Buletin

VOLKSWAGEN PERLU BERUBAH DENGAN PANTAS JIKA TIDAK MAHU JADI MACAM NOKIA

Volkswagen perlu mempercepatkan proses baik pulih perniagaannya supaya tidak menjadi seperti Nokia yang hilang dominasi dalam pasaran telefon bimbit kepada Apple, saran Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Volkswagen, Herbert Diess.  

Pengeluar kenderaan berpengaruh Eropah itu dikatakan mahu meningkatkan nilai pasarannya kepada 200 bilion euro (RM900 bilion) daripada 91 bilion euro (RM411 bilion) sekarang dengan cara mengubah suai aset, mengurangkan kos serta meneroka teknologi-teknologi baharu seperti kereta yang terhubung. 

Para pengeluar kenderaan sekarang dilihat meningkatkan aspek penyelidikan dan pembangunan untuk selari dengan firma-firma teknologi yang berlumba-lumba menghasilkan kereta berautonomi, ketika pihak berkuasa terus mengetatkan piawaian emisi. Langkah itu memaksa mereka menghasilkan enjin lebih bersih dan kereta elektrik yang efisien. 

“Persoalannya sekarang, adakah kita cukup pantas? Jika kita terus berada dalam tempo sekarang, ia akan menjadi sangat sukar. Era pengeluar kereta klasik sudah berakhir,” kata Diess dalam satu mesyuarat ahli lembaga pengarah global baru-baru ini. 

Volkswagen kini dilihat cuba berubah daripada pengeluar kenderaan tradisional kepada menghasilkan kereta berautonomi dan terhubung. Pastinya, sasaran itu memerlukan penjimatan kos dan pemerolehan yang lebih cekap. 

Katanya lagi, Volkswagen perlu menguasai aspek perisian, elektronik, menghasilkan barisan kereta elektrik dan bateri demi mematuhi piawaian emisi yang semakin ketat. Inilah cabaran paling sukar pernah didepani oleh Volkswagen. 

Justeru, Volkswagen terpaksa mengurangkan kompleksiti, kos dan meningkatkan produktiviti terutama di Jerman. Pengeluar kenderaan itu bakal memotong sumber untuk sel bahan api kerana ia tidak lagi kompetitif seperti rangkaian kuasa elektrik sekurang-kurangnya untuk dekad akan datang. 

Diess juga mahu fokus kepada keuntungan dan kurangkan volum. “Tengok Bentley sebagai contoh. 10,000 penyerahan. Sejujurnya, saya lebih suka jika ada 5,000 penyerahan tetapi dengan margin lebih 20 peratus,” katanya. 

Untuk melakukan transformasi, Volkswagen mesti fokus kepada kekuatannya dan meninggalkan apa jua yang menghalang peningkatan prestasinya. – Reuters

Google ads
Back to top button