Artikel PilihanBuletin

FERRARI AKHIRNYA TEWAS – BUKAN DI LITAR PERLUMBAAN TAPI DI MAHKAMAH

Setahun lepas, Ferrari memenangi satu perbicaraan di mahkamah menyatakan mana-mana bengkel ataupun syarikat pembuat kereta persendirian tidak dibenar sama sekali untuk mengeluarkan replika 250 GTO, model paling lejen Ferrari.

Pasukan perundangan Ferrari  berjaya meyakinkan mahkamah yang 250 GTO adalah sebuah karya seni dan tidak boleh ditiru tanpa kebenaran daripada Ferrari. Tapi hari ini Ferrari mendapati bola sudah tidak lagi berada di kaki mereka.

Ares Design, sebuah syarikat pembuatan kereta kecil di Itali dan diketuai oleh Danny Bahar (tak ada sangkut paut langsung dengan Khai Bahar), bekas CEO Lotus telah mencabar keputusan mahkamah tersebut dengan membawa kembali kes tersebut ke Bahagian Pembatalan, Pejabat Perlindungan Intelek Kesatuan Eropah (EUIPO).

Peguam Ares menyatakan yang Ferrari gagal menggunakan rekaan dan segala tanda niaga berkaitan dengan 250 GTO selama 5 tahun berturut-turut. Ferrari telah memegang hak terhadap 250 GTO sejak 2008 dan Ares mendakwa ia bertujuan tidak baik dan merupakan langkah tidak wajar untuk menghalang pihak ketiga dari mengeluarkan kereta sports yang seakan-akan sama.

Peguam-peguam dari Ares  Design menyatakan yang Ferrari tidak pernah berniat mengeluarkan kembali 250 GTO sejak tahun 1964 dan langsung tidak berniat untuk menggunakan hakcipta yang difailkan mereka beberapa tahun lepas. Akhirnya keputusan mahkamah memihak kepada Ares Design.

Kenapa Ares Design beria-ria sangat mencabar Ferrari di mahkamah dalam hal ini? Jawapannya ialah kerana mereka ingin membina sebuah model baharu dengan berinspirasikan 250 GTO tetapi menggunakan asas Ferrari 812 Superfast.

Sebelum ini projek Ares Design ialah menghasilkan interpretasi baharu De Tomaso Pantera yang menggunakan platform Lamborghini Huracan. Sama seperti kes-kes mahkamah lain, Ferrari semestinya akan memfailkan rayuan tapi keputusannya nanti tak tahulah macam mana.

Untuk rekod, 250 GTO merupakan salah satu kereta termahal di dunia dan menjadi idaman ramai. Ia dihasilkan dari tahun 1962 hingga 1964 dan jumlah yang dihasilkan cumalah 36 unit. Dalam satu lelongan pada Ogos 2018, sebuah 250 GTO berjaya dijual dengan harga USD48.4 juta. Ia juga merupakan satu rekod baharu lelongan.

Google ads
Back to top button