
PANDU UJI: KIA SPORTAGE 1.6T 2025. CABARAN MEMANG SENGIT, TAPI ADA KELEBIHAN SENDIRI
Sama ada kita sedar atau tidak, Kia Sportage sebenarnya sudahpun diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 1990-an lagi menerusi generasi pertamanya. Hadir dengan rekaan kompak, SUV tersebut dikuasakan oleh enjin 2.0 liter bersama pilihan pacuan empat roda dan mampu menawarkan kemampuan off-road yang baik pada zamannya.
Sebagai sebuah model penting buat Kia, Sportage dilihat terus menerima penambahbaikan dari segi reka bentuk dan teknologi sehinggalah ke generasi terkini. Seperti anda sedia maklum, model generasi kelima itu telahpun dipertontonkan kepada khalayak umum pada acara Malaysia Motor Show, Disember tahun lalu.
Tidak lama kemudian, pengedarnya di pasaran Malaysia, Dinamikjaya Motors mula membuka tempahan Sportage secara rasmi kepada para pengguna di negara ini. Untuk pasaran Malaysia, Kia Sportage ditawarkan dalam empat varian dengan dua pilihan enjin berbeza iaitu 2.0 liter aspirasi biasa (NA) dan 1.6 liter turbo.

Varian dan harga Sportage 2025 yang merupakan model pemasangan tempatan (CKD) di kilang Inokom di Kulim, Kedah adalah seperti berikut:
- 2.0G 2WD – RM147,218.60
- 2.0G 2WD High – RM157,218.60
- 1.6T 2WD High – RM176,899
- 1.6T AWD High – RM186,899
Justeru, bagi merasai sendiri pengalaman memandu Sportage baharu, kami telah dijemput menghadiri satu sesi pandu uji oleh pihak Dinamikjaya Motors sebelum sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.
Dalam sesi pandu uji ringkas tersebut, saya berpeluang memandu uji dua varian teratas iaitu 1.6T 2WD High dan 1.6T AWD High. Kedua-dua varian tersebut menggunakan enjin Gamma II 1.6L Turbo GDI berkuasa 180 PS dan tork mencecah 265Nm yang dipadankan dengan kotak gear Dual-Clutch Transmission (DCT) tujuh kelajuan.
Terlebih dahulu, jom kita tengok luaran jentera ini. Ya, Sportage terbaharu menerima perubahan yang sangat signifikan apabila Kia menerapkan bahasa rekaan Opposite United. Jadi, tidak hairanlah jika bahagian hadapannya tampil begitu agresif bersama sepasang lampu utama LED, gril hitam berkilat yang besar dan lampu nyalaan siang (LED berbentuk boomerang.

Profail sisi pula diserlahkan dengan arca roda dan perumah cermin sisi berwarna hitam, rim aloi dua tona bersaiz 18 inci, selain kemasan krom pada bingkai tingkap serta roof rails. Elemen rekaan Opposite United diteruskan ke bahagian belakang dengan bentuk lampu yang tidak konvensional, spoiler nipis, sepasang reflektor dan kemasan berwarna perak pada bahagian bawah bamparnya.
Masuk ke ruang kabin, pemandu dihidangkan dengan paparan meter kluster dan skrin infohibur kedua-duanya bersaiz 12.3 inci yang disatukan dalam satu panel panjang.
Apa yang menarik ialah Sportage masih hadir dengan butang-butang kawalan pada stereng dan konsol tengah, bukan seperti kebanyakan SUV terutama dari China yang memaksa pemandu membuat hampir semua tetapan menerusi skrin sentuh. Jadi, bagi mereka yang masih mahukan butang kawalan seperti saya, ini adalah satu pendekatan positif oleh Kia.

Bagi membuatkan konsol tengah lebih kemas, Sportage 1.6T tidak didatangkan dengan tombol gear biasa. Sebaliknya, urusan menukar kedudukan gear R, N, D dan P dibuat menerusi tombol rotari. Ruang yang dimonopoli oleh kemasan piano black itu turut menempatkan butang-butang lain seperti kamera 360, sensor parkir, Auto Hold, ciri Hill Descent Control serta tombol rotari untuk menukar mode pemanduan.
Tempat duduk belakang pula menawarkan ruang kaki dan kepala yang cukup luas untuk penumpang. Keselesaan ditingkatkan lagi dengan adanya corong pendingin hawa dan penyandar belakang yang tidak terlalu menegak. Satu ciri menarik yang ada pada Sportage ialah cangkuk besar di bahagian belakang perehat kepala pemandu dan penumpang hadapan. Ia membolehkan anda untuk menyangkut jaket, beg dan sebagainya dengan lebih mudah.
Sebagai sebuah SUV segmen C, jentera itu menawarkan ruang kargo seluas 543 liter yang boleh ditingkatkan menjadi 1,829 liter apabila penyandar kerusi belakang dilipat sepenuhnya. Ruang tersebut sebenarnya sudah lebih daripada cukup untuk anda membawa barang-barang jika hendak bercuti atau balik kampung.

Sesi pandu uji kali ini melibatkan gabungan yang agak seimbang di antara lebuh raya, jalan kampung, laluan berbukit dan sedikit jalan off-road ringan. Senang cakap, Sportage dapat mengharungi semua itu dengan sangat cemerlang.
Memandu laju di lebuh raya cukup menyeronokkan, selekoh boleh diambil dalam kelajuan sedikit tinggi dengan yakin dan segala ketidaksempurnaan permukaan jalan boleh dilalui tanpa membuatkan semua yang ada di dalam kabih berasa tidak selesa.
Lebih menarik lagi, papan pemuka dan butang kawalan yang disudutkan ke arah pemandu membuatkan anda rasa lebih yakin ketika mengendalikan jentera ini.
Selepas memandu kedua-dua varian 1.6T, perbezaan paling ketara yang saya dapat simpulkan ialah varian 2WD rasa lebih ringan dan responsif. Namun, respons stereng, posisi pemanduan dan dinamik pemanduan boleh anda rasai dengan agak seimbang di antara kedua-dua varian tersebut.
Malah, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kualiti pemanduan dan pengandalian Sportage adalah lebih baik berbanding kebanyakan SUV jenama dari China. Walaupun berasa sedikit berat, varian 4WD mampu memberikan lebih keyakinan kepada pemandu, terutama ketika melalui jalan yang licin dan tidak sempurna berikutan keupayaan cengkaman yang lebih mantap.

Dari segi penjimatan bahan api, 1.6 Turbo 2WD High mencatatkan penggunaan sekitar 7.5L/100km, manakala varian 1.6 Turbo AWD High menggunakan kira-kira 9.5 liter petrol bagi setiap 100km. Angka yang masih bagus untuk sebuah SUV sebesar ini.
Anda tidak perlu bimbang dari segi keselamatan kerana kedua-dua varian itu didatangkan dengan sistem ADAS yang lengkap seperti Adaptive Cruise Control, Lane Keeping Assist, Forward Collision Warning, Blind-Spot Monitoring dan banyak lagi,
Harus diakui, tugas Sportage untuk menonjol dalam segmen ini bukanlah mudah kerana cabaran datang dari segenap sudut, sama ada jenama tempatan, Jepun, Eropah dan China. Biarpun begitu, cuba dahulu Sportage ini jika sedang mencari sebuah SUV kerana ia mungkin boleh memberi anda kejutan.
GALERI

















