Buletin

GML BAKAL HANTAR 140 UNIT BAS SEKOLAH ELEKTRIK KE CALIFORNIA, AS

Pengeluar bas dan badan bas terkemuka Asia yang berpangkalan di Johor, Gemilang International Ltd (GML) dijangka menghantar 140 unit bas sekolah elektrik sepenuhnya ke California, Amerika Syarikat (AS) pada 2022.

Menurut GML, ia merupakan sebahagian daripada misi pihaknya untuk mempromosikan penggunaan penyelesaian mesra alam untuk bas dan badan bas.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Pang Chong Yong berkata pesanan bagi 120 unit bas sekolah dengan panjang 12 meter serta 20 unit bas sekolah dengan panjang 7.5 meter adalah luar biasa.

Beliau berkata ia bukan hanya sebagai pencapaian dalam usaha penembusan ke dalam pasaran AS malah menjadi kuantiti terbesar dalam satu pesanan bas EV yang pernah diterima oleh pihaknya.

“Selain itu, GML telah membekalkan badan bas untuk pelbagai pembuat EV seperti BYD Auto dan CRRC Electric Vehicle Ltd bagi beberapa pasaran termasuk Malaysia, Singapura, Australia sejak 2015.

“Kami menjangkakan lebih banyak negara menjejaki peralihan kepada EV memandangkan komitmen mitigasi perubahan iklim semakin meningkat seperti yang telah diumumkan kerajaan di seluruh dunia,” katanya.

GML, syarikat yang disenaraikan di Bursa Hong Kong, telah membekalkan bas EV ke AS sejak 2016 ketika pasaran masih menggunakan kenderaan berkuasa bahan api fosil.

Pang berkata pasaran bas sekolah EV di AS sangat besar dengan aspek pertumbuhan eksponen.

Beliau berkata ini susulan Perjanjian Infrastruktur Bipartisan (Akta Pelaburan Infrastruktur dan Pekerjaan) yang diumumkan baru-baru ini, yang telah ditandatangani menjadi undang-undang oleh Presiden AS Joe Biden, dengan komitmen US$2.5 bilion untuk membeli bas sekolah elektrik untuk daerah di seluruh AS.

“Berdasarkan rancangan baharu untuk menukar 500,000 bas sekolah AS kepada kenderaan pelepasan sifar karbon, kami yakin dapat menguasai lebih banyak bahagian pasaran dengan pengalaman industri selama tiga dekad serta kelebihan daya saing utama kami — struktur super ringan aluminium,” katanya.

Projek utama GML termasuk Transit Aliran Bas Iskandar Malaysia (IMBRT), bas bandar elektrik pertama Sarawak untuk Kuching Metro, dan projek rintis bas elektrik oleh kerajaan Sabah untuk pengangkutan awam.

 GML juga telah membekalkan bas aluminium untuk Go KL, Rapid KL, Rapid Penang dan bas pengantara MRT sejak 13 tahun lepas. –Bernama/GML

Google ads
Back to top button