Buletin

ALAMI TEKANAN PERASAAN, WANITA PANDU KANCIL KE KAUNTER PELEPASAN AIRPORT SULTAN MAHMUD

Suasana tenang di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Terengganu tiba-tiba kecoh apabila seorang wanita memandu sebuah Perodua Kancil ke dalam balai pelepasan di tingkat satu bangunan itu, petang semalam.

Melihatkan keadaan luar biasa itu, orang ramai dikatakan mulai panik.

Kancil berkenaan dikatakan dipandu oleh seorang wanita berusia 55 tahun yang  mengalami tekanan perasaan. Memetik laporan Sinar Harian, dia memandu seorang diri melepasi pintu cermin automatik berhampiran kaunter daftar masuk pada jam 4.30 petang.

Tindakan pantas kakitangan LTSM bagaimanapun berjaya mengawal keadaan. Mereka memujuk dan menenangkan mangsa daripada bertindak agresif bagi mengelak berlaku kemalangan dan kerosakan harta benda.

Pengurus LTSM, Che Sulaiman Che Pa memberitahu sebaik sahaja menyedari kehadiran kenderaan tersebut, kakitangannya sudah cuba menahan wanita itu daripada memasuki bangunan terminal namun gagal.

“Pintu itu akan terbuka secara automatik apabila ada objek mendekati. Apabila kami sedar yang masuk itu ialah kereta, petugas cuba tahan. Tetapi wanita itu berjaya memandu masuk sampai ke dalam lalu berhenti.

“Kakitangan kami kemudian mengambil langkah berhemah dengan cara memujuk wanita itu supaya keluar dari kereta bagi mengelak berlakunya kemalangan,” katanya.

Kakitangan LTSM mengambil masa kira-kira sejam untuk menenang dan memujuk sebelum wanita itu membuka pintu kereta, sebelum segera bertindak mematikan enjin dan mengambil kunci kereta.

Biarpun puas dipujuk, wanita terbabit tetap enggan keluar dari kenderaan. Keadaan itu memaksa pihak LTSM menolak keluar Perodua Kancil itu dari balai pelepasan dengan wanita itu masih berada di dalam kereta.

Che Sulaiman mengakui bahawa ini merupakan kejadian pertama berlaku di LTSM. Dia bersyukur insiden itu berakhir dengan baik tanpa berlaku kerosakan serta kemalangan serius.

Wanita itu kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Kejadian ini memang di luar jangkaan kami. Jadi, LTSM akan meningkatkan kawalan termasuk bekerjasama dengan polis bagi mengelak kes ini berulang. Sekali gus menjamin keselamatan pelanggan,” katanya. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button