Buletin

PERODUA KANCIL NAK RUNTUH DIKESAN DI KEPONG. MP MINTA PIHAK BERKUASA AMBIL TINDAKAN

Sebuah Perodua yang berada dalam kondisi sangat uzur kembali tular di media sosial selepas kenderaan tersebut dilihat berada di atas jalan di sekitar Kepong.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menerusi kemaskini di Facebook memaklumkan telah melaporkan perkara itu kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan lanjut.

“Keberadaan kereta ini di jalan raya sangat membahayakan. Tayarnya sudah pecah dan kepala pemandu terkeluar dari kereta. Kalau dibiarkan di jalan raya, pasti akan berlaku sesuatu. Trafik di Kepong pula sentiasa sibuk.

“Pihak pejabat saya sudah melaporkan isu ini kepada pihak berkuasa DBKL dan dalam masa terdekat ini, kereta ini akan ditunda. Lokasi kereta ini sudah dikenal pasti,” katanya pada Khamis.

Selasa lalu, Lim Lip Eng turut berkongsikan video kereta tersebut yang dikenali sebagai “Kancil Lejen” berada di atas jalan raya. Beliau turut menggesa pihak berkuasa termasuk pihak polis mengambil tindakan sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

“Pihak berkuasa tak mahu buat apa-apa ke? Sudah lama kereta ini berkeliaran di kawasan Kepong. Saya akan usahakan untuk berjumpa dengan pemilik kenderaan tersebut dan berbincang dengan dia pasal keadaan hidupnya,” tulisnya.

Menurutnya, apa yang menjadi keutamaan adalah memastikan kenderaan tersebut tidak berada di atas jalan demi keselamatan semua.

“Sudah tiba masanya kereta ini berehat dari medan pertempuran jalan raya,” tulisnya diakhiri ucapan RIP kereta Kancil Lejen.

Kereta Kancil Lejen itu sering kelihatan di Kepong selain pernah juga dilaporkan melalui jalan Rawang.

Difahamkan pemilik kereta berusia lingkungan 40-an itu pernah diambil tindakan sebelum ini, tetapi menggunakan dua kereta Perodua Kancil lain yang telah ditahan. Satu kenderaan tersebut telah dilupuskan, sementara sebuah lagi kini berada di stor Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Penularan terbaharu itu adalah kes ketiga dilaporkan. Tindakan boleh dikenakan atas kesalahan cukai jalan dan struktur kenderaan tersebut jika berada di atas jalan. – Sinar Harian 

Google ads
Back to top button