Buletin

15KM DIKEJAR POLIS, KANCIL HABIS MINYAK. PASANGAN KEKASIH INGKAR PKP DITANGKAP

Sepasang kekasih ditahan selepas Perodua Kancil yang mereka naiki kehabisan minyak ketika cuba melarikan diri daripada polis. 

Suspek dikejar polis sejauh 15km setelah dikesan melanggar lampu merah di simpang tiga di sekitar kawasan Rumbia. Pemandu lelaki berusia 24 tahun dan teman wanitanya yang berusia 18 tahun itu bagaimanapun terpaksa berhenti di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal, Melaka.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Suprintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira -kira jam 7 malam itu, suspek dikesan oleh dua anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah. 

Polis pada awalnya meminta suspek supaya memberhentikan kereta, tetapi dia enggan. Suspek sebaliknya bertindak agresif dengan memecut laju dan berlaku adegan kejar mengejar. 

Siasatan awal mendapati tujuan pasangan itu bertemu adalah untuk melepak bersama. Justeru, mereka didapati telah melakukan kesalahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Semakan rekod lampau mendapati pemandu berkenaan pernah ditahan atas kesalahan berkaitan dadah dan disabitkan hukuman di bawah Akta Dadah Berbahaya 12(3), Seksyen 411 Kanun Keseksaan. Manakala wanita itu tiada sebarang rekod lampau. Mereka kini direman selama empat hari sehingga Khamis ini.

Kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 / Seksyen 186 Kanun Keseksaan. – Astro Awani

Tags
Google ads
Back to top button