Buletin

PERODUA KANCIL TERBAKAR DI STESEN MINYAK PETRONAS DISYAKI ADA KAITAN DENGAN AKTIVITI PENYELUDUPAN 

Kebakaran yang berlaku membabitkan sebuah Perodua Kancil di stesen minyak Rantau Panjang, Kelantan semalam disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan petrol.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, ia berdasarkan siasatan awal yang mendapati ada tong plastik terbakar di lokasi kejadian. Menurutnya, ia disyaki untuk mengisi petrol dan bertujuan diseludup ke Thailand.

Maklumat saksi mendapati ketika kejadian, suspek yang juga seorang lelaki berusia 36 tahun sedang mengisi petrol sebelum api tiba-tiba menyambar bahagian belakang kereta dan lelaki itu terus bertindak melarikan diri. Saksi turut memaklumkan tiada unsur khianat yang menyebabkan kebakaran tersebut berlaku.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu mendapati ia milik seorang individu yang berasal dari Kampung Padang Tembusu di Tumpat, namun suspek yang memandu kereta ini adalah penduduk di Rantau Panjang.

“Pegawai dan anggota yang bertugas sudah dimaklumkan mengenai insiden ini, polis sedang mengesan lelaki itu untuk membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 8.36 pagi sebelum terus ke lokasi kejadian.

“Sebaik sampai di lokasi, didapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah kereta sebelum api merebak ke sebuah pam petrol berhampiran. Kebakaran berjaya dikawal beberapa minit kemudian,” katanya. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button