Buletin

DAIMLER KELIRU BAGAIMANA KIM JONG UN BOLEH DAPAT MAYBACH KALIS PELURU

Pengeluar kenderaan mewah dari Jerman, Daimler mengakui bahawa ia tidak tahu bagaimana dan dari mana pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un memperoleh limosin kalis peluru yang digunakannya.

Ini kerana Daimler tidak mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan Korea Utara selama lebih 15 tahun.

Dalam beberapa persidangan berprofil tinggi baru-baru ini, misalnya mesyuarat bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, KimJong Un menggunakan kereta Mercedes-Benz sebagai pengangkutannya.

Situasi tersebut jelas menimbulkan banyak persoalan mengenai pemimpin kontroversi itu.

Harus tahu bahawa jualan atau import barangan mewah, termasuk limosin ke Korea Utara merupakan sebahagian daripada sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Sekatan itu dibuat bagi memberi tekanan kepada Korea Utara menghentikan program senjata nuklear mereka.

Biarpun begitu, Kim Jong Un dilapor memiliki dua buah Mercedes, Maybach S600 Pulman Guard dan Maybach 62 yang menunggunya di Rusia. Manakala S600 Pullman digunakan ketika bertemu dengan Trump di Singapura dan Hanoi.

“Kami memang tidak tahu bagaimana kenderaan itu boleh dihantar ke Korea Utara. Bagi Daimler, urusan mengeksport produk mestilah mematuhi undang-undang yang sememangnya menjadi prinsip perniagaan kami.

“Kami tidak mempunyai sebarang hubungan perniagaan dengan Korea Utara lebih 15 tahun. Daimler juga mematuhi embargo yang dikenakan oleh PBB dan AS,” kata jurucakap Daimler, Silke Mockert.

Menurut Mockert lagi, bagi menghalang penyerahan kenderaan Daimler ke Korea Utara dan pejabat kedutaannya, syarikat itu mengamalkan proses kawalan eksport yang komprehensif.

“Jualan kenderaan oleh pihak ketiga, terutama model terpakai tidak berada di bawah kawalan atau tanggungjawab kami,” katanya lagi.

Google ads
Back to top button