
ORA LIGHTNING CAT BAKAL MUNCUL DI PASARAN TEMPATAN, HARGA SEKITAR RM200K
GWM Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa Ora 07 (Ora Lightning Cat) akan mendarat di Malaysia tidak lama lagi.
Berikutan pengeluaran awal Ora 07 di Thailand, GWM Malaysia mengeluarkan imej pratonton kereta ini di media sosial rasminya.
Antara pesaing utamanya dalam pasaran Asia Tenggara ialah BYD Seal dan Tesla Model 3.
Dari segi dimensi, Ora 07 berukuran 4,871/ 1,862/1,500 dan jarak roda 2,870mm.

Sebagai perbandingan, Tesla Model 3 mempunyai dimensi 4,720/1,849/1,441mm dengan jarak roda 2,875mm.
Dari segi penampilan, kereta ini menggunakan gaya rekaan retro, dipadankan dengan lampu hadapan bujur, reka bentuk bampar dan sedikit hiasan trim krom, pemegang pintu tersembunyi dan mempunyai pintu tanpa bingkai, sama seperti kereta sport.
Ia juga dilengkapi dengan roda krom bionik 19-inci dan spoiler belakang yang boleh diangkat secara automatik pada 70 km/j, memberikannya 20kg lebih daya ke bawah.

Di Thailand, ORA 07 mempunyai tiga pilihan warna iaitu tourmaline gray, smoky amethyst dan white jade.
Di bahagian dalam, ia dilengkapi skrin sentuh 12.3-inci, instrumen LCD sepenuhnya 10.25-inci serta audio premium Infinity yang boleh mensimulasikan gelombang bunyi, secara langsung memenuhi keseluruhan bahagian dalaman dengan suasana sporty.
Dari segi kuasa, kereta ini boleh didapati dalam dua versi di Thailand iaitu versi Long Range dan Performance.
Versi Long Range menggunakan susun atur pacuan roda hadapan dengan motor tunggal di hadapan, dan mampu menghasilkan 201hp dan tork puncak 340Nm.

Bagi versi Performance, ia mempunyai susun atur pacuan empat roda dengan dwi motor di hadapan dan belakang, berupaya menghamburkan kuasa 402hp dan tork 680Nm.
Untuk rekod, ia hanya mengambil masa 4.3 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j.
Kedua-duanya dilengkapi dengan pek bateri 83.499kWj yang sama, tetapi versi Long Range mempunyai jarak 640km mengikut piawaian ujian NEDC, manakala versi Performance hanya mempunyai jarak 550km.
Menurut laporan, ORA 07 dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun ini dengan jangkaan harga bermula RM200,000.