OMODA C9 RASMI DILANCARKAN: DUA VARIAN, JANA 261PS, HARGA BERMULA RM168K
Jaecoo Malaysia hari ini melancarkan model SUV baharu, Omoda C9, yang direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden rakyat Malaysia.
Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu 2WD dan AWD, dengan harga bermula RM168,800 untuk varian asas dan RM188,800 bagi varian pacuan semua roda (AWD).
DIMENSI DAN KAPASITI RUANG
Omoda C9 mempunyai dimensi 4,775mm panjang, 1,920mm lebar, dan 1,671mm tinggi, serta jarak roda sepanjang 2,800mm.
Ruang but belakang menawarkan kapasiti fleksibel dari 660 liter hingga 1,783 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Selain itu, jarak dasar 165mm membolehkan SUV ini mengharungi air sedalam 450mm, menjadikannya sesuai untuk pelbagai keadaan jalan raya.
REKAAN EKSTERIOR DAN KELENGKAPAN PREMIUM
Dari segi luaran, Omoda C9 dilengkapi dengan lampu LED penuh di bahagian depan dan belakang, rim 20-inci berbalut tayar Michelin Primacy bersaiz 245/50, serta pintu dengan teknologi NFC keyless.
Selain itu, kaca akustik turut meningkatkan ketenangan kabin dengan mengurangkan bunyi luar.
Masuk ke dalam kabin, anda akan disambut dengan suasana mewah yang menampilkan papan pemuka dan konsol tengah berbalut kulit premium, serta paparan skrin besar 24.6-inci definisi tinggi.
Kabin juga dihiasi cahaya keliling ritma aktif, manakala sistem penyaman udara tiga zon dengan ciri haruman dan penapis udara menjadikan setiap perjalanan lebih selesa.
SUV ini turut dilengkapi pengecas tanpa wayar 50W, konsol tengah dengan bolong udara untuk menyejukkan barang, serta sistem audio 14-pembesar suara untuk varian AWD dan lapan-pembesar suara untuk varian 2WD.
Ciri-ciri pintar termasuk Sistem Pengawasan Pemandu (DMS), paparan paras mata pada cermin depan, dan perakam video digital (DVR). Tempat duduk pemandu menawarkan lapan kedudukan boleh laras dengan fungsi memori sehingga enam profil pengguna.
Untuk keselamatan, Omoda C9 dilengkapi lapan beg udara serta dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) 2.5, yang merangkumi fungsi seperti Pengesanan Titik Buta (BSD), Amaran Keluar Lorong (LDW), dan Bantuan Mengekalkan Lorong Kecemasan (ELKA).
Dari segi kuasa, SUV ini dijana oleh enjin 2.0-liter TGDI empat silinder yang menghasilkan kuasa maksimum 261PS dan tork 400Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.
Terdapat sehingga tujuh mod pemanduan untuk varian AWD, manakala varian 2WD hadir dengan tiga mod.
Bukan itu sahaja, sistem Kawalan Peredam Berterusan (CDC) meningkatkan kestabilan dan keselesaan semasa memandu.
Dengan gabungan reka bentuk moden, teknologi pintar, dan prestasi yang mantap, Omoda C9 menawarkan pakej lengkap untuk pengguna yang mencari SUV bergaya serta praktikal.
Untuk pembeli terawal menempah C9 sehingga 31 Disember 2024, pelanggan akan menerima waranti 10-tahun atau 1,000,000km untuk enjin dan suspensi.
Selain itu, turut disediakan bersama adaalah waranti tujuh-tahun atau jarak perjalanan sehingga 150,000km.
GALERI:
- BACA: TAN CHONG MOTOR MULA MENGEKSPORT NISSAN SERENA S-HYBRID KE THAILAND
- BACA: HONDA AMAZE DILANCARKAN DI INDIA – JANA 89HP, HARGA BERMULA RM9.4K
- BACA: MITSUBISHI MOTORS SEDIA TAWARAN EKSKLUSIF DI KLIMS 2024, LANCAR MAX LEASING
- BACA: VOLVO XC40 B5 PLUS KINI DIBUKA UNTUK TEMPAHAN, HARGA BERMULA RM278K