Pandu Uji

TOYOTA GR SUPRA 6MT- WARISAN JIWA JDM

Pada tahun 2019 Toyota akhirnya menghidupkan semula nama lagenda mereka iaitu Supra selepas lebih 17 tahun kereta sport ini menyepi. Tapi sebaik sahaja tirai model A90 Supra dilabuhkan, ramai peminat antarabangsa yang menepuk dahi.

“Tak ada manual, mana enjin 2JZ?”
“Ni sportscar ke grand tourer?”
“Mana ‘pure’ spirit Supra yang dulu?”

Toyota mempertahankan keputusan mereka yang menggunakan kotak gear 8-kelajuan automatik ZF. Transmisi ini cukup pantas, malah di trek lebih laju dari mana-mana varian manual. Tapi logik dan emosi tak selalu seiring. Bagi para purist, Supra tanpa manual ibarat menikmati sushi tanpa wasabi. Boleh makan, tapi tak rasa “real”.

Pasaran Menilai Dengan Dompet

Dan pasaran terbuka mula bersuara. Tahun pertama 2019, Supra mencatat 5,800 unit jualan di Amerika. Menjelang 2021 angka ini cuma tinggal 4,400 unit. Tapi bila varian 6-kelajuan manual tiba pada 2023, jualan melonjak naik semula ke 6,300 unit, dengan 25% daripadanya datang daripada pembeli manual.
Jelas peminat hardcore masih laparkan rasa “engagement” yang sebenar.

Dengan harga permulaan sekitar USD50,000, dan dengan munculnya pesaing macam Nissan 400Z yang lebih murah pada USD42,000 dan masih kekal dengan transmisi manual dan enjin V6 turbo, Toyota tidak boleh berdiam diri. Kalau Z boleh kekal “jantan”, Supra mesti lawan balik.

Rekaan Luar – Sama Tapi Tak Serupa

Dari luar, Supra Manual dan Automatik nampak seiras. Tiada perbezaan ketara pada bodykit atau rim — cuma beberapa pasaran mengenakan tayar belakang 275/35, manakala di Malaysia semua guna varian memilih tayar 285/35R19.

Tapi di bawah kulit, ada beza: sistem ekzos dan sensor routing berbeza sedikit sebab mounting untuk transmisi manual lain. Toyota mengubah bracket dan exhaust layout supaya sesuai dengan gearbox baru.

Jantung B58 – Enjin BMW Yang Diyakini

Supra manual masih menggunakan trenkuasa yang sama, enjin B58 daripada BMW dengan sesaran 3000cc straight-six turbo, menjana sekita 382hp dan 500Nm tork. Tapi itu angka rasmi pada roda belakang. Sekiranya ukuran dilakukan di crankshaft, anggaran kuasa sebenar sekitar 425hp.

Sebenarnya ada satu lagi enjin yang padu daripada BMW iaitu enjin S58, tapi BMW memilih untuk menyimpan enjin raksasa ini khusus untuk divisi MSport mereka

Cabaran Platform – Bila Toyota Dan BMW Berkongsi Katil

Supra moden dibangunkan atas platform CLAR, hasil pembangunan bersama dengan BMW Z4. Masalahnya, enjin B58 asal tiada versi manual, baik dari segi ECU, mounting, mahupun gear calibration. Jadi bila Toyota kata mereka “buat manual dari awal”, itu bukan PR semata-mata. Toyota betul-betul mula dari kosong, dan hasilnya bukan sekadar “plug and play”.

Asas transmisi yang digunakan ialah ZF GS6-45BZ yang didermakan oleh BMW, sama asas dengan yang pernah digunakan pada BMW 340i, 240i dan Z4. Tapi Toyota hanya ambil casing luaran sahaja manakala komponen dalamannya dirombak habis. Antara perkara yang telah diubah oleh Toyota termasuklah:

1. Gearset dan Final Ratio Baru

Final drive dari 3.15 ke 3.46, supaya lebih pantas dan sesuai dengan enam nisbah gear baharu.
Setiap gear direka untuk memberi respon cepat, bagi memanfaatkan tork 500Nm yang datang awal. Clutch, flywheel, dan coupling semuanya menggunakan versi GR disebabkan reka bentuk asal BMW tak mampu tampung daya itu.

2. Rasa JDM Asli

Toyota bawa gearbox ni balik ke Jepun untuk disemak semula oleh pasukan GR (Gazoo Racing). Mereka mengubah linkage, rasa throw, menambah sedikit berat pada tuil supaya rasa “clicky” dan aksi menukar gear terasa natural. Tambahan pula, sistem iMT (Intelligent Manual Transmission) menawarkan fungsi auto rev-match. Jadi anda boleh menurunkan gear dengan kemas tanpa perlu heel-toe setiap kali.

3. Ringan Tapi Sekata

Transmisi manual ni 38kg lebih ringan berbanding 8AT. Untuk kekalkan keseimbangan 50:50, Toyota mengubah kedudukan bateri, tangki minyak, dan beberapa komponen belakang bagi mengekalkan berat platform 50:50. ZF menamakan kod gearbox rasmi sebagai ZF GS6L50TZ.

Supra manual bukan sekadar tukar kotak gear tetapi platformnya turut disemak semula bagi mengekalkan karekter pemanduan yang asal iaitu predictable. Spring rate dan damper rate ditala semula supaya kereta tidak “tail happy”.

Sistem VSC, DSC, dan yaw control ditetapkan supaya tidk memotong kuasa terlalu awal, sebaliknya beri pemandu kawalan penuh menerusi gear manual. Cagak enjin dan kotak direka semula bagi disesuikan dengan platform CLAR dan dilapisi dengan penebat

Bukan itu sahaja talaan sistem stering dan ECU EPS ditala semula untuk disesuaikan dengan berat dan karekter gear manual. Hasilnya Toyota Supra 6MT terasa lebih neutral, lebih jujur, dan lebih JDM dalam tingkah lakunya berbanding dengan varian automatik

Pemanduan – Dari Harimau Jadi Cheetah Jinak

Jika GR Yaris ibarat harimau liar yang terlepas keluar dari kandang dengan karekter kasar, menggigit dan penuh tenaga, sebaliknya GR Supra Manual ialah cheetah jinak di zoo yang terasa tenang, binatang yang anggun, tapi boleh menggigit bila diusik berlebih-lebihan.

Aksi penukaran gearnya menghasilkan rasa “mechanical click” seperti Mazda MX-5 bukannya terasa kasar bergerigi kasar seperti GR Yaris. Sebaliknya ia terasa sedikit rasa rubbery disulami rasa bagaikan kereta premium manual kerana linkage yang panjang dan kedudukan tuil agak ke belakang hasil kompromi reka bentuk platform CLAR.

Tapi karekter penukaran gear ini bukan kelemahan, sebaliknya ia sebahagian daripada karakter Supra yang dibangunkan sebagai Grand Touring Sports Coupe mewah, bukan track toy.

Sistem synchronizer gear juga direka lembut, ditambah dengan spring return yang ringan, dan NVH yang bagus. Ia menghasilkan proses penukaran gear yang lancar, terasa mewah dan solid. Jadi walaupun manual, Supra masih selesa untuk dipandu jauh tanpa letih.

Jika dibandingkan dengan Supra 8AT yang tenang, efisyen dan bacaan RPM adalah rendah pada halaju tinggi, Supra 6MT datang dengan perangai yang berbeza. Ia lebih agresif, terasa hidup dan berhubung dengan pemandu manakala final ratio yang pendek menjadikan setiap penukaran gear terasa lebih bertenaga

Ergonomik & Pedal Box

Posisi pedal manual direka khas oleh jurutera GR dengan faktor seperti jarak antara pedal, berat tekanan klac, dan sudut tapak kaki semuanya ditetapkan oleh Toyota. Cuma kedudukan perehat kaki agak tinggi dan sedikit canggung untuk sesetengah pemandu.

Menariknya, walaupun banyak komponen menggunakan komponen BMW, rasa pedal, penukaran dan stereng Supra manual lebih “Toyota” berbanding versi automatik. Varian 8AT untuk kelajuan objektif manakala varian 6MT untuk kepuasan subjektif. Dan kalau kau tanya mana yang lebih “Supra”? Jawapan purist jelas, yang ada tiga pedal.

Kelemahan – Tiada Handbrake Manual

Ya, ni antara perkara paling banyak dibangkitkan dimana Supra manual masih mengunakan brek parkir elektrik (EPB) dan bukannya brek tangan mekanikal klasik. Ini disebabkan platform CLAR dari BMW memang dibina sepenuhnya untuk sistem EPB.

Sekiranya Toyota masih berdegil untuk menggunakan brek mekanikal Toyota perlu mengubah dan mereka semula rear subframe, caliper, dan linkage serta melakukan semula ujian homologasi keselamatan yang sudah tentu menelan belaja yang mahal.

Bayangkan untuk membangunkan gear manual ini Toyota sudah membelanjakan sekitar USD 20 juta ke 30 juta, penggunaan brek tangan mekanikal akan menambah beban pada Toyota. Kelebihan EPB adalah lebih ringan, memenuhi piawaian keselamatan moden, dan auto-release bila pedal klac ditekan. Lagipun, Supra bukan kereta drift rasmi sebaliknya tugas drift digalas oleh GR 86.

Dalam aspek keselamatan, varian 6MT hanya tiada ciri Adaptive Cruise Control, tapi padat dengan ciri keselamatan aktif moden yang lain seperti brek AEB, Lane Keep Assist, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert, Traffic Sign Recognition dan juga Adaptive High Beam tu jauh lebih bernilai daripada angka tu.

Antara Heritage, Brand, dan Jiwa

Akhirnya, selepas bertahun-tahun desakan, Toyota tunduk kepada suara komuniti. Toyota GR Supra manual bukan tentang jadi laju. Ia tentang kepuasan pemanduan, hubungan mekanikal serasi dengan jentera dan juga warisan JDM yang perlu dipertahankan. GR Supra manula memberi peluang kepada pemandu untuk rasa setiap hentakan tork, setiap rev, setiap tukaran gear yang dibuat dengan tangan sendiri.

Dalam dunia automotif yang semakin digital, Supra manual adalah simbol bahawa masih ada ruang untuk jiwa manusia dalam mesin moden. Malah jika dibandingkan dengan varian 8AT, GR Supra manual lebih murah RM 10,000 dengan harga jualan RM 645,000.

Google ads
Back to top button