
GM DEFENSE SERAH ISV PERTAMA ZR2 COLORADO KEPADA TENTERA AS
GM Defense serah Kenderaan Skuad Infantri (ISV) pertama kepada pasukanTentera Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada kontrak bernilai AS$214.3 juta (RM 890.74 juta) diberikan kepada syarikat berkenaan pada bulan Jun lalu.
Secara keseluruhan, GM Defense akan membangunkan 649 unit ISV dan menyokong pembangunan kira-kira 2,065 kenderaan dalam tempoh lapan tahun.
ISV merupakan kenderaan pengangkut yang ringan dan tangkas serta boleh dikendalikan dalam semua permukaan.

Ia mampu mengangkut sehingga 9 anggota skuad infantri bersama peralatan mereka.
Jentera perang ini dibangunkan berdasarkan rekaan trak saiz sederhana Chevrolet Colorado ZR2 menggunakan 90 peratus komponen commercial-off-the-shelf (COTS) dan Chevrolet Performance.
Didatangkan dengan berat 2,268 kg, rekaan ISV ini memenuhi keperluan ketenteraan dan pergerakan darat lebih pantas.

Selain itu, ia juga boleh dimuatkan ke dalam helikopter Chinook CH-47 dan diangkut Blackhawk UH-60 untuk kemudahan pengangkutan udara.
ISV ini mendapat khidmat enjin empat silinder GM Duramax 2.8 liter turbo diesel yang mampu menjana kuasa 186 hp dan tork 500 Nm.
Ia hadir dengan komponen perlumbaan Chevrolet Performance termasuk damper Multimatic DSSV, spring leaf belakang untuk pengembaraan jarak jauh, sistem penyejukan, drive shaft besi dan tayar dengan diameter 35 inci.

Menurut GM Defense, gabungan komponen COTS dan inovatif System Rollover Protection akan memberikan kemudahan pengangkutan di medan perang lebih pantas dan tangkas dalam menyokong kejayaan sesuatu misi.
“Bagi projek ISV, GM Defense mempunyai perjanjian persefahaman dengan Ricardo Defense yang mengetuai Sistem Bersepadu Sokongan Produk untuk ISV,” katanya. – carscoops.