MITSUBISHI PAJERO SPORT BLACK SERIES RALLIART EDITION – APA ADA PADA NAMA
Antara cara pengeluar memasarkan model keluaran mereka ialah dengan menggunakan nama syarikat tuning terkenal yang berkaitan dengan divisyen sukan motor mereka. Kalatu Toyota gunakan jenama TRD dan Nissan gunakan Nismo, Mitsubishi sudah tentu memilih Ralliart sebagai daya penarik.
Itulah yang dilakukan oleh Mitsubishi Filipina bila memperkenalkan Montero Sport Black Series Ralliart Edition. Jangan teruja sangat kerana walaupun ia dinamakan edisi Ralliart, ia tak lebih kepada tampalan pelekat dan beberapa tambahan ciri kosmetik dan aksesori tanpa menyentuh aspek kuasa dan pengendalian kenderaan.
Walaupun kelihatan sangat rugged dan dibekalkan dengan beberapa aksesori keluaran Ralliart, ia sebenarnya masih sebuah Montero Sport pacuan belakang (RWD). Ya, sistem AWD ataupun 4×4 pun tak ditawarkan pada model edisi terhad ini.
Dari jauh ia kelihatan seperti kenderaan sokongan perlumbaan rali tapi jangan gatal-gatal nak pandu pergi laluan off-road. Sia-sia je kalau sangkut dalam hutan.
Bahagian luaran memang terdapat pelekat Ralliart yang besar gedabak manakala bahagian dalam punya menerima kemasan Ralliart yang minima termasuklah pelapik kaki khas. Pemilik juga akan diberikan sekaki payung, beg galas dan topi keluaran Ralliart. Semuanya dah dimasukkan dalam harga kereta ni.
Tapi rasanya logik juga mereka buat macam ni. Ramai je kami jumpa pemilik 4×4 yang tak pernahkan guna langsung ciri-ciri tambahan yang ada pada kenderaan mereka. Ramai yang beli semata-mata untuk imej dan sekali-sekala masuk kebun. Itu pun masa musim durian kalau tak memang senyap sunyi terus.