
OMODA C9 DIPERKENALKAN DI MALAYSIA, LANCAR DISEMBER INI – DUA VARIAN, HARGA BERMULA RM185K
Jaecoo Malaysia hari ini memperkenalkan sebuah lagi SUV baharu untuk pasaran tempatan iaitu Omoda C9.
Bakal dilancarkan pada bulan Disember tahun ini, C9 dijangka menggegar pasaran SUV segmen-D dengan prestasi enjin, teknologi keselamatan, ciri-ciri keselesaan dan strategi harga kompetitif yang tersendiri.
Omoda C9 ditawarkan dalam dua varian iaitu 2WD dan AWD.
Dari segi dimensi, Omoda C9 mempunyai ukuran 1,671mm tinggi, 1,920mm lebar, dan 4,775mm panjang dan jarak roda 2,800mm, menawarkan kapasiti 660 liter hingga 1,783 liter untuk but belakang.

Model baharu ini juga menawarkan jarak dasar 165mm dari permukaan, yang membolehkannya meredah air pada kedalaman maksimum 450mm.
Untuk penggayaan, ia tampil dengan lampu LED depan dan belakang, rim 20-inci dibalut tayar Michelin Primacy berukuran 245/50, kaca akustik serta pintu keyless dengan teknologi NFC.
Menjengah dalam kabin, ia dilengkapi cahaya keliling ritma aktif, paparan HD tunggal 24.6-inci C9 serta konsol dan papan pemuka dilitupi kulit lembut premium untuk memberikan kemasan mewah.
Konsol tengah luasnya dilengkapi dengan bolong udara untuk memastikan barang yang disimpan kekal dingin di samping penyediaan alat pengecas mudah alih tanpa wayar (50W).
Bagi sistem audio, Omoda C9 disertakan bersama sistem audio dengan 14 pembesar suara (varian AWD), manakala varian 2WD menerima lapan pembesar suara.
Unit penyaman udara tiga zon juga dilengkapi dengan sistem haruman dan kualiti udara bagi menambah keselesaan.

Ciri-ciri penting di bahagian tempat duduk pemandu C9 termasuklah padel penukar gear roda stereng, paparan paras mata pada cermin depan dan pemilih gear transmisi.
Selain itu, papan pemuka pemandu turut dilengkapi dengan Sistem Pengawasan Pemandu (DMS) yang berserta ciri navigasi serta perakam video digital (DVR).
Bukan itu sahaja, tempat duduk pemandu pacuan elektrik menyediakan lapan kedudukan boleh laras dan kapasiti memori untuk enam posisi pemandu.
Beralih pada kuasa, Omoda C9 dikuasakan oleh enjin 2.0-liter TGDI empat silinder, berupaya menghamburkan 257hp/400Nm dan dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.
Dari segi mod pemanduan, varian 2WD mempunyai tiga mod, sementara AWD pula mempunyai tujuh mod pemanduan.
Untuk ciri keselamatan, ia menerima ciri penting, terutamanya dengan alat Kawalan Peredam Berterusan (CDC) serta disokong oleh Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) 2.5 dengan Pengesanan Titik Buta (BSD), Amaran Pembukaan Pintu (DOW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Pencegahan Keluar Lorong (LDP), Bantuan Pertukaran Lorong (LCA) dan Bantuan Mengekalkan Lorong Kecemasan (ELKA).
Untuk ketenangan fikiran tambahan, bahagian badan C9 diperbuat daripada 85 peratus keluli kekuatan tinggi dan dilengkapi dengan tujuh beg udara.
Untuk harga pula, Omoda C9 boleh dimiliki pada harga bermula RM185,000 (2WD) dan RM195,000 bagi varian AWD.



