Buletin

NOKIA MENANG HAK PATEN TERHADAP DAIMLER AG

Pengeluar kereta, Daimler AG berdepan kemungkinan dikenakan larangan penjualan jentera Mercedes-Benz di negara Jerman. Ia berikutan syarikat Finland, Nokia memenangi hak paten di mahkamah tempatan.

Dalam penghakiman di Mannheim, Mercedes-Benz didapati melanggar paten teknologi Nokia dengan menggunakannya di dalam kenderaan tanpa mendapat lesen teknologi selular syarikat berkenaan.

Keputusan tersebut memberi kelebihan kepada Nokia. Ia sekali gus berkemungkinan boleh menghentikan Mercedes-Benz daripada menjual kenderaan di Jerman.

Menurut Bloomberg, Nokia perlu memulakan proses berasingan dan memberikan cagaran sebanyak €7 bilion (RM35 bilion) sekiranya ingin mengenakan larangan penjualan kereta Mercedes.

Mahkamah Mannheim memberitahu, kes berkenaan diluluskan kerana Daimler tidak bersedia mematuhi peraturan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan mahkamah,  fakta menunjukkan Daimler dan penyokongnya dalam kes tersebut tidak bersedia mengambil lesen dari Nokia di bawah standard piawaian industri.

Menurut keputusan itu, Daimler perlu berkomunikasi dengan Nokia berkenaan jumlah kenderaan yang dijual menggunakan teknologi terbabit.

Bagaimanapun, syarikat pengeluar kereta itu yakin larangan penjualan tidak akan berlaku.

“Kami tidak memahami keputusan pengadilan mahkamah Mannheim dan akan membuat rayuan. Kami tidak beranggapan akan ada larangan penjualan,” kata pengeluar kereta itu dalam satu kenyataan.

Perselisihan tersebut merupakan antara ‘perang’ lebih meluas syarikat teknologi dan industri automotif melibatkan royalti teknologi yang digunakan dalam sistem navigasi, komunikasi kenderaan serta kereta pandu sendiri.

Pengeluar kereta di Eropah semakin bergantung kepada sistem telekomunikasi mobil bagi membolehkan sambungan-e  pada kenderaan mereka.

Menurut Reuters, Nokia memperoleh pendapatan perlesenan sebanyak €1.4 bilion (RM 7 bilion) setiap tahun dan isu tersebut sangat penting bagi syarikat Finland itu.

“Kami berharap Daimler menerima kewajipannya dan mengambil lesen melalui saluran adil. Banyak keuntungan yang dapat diperoleh sekiranya bekerjasama,” kata Presiden Nokia Technologies,  Jenni Lukander. – carscoops.

Google ads
Back to top button