar sama yang menghasilkan Swift Sport. Jadi, untuk membuat satu lagi kenderaan dengan pengendalian yang best bukanlah susah buat Suzuki. Jujur cakap, saya sangat enjoy memandu jentera ini sama ada di laluan bandar, lebuh raya dan terutamanya laluan berselekoh. 

Fronx menjanjikan ride handling yang mengingatkan kita kepada kereta kompak Jepun, sesuatu yang agak sukar diperolehi pada masa sekarang. 

Dari segi keselamatan pula, Fronx Hybrid dilengkapi pelbagai ciri seperti dua sensor sokongan brek di hadapan atau Dual Sensor Brake support II (DSBS II). Ia mampu mengesan kenderaan lain, pejalan kaki, basikal, motosikal ketika berada dalam kelajuan sekitar 5 hongga 180km/j. 

Jika dibandingkan di antara harga dan ciri, jentera ini ditawarkan pada harga yang agak premium. Ia boleh anda miliki pada harga bermula RM147,000 seunit. Sah sehingga 31 Disember 2025, anda akan menerima rebat sebanyak RM4,000.

Jika tidak mahu rebat itu, anda boleh menukarnya kepada aksesori tulen Suzuki. Fronx Hybrid juga hadir dalam tiga pilihan warna dua tona iaitu oren, biru dan ivory. Manakala warna monotone pula ialah merah, hitam, putih dan kelabu.  

Tidak dinafikan bahawa bukan mudah untuk Naza Eastern meyakinkan orang ramai membeli Fronx Hybrid. Berada dalam pasaran yang sangat sensitif terhadap harga dan berdepan pula dengan netizen yang gemar membuat perbandingkan kurang adil, mudah untuk ramai di antara kita terus menyingkirkan Fronx Hybrid daripada senarai.

Tetapi, sebelum berbuat demikian, apa kata pergi dulu lihat secara dekat dan pandu uji. Anda mungkin suka dengan SUV kompak ini. 

GALERI

Google ads
Back to top button