Buletin

NIAT NAK MENUNJUK, FERRARI 812 SUPERFAST AKHIRNYA LANGGAR TEMBOK JAMBATAN LONDON

Ini satu lagi contoh kenapa kereta mahal macam Ferrari patut dibeli oleh orang yang layak dan bukan sebab dia banyak duit semata-mata. 

Satu klip video yang menyaksikan sebuah Ferrari 812 Superfast melanggar tembok jambatan London sehingga beg udaranya diaktifkan menjadi tular di laman sosial. 

Video berdurasi 39 saat itu dikatakan dirakam pada 26 Oktober lalu dan dimuat naik oleh pemilik kereta berkenaan ke akaun Instagram miliknya. Walaupun akaun Instagram itu kini diset sebagai ‘Private’, tetapi apabila sudah berada dalam internet jangan harap boleh padamkan semula. 

Seperti dijangka, klip video itu mendapat kecaman ramai kerana kereta itu dipandu secara berbahaya dan laju. Sedangkan boleh dapat dilihat dengan jelas beberapa orang penunggang basikal berada di bahagian tepi jalan. 

Segalanya bermula apabila pemandu berkenaan tiba di persimpangan di Jambatan Lambeth di tengah London. Sebaik sahaja lampu isyarat bertukar hijau, pemandu itu dilihat mematikan fungsi kawalan cengkaman sebelum memecut laju. 

Apabila tiba di atas jambatan, pemandu terus menekan minyak sebelum hilang kawalan dan melanggar tembok jambatan. Mujurlah kereta itu tidak mengenai seorang penunggang basikal yang kebetulan berada di sana. Video itu bagaimanapun tidak menunjukkan kerosakan yang dialami, tetapi kalau beg udara pun dah keluar, kos membaiki sebuah Ferrari pasti bukan murah. 

Di United Kingdom, Ferrari 812 Superfast dijual pada harga bermula AS$330,000 (RM1.37 juta). 

Untuk makluman, had kelajuan di atas jambatan itu ialah 32km/j sahaja. Polis Metropolitan mengesahkah bahawa pihaknya sedang menyiasat kemalangan tersebut. Mungkin tidak susah sangat kerana bukti video sudah ada di depan mata. 

Google ads
Back to top button