
PANDU UJI: HYUNDAI TUCSON HEV – PATUT TERIMA LEBIH PERHATIAN
Hyundai Malaysia membuka lembaran baharu dalam segmen SUV kompak apabila melancarkan Hyundai Tucson facelift 2025 pada Julai lalu. SUV itu juga hadir dengan varian hibrid 1.6 Turbo HEV buat pertama kali di pasaran tempatan.
Pelancaran ini bukan sekadar mengetengahkan wajah baharu kepada model popular itu, malah menandakan permulaan serius Hyundai ke arah kenderaan elektrifikasi di Malaysia.
Seawal melangkah masuk ke dalam kabin Hyundai Tucson HEV baharu, jelas terasa bagaimana Hyundai kini bukan lagi jenama biasa-biasa.
Semua yang disentuh, dilihat dan dirasai memberi gambaran bahawa pengeluar Korea tersebut benar-benar serius untuk mencabar dominasi pemain dari Jepun, Eropah dan China. Bukan sekadar melalui rekaan, tetapi turut melibatkan aspej teknologi dan pengalaman pemanduan.

Bakal dihasilkan dalam bentuk CKD tidak lama lagi di kilang di Kulim, Kedah, Tucson 2025 jelas membuktikan kematangan Hyundai dalam aspek kualiti, selain berani untuk bersaing dalam segmen SUV keluarga yang cukup sengit.
Untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, SUV berkenaan hadir dalam empat varian bersama tiga pilihan enjin. Varian dan harga adalah seperti berikut:
- Hyundai Tucson Style G2.0 MPi – RM143,888
- Hyundai Tucson Prime 1.6T-GDi – RM164,888
- Hyundai Tucson Prestige 1.6T-GDi AWD – RM186,888
- Hyundai Tucson Prestige 1.6T-GDi Hybrid – RM197,888

Dari Kuala Lumpur ke Desaru — Penuh Kuasa, Senyap dan Selesa
Baru-baru ini, saya sempat menyertai sesi pandu uji yang dianjurkan oleh Hyundai Motor Malaysia, bermula dari Kuala Lumpur menuju Desaru, Johor. Laluan hampir 400 kilometer itu membolehkan SUV itu melalui pelbagai keadaan jalan, daripada jalan bandar, b-road hinggalah ke lebuh raya.
Apa yang lebih menarik, saya berpeluang memandu varian tertinggi iaitu Tucson HEV sebelum beralih ke model Flagship Santa Fe 2.5 liter Turbo untuk pulang semula ke Kuala Lumpur.
Dalam bandar, Tucson hibrid mempamerkan karakter pemanduan yang cukup senyap. Motor elektrik berfungsi sepenuhnya ketika kelajuan rendah, menjadikan pengalaman memandu terasa begitu selesa tanpa sebarang getaran berlebihan. Ketika enjin petrol mula mengambil alih, peralihan antara dua sumber tenaga hampir tidak dapat dirasai.

Di bawah hud, Hyundai Tucson HEV menggunakan gabungan enjin 1.6 liter Smartstream GDi turbocharged dengan motor elektrik berkuasa 60PS, menghasilkan kuasa keseluruhan 235 PS dan tork 367 Nm.
Kuasa disalurkan melalui transmisi automatik 6-kelajuan (6AT) dan sistem pacuan roda hadapan, memberikan pemanduan yang lancar dan responsif. Ketika pedal ditekan, tindak balasnya pantas tanpa sebarang turbo lag.
Di lebuh raya, enjin itu seolah-olah tidak pernah kekurangan kuasa, terutama ketika hendak memotong kenderaan lain. Mode pemanduan Sport memberikan tambahan tenaga segera dengan bunyi enjin yang lebih garang, namun masih terkawal. Stereng terasa mantap dan beratnya cukup ideal untuk pemanduan berkelajuan tinggi.

Motor elektrik turut berperanan penting dalam membantu pecutan awal dan mengurangkan penggunaan bahan api. Hyundai mendakwa kadar penggunaan bahan api sekitar 18 km/l. Dalam pemanduan sebenar kami ke Desaru baru-baru ini, angka itu hampir tepat, malah kadang-kadang lebih baik terutama ketika menggunakan mod Eco dan memandu dengan lebih santai.
Talaan suspensi pula seimbang, tidak terlalu lembut hingga terasa bergoyang dan tidak terlalu keras hingga mengorbankan keselesaan. Sepanjang perjalanan ke Desaru, Tucson HEV menawarkan keseimbangan sempurna antara ketenangan dan keyakinan, menjadikan ia teman ideal untuk perjalanan jauh anda.

Memandu jentera itu juga menjadi lebih yakin kerana ia dilengkapi pakej penuh sistem keselamatan Hyundai SmartSense. Ini termasuklah fungsi-fungsi seperti Forward Collision Avoidance, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring, Smart Cruise Control dan Rear Cross Traffic Alert.
Tambahan pula, sistem Smart Cruise Control dengan Stop & Go menjadikan pemanduan di lebuh raya atau dalam kesesakan lebih selesa. Sistem kamera 360 darjah dan parking assist pula membantu ketika parkir di kawasan sempit, sesuatu yang sangat dihargai ketika memandu SUV dengan saiz agak besar begini.

Rekaan Luaran Elegan
Melihat dari luaran, Tucson HEV menyerlah dengan bahasa rekaan terkini Hyundai iaitu Parametric Dynamics. Gril baharu yang besar dengan kemasan krom gelap menyembunyikan susunan lampu siang LED (DRL) yang hanya muncul apabila dihidupkan. Ini merupakan antara rekaan signatur Hyundai menjadikannya lebih mudah dikenali walaupun dilihat dari jauh.
Bampar depan dan belakang kini direka lebih agresif. Manakala rim aloi 19 inci dan kemasan hitam berkilat pada skirting sisi menambah gaya sporty. Bahagian belakang pula menampilkan lampu berbentuk T yang bersambung di tengah, mengekalkan gaya futuristik yang menjadi identiti Tucson generasi keempat.
Walaupun dimensi luaran tidak banyak berubah, Tucson HEV kelihatan lebih tegap dan berotot, hasil daripada garisan badan yang tajam dan nisbah tinggi roda yang seimbang.

Kabin Moden Dengan Aura Premium
Masuk ke dalam kabin, Tucson HEV menawarkan ambien seolah-olah anda berada di dalam sebuah SUV yang lebih premium. Perubahan paling ketara untuk model facelift ini pastinya penggunaan panel skrin melengkung dengan dengan dua paparan digital bersaiz 12.3 inci. Satu untuk sistem infotainmen dan kenderaan, manakala satu lagi skrin berfungsi untuk memaparkan segala maklumat pemanduan dengan jelas.
Tiada butang fizikal yang mengganggu pandangan semuanya disepadukan dalam sistem infotainmen dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Kawalan pendingin hawa sentuh, pencahayaan ambien yang tenang serta kemasan lembut pada setiap permukaan menambah lagi rasa mewahnya.
Konsol tengah nampak lebih kemas apabila tuil gear kini kini dipindahkan ke kolum stereng seperti model kenderaan premium dari Eropah.

Tempat duduk kulitnya sangat selesa kerana hadir dengan ciri pelarasan kuasa, ventilasi dan pemanas yang memang sesuai untuk perjalanan jauh. Malah, ruang belakang juga luas untuk tiga orang dewasa, lengkap dengan port pengecas USB-C dan corong penghawa dingin.
Hyundai Tucson HEV 2025 adalah bukti jelas bagaimana Hyundai telah berevolusi daripada sekadar pengeluar ekonomi kepada jenama global yang serius dalam teknologi, reka bentuk dan pengalaman pemanduan.
Ia bukan sahaja menawarkan kuasa dan penjimatan bahan api yang mengagumkan, tetapi juga gaya, keselesaan dan tahap keselamatan yang tinggi, sekali gus menjadikannya antara SUV paling lengkap dalam kelasnya.

Perjalanan kami ke Desaru membuktikan bahawa Tucson HEV bukan sekadar SUV hibrid biasa, tetapi sebuah kenderaan yang berjaya mengimbangi prestasi, kecekapan dan ketenangan dalam satu pakej yang amat memuaskan.
Pada harga RM197,888 dan jaminan 8 tahun atau 160,000 km untuk bateri, cabaran Tucson Hybrid untuk meyakinkan pembeli bukanlah mudah. Namun begitu, ia masih boleh menjadi satu alternatif terbaik untuk mereka yang ingin lari dari kebiasaan dan mahu tampil tersendiri. Lagipun, Tucson sudah terjual lebih 9 juta unit di seluruh dunia.
- BACA: HYUNDAI GETZ – MODEL HATCHBACK MINI YANG PERNAH POPULAR DI MALAYSIA
- BACA: HYUNDAI SEDAN ELEKTRIK BAHARU SEDIA TAWAN PASARAN CHINA
- BACA: HYUNDAI TUCSON 2025 RASMI DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM143K
- BACA: HYUNDAI STARIA 7 TEMPAT DUDUK RASMI DILANCARKAN DI MALAYSIA – JANA 177PS, HARGA BERMULA RM267K
GALERI
























